malacca_war-800px

Melaka Jatuh Ke Tangan Belanda

16 Januari 1641 –  Serangan berterusan Belanda di atas arahan Antonio Van Dieman iaitu Gabenor Jeneral Belanda di Betawi dengan bantuan Kerajaan Melayu Johor akhirnya membuahkan hasil apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda. Kejayaan itu juga menamatkan penaklukan Portugis ke atas Melaka semenjak tahun 1511.

Jacop Koper dan Andriaan Antonisz yang mengetuai tentera Belanda telah mengadakan kepungan selama beberapa bulan ke atas Melaka sehingga menyebabkan timbulnya masalah kekurangan makanan, sebelum melancarkan serangan yang diketuai oleh General Coertekoe.

Serangan Pertama

Tentera Belanda yang diketuai oleh Jacop Koper dan Andriaan Antonisz telah mendarat di pinggir kota dan membedilnya dengan menggunakan meriam. Dua buah kapal dan enam buah bot pula ditempatkan di sekitar pelabuhan Melaka membedil kawasan kubu dan perlabuhan.

Malacca_1630

Tentera Melayu Johor membantu dengan meronda di Selat dan menghentikan mana-mana penghantaran makanan atau bekalan ke Melaka. Pasukan Johor juga menyerbu kawasan luar bandar, membakar mana-mana sawah padi dan ladang yang mungkin dapat memberikan bekalan makanan kepada bandar yang terkepung.

Setelah beberapa bulan kepungan dilakukan, kelaparan dan penyakit mula mencengkam penduduk Melaka. Daripada populasi 20,000 orang, dianggarkan lebih daripada 7,000 orang telah meninggal dunia di bandar itu, beribu-ribu lagi melarikan diri dan hanya tinggal 3000 di dalam kubu.

Serangan Kedua

Belanda meningkatkan serangan mereka, kali ini diperkuatkan dengan bantuan Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil Shah III yang telah menghantar 40 buah perahu perang yang membawa seramai 1,500 orang tentera di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil.

Pada bulan Ogos, pasukan gabungan tersebut menyerang barisan hadapan kubu Portugis di Tranquera dan berjaya mengusir ratusan pertahanan Portugis ke ‘A Famosa’. Dengan kejayaan di Tranquera, tentera Belanda-Melayu kini berada hampir dengan kubu pertahanan tentera Portugis yang sedang sakit dan kelaparan.

The_fort_of_Tranquera_at_Melaka

Serangan Ketiga

Pada malam Ahad, 13 Januari 1641, Belanda melancarkan serangan terakhir di kubu tersebut. Kira-kira 650 askar Belanda dilengkapi dengan bom, tombak, parang dan tangga. Mereka dibahagikan kepada tiga pasukan dan menyerang ke arah benteng pertahanan Portugis. Pada jam 10 pagi hari berikutnya, tentera Portugis yang sedang kelaparan, sakit, cedera dan kehabisan peluru akhirnya menyerah kalah. Akhirnya Melaka jatuh ke tangan Belanda dan mengakhiri penguasaan Portugis.

A_Famosa_Fortress

Penguasaan Belanda

Penguasaan Belanda (1641-1824) adalah tempoh terpanjang Melaka dibawah penguasaan asing. Belanda menguasai Melaka selama 183 tahun. Penguasan Belanda juga telah mengurangkan kepentingan Melaka di wilayah tersebut. Belanda lebih memilih Batavia (kini Jakarta) sebagai pusat ekonomi dan pentadbiran di wilayah tersebut.

Tujuan mereka menguasai Melaka adalah untuk menghalang kota tersebut dari dikuasai oleh negara Eropah yang lain. Walau bagaimanapun, mereka masih membina mercu tanda mereka yang dikenali sebagai Stadthuys atau Red Building yang menjadi peninggalan sejarah sehingga kini.

malacca_stadhuys

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.