kolej_islam_kelang_logo-800px
Sejarah

Pengiktirafan Sijil Lulusan Kolej Islam, Kelang

15 Oktober 1960 – Pada tahun 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pengiktirafan Sijil lulusan Kolej Islam Kelang. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Encik Abdul Rahman bin Haji Talib di Majlis Penyampaian Sijil di Kolej tersebut.

Kolej Islam yang dibuka pada tahun 1955 dengan 50 orang penuntut, dikelolakan oleh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Kolej Islam. Kolej mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping bantuan daripada beberapa buah negara Islam.

kolej islam kelang

Penuntut-penuntut yang belajar di kolej ini adalah terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah Arab dari seluruh negara. Salah satu tujuan kolej ini ditubuhkan adalah untuk menyediakan bakal-bakal guru agama Islam dan guru bahasa Arab yang secukupnya serta cekap untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah.

Dalam ucapannya, Encik Abdul Rahman menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berusaha untuk mengawal dan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembangkan agama Islam seperti yang terkandung di dalam perenggan 49 Undang-undang Pelajaran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Harold Macmichael
Sejarah

Malayan Union – Sir Harold MacMichael Mendapatkan Tandatangan Raja-Raja Melayu

11 Oktober 1945 – Pada tahun 1945, Utusan Khas Kerajaan Inggeris, Sir Harold MacMichael tiba di Port Swettenham. Rancangan penubuhan Malayan Union telah diumumkan di Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945. Oleh itu, persetujuan dari Raja-Raja Melayu diperlukan dan semua perjanjian harus ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan perjanjian lama akan dimansuhkan.

Sir Harold MacMichael adalah orang yang bertanggung jawab untuk mendapatkan tanda tangan daripada Raja-Raja Melayu. Kedatangan beliau bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan tandatangan bagi perjanjian-perjanjian Malayan Union tetapi juga untuk mengetahui tentang kedudukan sultan-sultan pada masa itu.

Sir Harold_MacMichael

Sir Harold MacMichael

Sir Harold MacMichael dengan kebijaksanaannya telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja Melayu. Dengan tandatangan tersebut telah mengesahkan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946.

Tentangan Daripada Orang-orang Melayu

Tindakan mengambil tanda tangan yang dilakukan oleh Sir Harold MacMichael terhadap Raja-Raja Melayu telah mendapat tentangan yang hebat. Malah Raja-Raja Melayu tidak diberi kesempatan untuk meneliti dan mengkaji perjanjian Malayan Union itu. Tentangan hebat orang-orang Melayu menyedarkan pihak Inggeris bahawa penubuhan Malayan Union memerlukan sokongan padu daripada rakyat peribumi.

Malayan_Union_protest

Akhirnya Malayan Union telah terkubur apabila Kerajaan Inggeris mengisytiharkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Penentangan terhadap Malayan Union adalah satu kemenangan untuk mengembalikan hak kedaulatan maruah bangsa Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
fama_logo-800px
Sejarah

Pelancaran Fama

30 September 1965 – Pada tahun 1965, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar melancarkan penubuhan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) di Bilik Gerakan Pembangunan Negara, Kuala Lumpur.

Lembaga ini ditubuhkan di bawah kuatkuasa Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965. FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk menyelia, menyelaras, mengawalselia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian termasuk pengimportan dan pengeksportan.

Sesungguhnya, dengan pelancaran penubuhan FAMA pada hari ini dalam tahun 1965, telah dapat membantu melaksanakan pemasaran pertanian yang lebih berkesan dan sekaligus meningkatkan industri pertanian.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka_stadium
Sejarah

Kerja-Kerja Pembinaan Stadium Merdeka Dimulakan

25 September 1956 – Kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan pada tahun 1956. Pembinaan stadium ini dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang tidak dapat digunakan lagi.

Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak 160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu.

Stadium Merdeka

Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957.

Pada 21 Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957.

Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
felcra_bhd-800px
Sejarah

Penubuhan Lembaga Pemulihan Dan Penyatuan Tanah Persekutuan

20 September 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein telah mengumumkan penubuhan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Objektif penubuhannya ialah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada para belia dan keluarga yang tidak memiliki tanah melalui pembukaan Rancangan Tanah Belia dan Rancangan Tanah Pinggir. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi serta meninggikan daya pengeluaran. Pada 1 April 1966 di bawah Akta (diperbadankan) Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara 1966 FELCRA telah ditubuhkan dengan rasminya.

Mulai 1 September 1997, FELCRA telah dikorporatkan dan ditukar kepada FELCRA Bhd. serta penukaran statusnya daripada sebuah Badan Berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan. Penukaran entiti korporat ini bagi membolehkan FELCRA Bhd. melebarkan cabangnya ke bidang perniagaan yang baru selaras dengan aspirasi nasional.

Sejak penubuhannya, FELCRA telah membantu dalam mengisi kemerdekaan negara dengan membangunkan sektor luar bandar melalui penggalakkan penggemblengan tenaga penduduk dalam aktiviti ekonomi negara yang sekaligus membantu meningkatkan taraf kehidupan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

SPB Yang Di-Pertuan Agong Merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji

19 September 1985 – DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Tun Razak pada tahun 1985. Bangunan setinggi 38 tingkat ini berharga RM109.4 juta sebagai menggantikan bangunan lama LUTH di Jalan Ipoh yang kini menjadi Bangunan Cawangan LUTH Wilayah Persekutuan.

tabung haji

Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji adalah satu-satunya bangunan tinggi yang unik di bandar raya Kuala Lumpur kerana reka bentuknya yang melambangkan pendekatan revolusioner dan mengandungi falsafah yang berkaitan dengan kelima-lima rukun Islam. Ibu Pejabat Tabung Haji ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti dewan serbaguna, kafeteria, pusat riadah, ruang pejabat dan ruang letak kereta bertingkat.

Selain menggunakan sendiri, pihak Tabung Haji juga menyewakan ruang pejabat di bangunan ini kepada pihak-pihak swasta sebanyak 75% ruang pejabat disewakan dengan mendapat hasil RM8.9 juta. Dengan perasmian Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji pada hari ini dalam tahun 1985 telah membuktikan kejayaan pengurusan pihak LUTH bagi meninggikan syiar dan meningkatkan penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
un_flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Menjadi Ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

17 September 1957 – Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu dengan rasminya diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Keahlian Persekutuan Tanah Melayu diusulkan oleh wakil Kerajaan Britain dengan mendapat sokongan sebulat suara dari ahli-ahli yang hadir yang menjadi anggota Majlis Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.

Pada hari ini juga buat julung kalinya dalam sejarah perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu suara Persekutuan Tanah Melayu yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 telah kedengaran dalam persidangannya. Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka sebagai wakil tetapnya di PBB.

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Kemasukan Persekutuan Tanah Melayu ke dalam pertubuhan dunia ini, telah memberi peluang kepada negara untuk bersahabat dengan semua negara tanpa sekatan serta memberi sumbangan tenaga, buah fikiran ke arah matlamat untuk menegakkan keamanan dunia.

Dengan menjadi ahli PBB ini juga, Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa Bersatu dan Perjanjian Am (General Agreement) Tarif dan Perdagangan.

Sesungguhnya Pengiktirafan PBB terhadap Persekutuan Tanah Melayu adalah satu lagi kemajuan dan perkembangan yang dibanggakan dalam proses ke arah mengisi kemerdekaan negara sepenuhnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia

16 September 1963 – Pengisytiharan Penubuhan Malaysia telah diadakan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1963. Gagasan penubuhan Malaysia telah dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa berucap kepada Persatuan Wartawan Asing dalam persidangan Foreign Correspondent Association of Southeast Asia di Singapura pada 27 Mei 1961.

Penubuhan Malaysia dijadualkan pada 31 Ogos 1963 setelah perjanjian di antara wakil daripada Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Namun begitu, tarikh ini terpaksa ditunda setelah mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

hari malaysia

Pada 31 Julai 1963, persetujuan dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia bahawa Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U-Thant atau wakil perlu meninjau sokongan daripada rakyat di negeri-negeri Borneo. Wakil Bangsa-Bangsa Bersatu selesai menjalankan tugas mereka pada 14 September 1963. Oleh itu, perisytiharan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada 31 Ogos 1963, sebaliknya diisytiharkan pada 16 September 1963 dan DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani perisytiharan tersebut pada 29 Ogos 1963.

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia pada hari ini dalam tahun 1963 bukan sahaja telah memerdekakan Singapura, Sabah dan Sarawak daripada British tetapi juga menunjukkan kelahiran sebuah negara baru di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
General_F_W_Messervy_receives_the_sword_of_General_Itagaki-800px
Sejarah

Permulaaan Pentadbiran Tentera British Di Tanah Melayu

12 September 1945 – Pada tahun 1945, Pentadbiran Tentera British telah memulakan Pentadbiran Tentera bagi menggantikan pemerintahan pendudukkan Jepun di Tanah Melayu dengan adanya Pentadbiran Tentera British ini, diharapkan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu seperti sebelum pendudukan Jepun akan dapat diperluaskan. Mengikut sumber Inggeris, objektif utama Pentadbiran Tentera British di antaranya ialah untuk:

  • Mengembalikan keamanan dan undang-undang serta memupuk semangat dan kecekalan rakyat jelata.
  • Membentuk Mahkamah Jenayah secepat mungkin bagi membicarakan kes-kes jenayah.
  • Menyediakan bantuan bekalan hidup harian kepada orang-orang awam.
  • Memulihkan semula Tanah Melayu dengan secepat mungkin supaya sebuah kerajaan awam dapat diwujudkan.

Pentadbiran Tentera British adalah dibawah kuasa Pegawai Pemerintahan Angkatan Tentera di Tanah Melayu dengan arahan langsung dari Pemerintah Tertinggi Bersekutu, South East Asia Command. Di bawah Pentadbiran Tentera British ini juga Perkhidmatan Hal-Ehwal Awam atau Civil Affairs Service diwujudkan untuk menguruskan kebajikan orang-orang awam. Perkhidmatan Hal-Ehwal Awam ini di ketuai oleh Major General H.R.Hone dan dibantu oleh Brigadier H.C.William, Brigadier Newboult dan Brigadier Mc.Kerron.

Dalam menjalankan dasar-dasar pentadbirannya, British telah menghadapi pelbagai tentangan dan rintangan dari berbagai arah termasuk dari golongan Menengah Melayu dan aristokrat dan juga golongan Colonial Old Guard. Dengan itu pentadbiran Tentera British terpaksa memberi kompromi dalam usahanya untuk mengekalkan sokongan golongan-golongan tersebut di satu pihak dengan keperluan untuk memodenkan ekonomi kolonial di pihak yang lain. Akhirnya kompromi ini terjalin dalam bentuknya yang formal dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parlimen_pertama-800px
Sejarah

Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu

11 September 1959 – Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, mengikut perkara (1) Fasa 55 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1959. Persidangan ini telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur serta dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen yang berjaya terpilih dalam Pilihanraya Parlimen Persekutuan yang diadakan pada 19 Ogos 1959.

Dalam persidangan ini seramai 104 orang Ahli Parlimen telah mengangkat sumpah. Dalam persidangan itu, Dato’ Haji Mohammad Noah bin Omar telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohd Yassin telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli-ahli Dewan Negara yang dipilih dan dilantik juga telah turut mengangkat sumpah dalam persidangan yang sama. Ekoran dari Perisytiharan itu pada 12 September 1959, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah merasmikan pembukaan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Dengan pengisytiharan itu, maka dengan rasminya Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah wujud dan menjadi lambang demokrasi negara ini. Dengan terbentuknya Parlimen menurut Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4 Fasa 44, Kuasa Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu adalah terserah kepada Parlimen yang mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sesungguhnya kewujudan Parlimen Persekutuan ini maka negara ini telah sempurna menerima dasar berpegang kepada rukun demokrasi berparlimen.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard