Universiti_Malaya_gateway
Sejarah

Sesi Pengajian Pertama Universiti Malaya

25 Mei 1959 – Pada tahun 1959, sesi pengajian pertama Universiti Malaya, Bahagian Kuala Lumpur dimulakan di bawah Perlembagaan Universiti Malaya yang baru yang berkuatkuasa pada hari penubuhannya, 15 Januari 1951. Universiti Malaya telah ditubuhkan di Singapura apabila Maktab Perubatan King Edward VII dan Maktab Raffles digabungkan dalam tahun 1949.

Hasil daripada pindaan-pindaan ke atas Ordinan Universiti Malaya 1949, Universiti ini telah dijadikan kepada dua Bahagian: satu Bahagian di Singapura, dan satu Bahagian lagi di Persekutuan Tanah Melayu. Pada mulanya Suruhanjaya Carr-Saunders mencadangkan supaya Universiti Malaya Bahagian Persekutuan Tanah Melayu ditempatkan di Johor. Cadangan ini telah ditolak dan sebaliknya dipersetujui supaya ditempatkan di Kuala Lumpur.

tan_teck_guan_building

Sebelum ini dalam tahun 1957 kursus pengajian bagi para pelajar tahun pertama jurusan Sastera, telah dijalankan di bangunan sementara di Kolej Teknik, Kuala Lumpur. Sementara itu, dalam tahun ini juga Suruhanjaya Penyiasat telah dibentuk dengan dipengerusikan oleh Sir Robert Atken iaitu Naib Canselor Universiti Birmingham. Suruhanjaya ini ditugaskan untuk merancangkan kemajuan Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Sebagai hasilnya dalam bulan November, 1958 satu undang-undang telah diluluskan untuk meneruskan usaha ke arah perubahan Universiti Malaya di Kuala Lumpur sebagai satu institusi yang tersendiri dan mempunyai taraf yang setanding dengan yang di Singapura. Dengan ini Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan Universiti Malaya di Singapura akan mempunyai Pengetua (Principal), Majlis Bahagian (Divisional Council), dan Senat Bahagian (Divisional Senate) masing-masing. Pada tahun ini juga Fakulti Kejuruteraan dipindahkan ke bangunan barunya di Lembah Pantai.

Universiti Malaya di Kuala Lumpur dibina di kawasan bukit dan lembah seluas 450 ekar yang dikenali sebagai Lembah Pantai. Dalam awal bulan Mei, 1959 bangunan Fakulti Sastera dan bangunan Perpustakaan telah siap dibina. Dalam masa yang sama juga Kolej Pertama kediaman para pelajar telah dibuka. Dengan pembukaan sesi pengajian pertama Universiti Malaya pada hari ini dalam tahun 1959 ini, Universiti Malaya telah dapat mengadakan kursus-kursus Tahun Pertama Sastera, Tahun Pertama Sains dan semua tahun bagi kursus Kejuruteraan dan Kursus ljazah kepujian dalam Pengajian Melayu dan India oleh kerana kedua-dua pengajian ini telah dipindahkan sepenuhnya dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, oleh kerana pembinaan bangunan-bangunan bagi Fakulti Sains hanya dapat disiapkan sepenuhnya dalam bulan Mei, 1960, sebahagian daripada Kursus Sains diadakan di makmal-makmal yang dipinjamkan oleh Kolej Teknik dan Victoria Institution. Dalam sesi ini seramai 323 orang pelajar mengikuti kursus-kursus Sastera (163), Sains (31), dan Kejuruteraan (129).

Pada 18hb Jun, 1959, Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tunku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Mohammad.

Dewan_Tunku_Canselor_Universiti_Malaya

Dalam tahun 1960 kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura mengumumkan untuk menubuhkan Universiti yang berasingan, satu di Persekutuan dan satu lagi di Singapura, dan mempunyai kuasa otonomi sendiri-sendiri. Berbangkit dari keputusan untuk menjadikan Bahagian yang di Singapura dan Bahagian yang di Kuala Lumpur sebagai dua buah universiti yang berasingan, sebuah Jawatankuasa Bersama yang mengandungi wakil-wakil dari pihak Universiti dan kedua-dua buah Kerajaan telah ditubuhkan untuk membincangkan berbagai isu mengenai universiti itu keseluruhannya.

Jawatankuasa-jawatankuasa Bersama yang serupa yang mengandungi wakil-wakil Bahagian dan Kerajaan di mana Bahagian itu terletak telah juga ditubuhkan untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan Bahagian itu sahaja, dan untuk merangka perlembagaan-perlembagaan biru bagi kedua-dua buah universiti yang baru itu. Dengan kerjasama yang erat di antara wakil-wakil Universiti, Bahagian dan Kerajaan, kerja-kerja merangka perlembagaaan- perlembagaan itu telah dapat disiapkan dalam waktu yang singkat.

Draf Perlembagaan bagi Universiti Malaya yang baru telah diterima dengan beberapa pindaan oleh Parlimen Persekutuan dalam bulan Oktober 1961 sementara Draf Perlembagaan bagi Universiti Singapura pula telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Perundangan Singapura dalam bulan Disember 1961. Pada 1 Januari 1962 Universiti Malaya menjadi Universiti Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu melalui Akta Universiti Malaya 1961, dan pada waktu yang sama Universiti Malaya di Singapura menjadi Universiti Singapura.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard