un_flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Menjadi Ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

17 September 1957 – Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu dengan rasminya diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Keahlian Persekutuan Tanah Melayu diusulkan oleh wakil Kerajaan Britain dengan mendapat sokongan sebulat suara dari ahli-ahli yang hadir yang menjadi anggota Majlis Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.

Pada hari ini juga buat julung kalinya dalam sejarah perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu suara Persekutuan Tanah Melayu yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 telah kedengaran dalam persidangannya. Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka sebagai wakil tetapnya di PBB.

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman

Kemasukan Persekutuan Tanah Melayu ke dalam pertubuhan dunia ini, telah memberi peluang kepada negara untuk bersahabat dengan semua negara tanpa sekatan serta memberi sumbangan tenaga, buah fikiran ke arah matlamat untuk menegakkan keamanan dunia.

Dengan menjadi ahli PBB ini juga, Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa Bersatu dan Perjanjian Am (General Agreement) Tarif dan Perdagangan.

Sesungguhnya Pengiktirafan PBB terhadap Persekutuan Tanah Melayu adalah satu lagi kemajuan dan perkembangan yang dibanggakan dalam proses ke arah mengisi kemerdekaan negara sepenuhnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard