jata_johor-800px
Sejarah

Sultan Ibrahim Johor Diisytiharkan Menjadi Sultan

07 September 1895 – Pada tahun 1895, Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim diisytiharkan menjadi Sultan Johor menggantikan almarhum ayahanda baginda diistiadat pemakaman jenazah Sultan Abu Bakar di Istana Besar, Johor Bahru. Sempena perisytiharan ini satu istiadat pertabalan dan memahkotakan baginda sebagai Sultan Yang di-Pertuan Negeri Johor telah diadakan pada 2 November 1895. Ketika itu baginda baru sahaja berusia 22 tahun.

Sebelum ini baginda bergelar Tengku Mahkota Johor iaitu gelaran yang disandang sejak tahun 1891. Sebelum menjadi sultan, baginda pernah memasuki perkhidmatan Pasukan Askar Johor sebaik sahaja tamat persekolahan. Setelah menerima tauliah sebagai Leftenan Muda dalam pasukan tersebut baginda telah berkhidmat sebagai ‘edikong’ kepada ayahanda baginda almarhum Sultan Abu Bakar.

Johor-Ibrahim

Baginda merupakan seorang raja yang tegas dan mementingkan disiplin. Kakitangan di bawah kerajaan baginda sering diingatkan supaya tidak bertindak sesuka hati malah mereka dikehendaki menjalankan tugas dengan betul dan menepati waktu serta berpakaian lengkap dan kemas. Untuk itu lawatan-lawatan sering dilakukan oleh baginda sendiri bagi melihat keadaan ini.

Di awal pemerintahan baginda ini kebanyakkan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah berada di bawah naungan British atau setidak-tidaknya telah menerima Penasihat Am British namun ketegasan dan kebijaksanaan baginda telah dapat menjamin negeri Johor daripada kawalan pengaruh Inggeris. Baginda bersikap merdeka dan tidak suka dikawal malah jarang mengikut nasihat daripada pejabat Jajahan di London apatah lagi nasihat-nasihat daripada pegawai-pegawai Inggeris di negeri-negeri Selat.

Pada awal tahun 1910 barulah baginda menerima Penasihat Am British atas sebab-sebab tertentu tetapi hanyalah bermakna memasuki lingkungan pentadbiran dan pengawalan Inggeris di peringkat boleh menasihati tetapi tidak dimestikan diikuti. Kehadiran pegawai British hanyalah menunjuk ajar kaedah pentadbiran cara moden sahaja.

Baginda telah melalui zaman pemerintahan yang lama iaitu sepanjang 64 tahun. Baginda sama-sama meniti sejarah kemasukan Inggeris bahana Perang Dunia Pertama dan Kedua, pemerintahan Jepun dan kehadiran semula Inggeris di Tanah Melayu. Malah baginda juga turut sama menandatangani Perjanjian Persekutuan yang membatalkan kewujudan ‘Malayan Union’ di Tanah Melayu.

Baginda seorang raja yang memandang tinggi nilai kemerdekaan negerinya dan mempercayai hubungan baik dengan negara luar terutama kerajaan Inggeris dapat membantu baginda mempertahankan maruah negerinya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kereta_api-800px
Sejarah

Perasmian Landasan Kereta Api Pantai Timur

05 September 1931 – Pada tahun 1931, landasan kereta api Pantai Timur yang menghubungkan Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad ke IV bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Cecil Clementi.

Perasmian ini adalah bersempena dengan pembukaan landasan kereta api dari Gua Musang ke Kuala Gris di Kelantan. Pembinaan landasan kereta api pantai Timur itu dijalankan secara berperingkat dari dua hala, iaitu dari Selatan ke Utara dan sebaliknya.

Dari Selatan ke Utara pembinaannya bermula dari Gemas hingga ke kawasan sempadan Negeri Sembilan dan negeri Pahang yang disiapkan pada tahun 1910. Dalam tahun 1912 landasan ini siap dibina hingga ke Kuala Krau di Pahang.

Dalam tahun 1917 pula landasan diteruskan hingga ke Kuala Lipis. Dari Kuala Lipis pembinaannya diteruskan ke Padang Tengku dan siap dalam tahun 1921. Pembinaannya diteruskan hingga ke Chegar Perah di Pahang dalam tahun 1923 dan disambung hingga ke Merapoh dan sempadan Pahang-Kelantan dalam tahun 1927. Pada bulan Julai 1930 ia telah siap dibina hingga ke Gua Musang di Kelantan.

Kos pembinaan landasan kereta api Pantai Timur ini dianggarkan sebanyak hampir RM 39 juta. Dengan siapnya landasan kereta api itu ia bukan sahaja dapat menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan Singapura melalui Johor Bahru tetapi juga dengan negeri Siam melalui jalan kereta api dari Pasir Mas ke pekan Golok yang dibuka pada tahun 1921.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Tun Abdul Jalil Diangkat Menjadi Sultan Johor Ke 11

03 September 1699 – Pada tahun 1699, Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil telah dilantik menjadi Sultan Johor yang ke sebelas dan bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Pelantikan baginda sebagai Sultan adalah bagi menggantikan Sultan Mahmud Shah II (Sultan Mahmud mangkat dijulang) yang telah dibunuh oleh seorang pahlawannya. Dengan pelantikan Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor, maka berakhirlah keturunan Kesultanan Melayu Melaka di Johor.

Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil adalah bendahara kepada Sultan Mahmud Shah II dan anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid. Beliau telah dilantik menjadi bendahara pada tahun 1697 setelah ayahandanya mangkat. Oleh kerana sikap Sultan Mahmud Shah II yang bengis dan ganjil, maka pembesar-pembesar istana sentiasa sahaja merujuk kepada Bendahara Tun Abdul Jalil dalam semua segi pentadbiran negeri.

Akhirnya, apabila Sultan Mahmud Shah membunuh isteri salah seorang pahlawan istana (Megat Seri Rama) yang sedang mengandung. Megat Seri Rama telah menyatakan sikapnya untuk membela kematian isterinya kepada pembesar-pembesar istana. Pembesar-pembesar istana yang bencikan sikap Sultan Mahmud Shah II menyatakan sokongan mereka dan akhirnya baginda dibunuh oleh Megat Seri Rama, pembesar-pembesar istana terus melantik Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor yang kesebelas.

Sultan Abdul Jalil telah memerintah negeri Johor selama 19 tahun, antara tahun 1699 hingga 1718. Semasa pemerintahan baginda beberapa pergolakan telah berlaku. Pada 1717, Raja Kecil Siak yang mengaku dirinya adalah waris Sultan Mahmud Shah telah datang menyerang negeri Johor. Raja Kecil Siak yang telah dibantu oleh orang laut Singapura dan Johor telah menyerang Panchor pada tahun 1718. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah mengaku kalah dan diampunkan oleh Raja Kecil. Baginda kemudian dilantik semula sebagai Bendahara setelah Johor jatuh ke tangan Raja Kecil Siak pada 21 Mac 1718.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sungai_endau-800px
Sejarah

Perjanjian Mengenai Sempadan Pahang-Johor

01 September 1868 – Pada tahun 1868, satu perjanjian mengenai sempadan Pahang-Johor telah ditandatangani oleh Bendahara Wan Ahmad yang menjadi Raja Pahang dan Sultan Abu Bakar, Sultan Johor dan disaksikan oleh Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Pertikaian sempadan antara Pahang dan Johor berlarutan beberapa lama antara Bendahara Wan Ahmad dengan Sultan Abu Bakar, Johor.

Wan Ahmad juga berjaya menaiki tahta kerajaan Pahang setelah berjaya mengalahkan saudaranya Wan Mutahir telah mendakwa beberapa buah pulau di Laut China Selatan kepunyaan Pahang. Ini kerana pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan lain-lain itu diserahkan oleh Wan Mutahir kepada Johor semasa pemerintahannya dan Bendahara Wan Ahmad yang menggantikan Wan Mutahir tidak mengiktirafnya. Wan Ahmad tetap menuntut pulau-pulau itu hak Pahang.

sungai endau

Sungai Endau / Sempadan Pahang – Johor

Pertikaian ini hampir mencetuskan peperangan tetapi Inggeris di Singapura telah campurtangan sebagai orang tengah. Bagaimanapun usaha Gabenor Cavanagh tidak berjaya membawa kedua-dua pihak ke meja perundingan.

Pada bulan Oktober 1863 Bendahara Wan Ahmad mengutus surat kepada Gabenor Inggeris di Singapura menjemputnya datang ke Pahang untuk menyaksikan sendiri keadaan di Pahang. Hasil dari laporan Gabenor Inggeris di Singapura tentang persetujuan Orang Besar Empat Pahang mengakui Wan Ahmad sebagai Raja, Kerajaan Inggeris kemudiannya mengiktiraf Pahang. Pengiktirafan ini meredakan sedikit pertikaian Johor-Pahang tetapi masih lagi tidak mencapai keputusan muktamad. Walaupun mengiktiraf kerajaan Pahang tetapi Gabenor Inggeris di Singapura juga tidak mengakui tuntutan Pahang ke atas pulau-pulau tersebut.

Dalam tahun 1867 Johor bersetuju mengadakan perundingan. Dalam tahun 1868 Sir Harry Ord yang menjadi Gabenor baru Negeri-Negeri Selat berjaya memujuk Pahang mengadakan perundingan. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1868, satu perjanjian ditandatangani antara Johor dan Pahang yang telah menyelesaikan masalah sempadan di mana Sungai Endau menjadi sempadan darat dan bahagian tengah Kuala Sungai Endau menjadi sempadan laut kedua-dua negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_ahmad_and_frederic_duberly_1902-800px
Sejarah

Campur Tangan Inggeris Di Pahang

24 Ogos 1888 – Pada tahun 1888, Sultan Pahang, Sultan Ahmad di dalam keadaan serba salah telah terpaksa menandatangani sepucuk surat meminta Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Pahang seperti mana Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Akibat dari surat ini bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang dan John P. Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris di negeri Pahang.

Kekayaan hasil bumi Pahang telah menarik minat penjajah Inggeris, tetapi telah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menakluki negeri itu.

Pada tahun 1885 Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad, tetapi gagal.

Pada tahun 1887 Hugh Clifford pula telah diutuskan untuk mengikat Perjanjian Pertahanan tetapi telah juga ditolak oleh Sultan Ahmad.

Akhirnya Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang mengadap Sultan Ahmad dan telah mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris.

Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di negeri Pahang.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Inggeris masih belum puas hati terhadap penglibatannya dalam negeri Pahang.

Pada bulan Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina.

Pihak Inggeris telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris, dan telah menuntut ganti rugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya.

Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai Residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang.

Tuntutan-tuntutan ini dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Smith yang datang bersama-sama dengan Frank Swettenham dan Pickering ke Pahang pada bulan Jun 1888.

Sultan Ahmad telah diberi tempoh oleh Cecil Smith selama 10 hari untuk memberi kata putus.

Dalam masa yang sama Inggeris telah meminta jasa baik Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, supaya campur tangan di atas perselisihan ini.

Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke Negeri Pahang mengadap Sultan Ahmad. Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa untuk berperang dengan Inggeris adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia saja.

Sultan Ahmad sebagaimana kebiasaannya terlebih dahulu terpaksa mendapatkan pandangan dari pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan.

Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, Imam Perang Indera Gajah telah meminta Sultan menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia berperang dengan Inggeris.

Akhirnya, dalam keadaan yang serba salah pada hari ini dalam tahun 1888 Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepucuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris di dalam urusan pentadbiran dan menjalankan sistem yang sama ke atas negeri Pahang seperti mana yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Sultan Ahmad juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. Dengan surat ini bermakna negeri Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris.

Pada bulan Oktober, 1888, John Pickersgill Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Pahang dan bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang secara langsung di dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dutch_war1-800px
Sejarah

Pertempuran Belanda-Portugis Di Pelabuhan Melaka 1606

17 Ogos 1606 – Satu pertempuran di antara kapal-kapal angkatan perang Belanda dengan kapal-kapal angkatan perang Portugis telah berlaku di pelabuhan Melaka pada tahun 1606.

Dalam pertempuran Belanda-Portugis di Pelabuhan Melaka ini telah berlaku tembak-menembak dengan meriam dari kapal masing-masing dan kedua-dua pihak telah kehilangan dua buah kapal.

Walaupun pihak Belanda yang diketuai oleh Admiral Matelief telah berjaya dalam pertempuran itu, mereka telah meninggalkan pelabuhan Melaka seminggu kemudiannya kerana gagal mengalahkan orang-orang Portugis di Kota Melaka.

Pertempuran ini adalah ekoran daripada serangan askar-askar Belanda ke atas askar-askar Portugis yang bertahan di Kota Melaka sebelum itu.

Dalam serangan ini askar-askar Johor telah membantu orang-orang Belanda mengikut syarat-syarat dalam perjanjlan yang telah dibuat oleh Raja Abdullah dengan Belanda.

Selama Admiral Matelief mengepung dan menyerang Kota Melaka, orang-orang Portugis yang bertahan dalam kota itu terpaksa menanggung penderitaan, terutamanya kekurangan bekalan makanan.

Tetapi orang-orang Portugis tetap melawan dengan gigihnya sehingga askar-askar Belanda dan Johor itu telah gagal menembusi Kota Melaka, padahal kampung-kampung dan tempat-tempat di luar kota di sekitar bandar Melaka telah dikuasai oleh pihak Belanda dan Johor.

Bagaimanapun pada 17 Ogos, sebuah angkatan perang Portugis yang besar yang mengandungi empat belas buah kapal perang besar dan sebanyak itu pula kapal-kapal kecil dari Goa telah sampai ke pelabuhan Melaka untuk membantu mempertahankan Melaka.

Askar-askar Belanda pula yang telah menunggu di sekeliling Kota Melaka sekian lama itu telah balik semula ke kapal-kapal mereka dengan membawa meriam-meriam serta alat-alat senjata mereka.

Kedua-dua pihak itu terus bertembung dan berlakulah pertempuran sengit pada hari ini dalam tahun 1606 di pelabuhan Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Trafalgar-Auguste_Mayer-800px
Sejarah

Portugis Menyerang Johor Lama Dan Kota Batu

15 Ogos 1587 – Pada tahun 1587, Portugis menyerang Johor Lama dan Kota Batu di negeri Johor. Peperangan ini merupakan serangan balas Portugis terhadap Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil yang telah menyerang Melaka pada bulan Januari.

Akibat serangan Johor ke atas Melaka itu, kerajaan Portugis di Melaka telah meminta pertolongan Wizurai Portugis di Goa. Ini kerana Portugis mengalami kesusahan yang amat teruk, terutama kekurangan makanan.

Sebagai langkah mengatasi masalah ini, Wizurai Portugis di Goa, telah menghantar satu angkatan perang yang mengandungi 16 buah kapal besar yang diketuai oleh Paulo de Lima Pereira.

Pada 10 Ogos 1587, angkatan perang ini telah menuju ke Johor Lama dan serangan telah dilakukan pada hari ini dalam tahun 1587.

Bandar Johor Lama adalah sebuah bandar yang cantik, terletak di atas sebuah bukit yang memanjang di tebing sungai Johor. Bandar ini dikelilingi oleh pagar-pagar kayu yang sangat kuat.

Di samping itu, tidak jauh dari bandar ini terdapat sebuah kota batu yang disebut Kota Batu yang sangat kukuh.

Semasa Portugis menyerang bandar Johor Lama ini, Raja-raja Melayu dari Terengganu, Inderagiri dan Kampar ada di Johor Lama dan mereka telah membantu Sultan Johor.

Dalam peperangan ini, Portugis telah berjaya menewaskan Kerajaan Johor. Sultan Ali Jalla serta pembesar-pembesar baginda telah melarikan diri mudik ke hulu dan mendirikan pusat pemerintahan yang baru di Batu Sawar, di tepi sungai Johor pada akhir tahun 1587.

Peperangan ini telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan harta benda. Peperangan di antara Portugis dan Johor ini yang bermula dari tahun 1586, tidak berakhir dengan serangan ini sahaja tetapi ia berterusan sehinggalah Portugis kalah kepada Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malacca_dutch-800px
Sejarah

Perjanjian Belanda – Selangor Ditandatangani

13 Ogos 1784 – Perjanjian Belanda – Selangor ditandatangani berikutan penaklukan Belanda ke atas Selangor pada tahun 1784.

Dengan termeterainya perjanjian ini kuasa Sultan jatuh ke tangan Belanda dan semua bangsa lain seperti Bugis, Cina dan Eropah tidak dibenarkan memasuki pelabuhan Selangor kecuali orang-orang Belanda.

Perjanjian ini juga membawa kepada wujudnya hubungan di antara Syarikat Belanda Hindia Timur dengan Selangor.

Sebenarnya perjanjian ini memberikan kesan yang besar kepada orang-orang Bugis yang selama ini memusuhi orang-orang Belanda. Permusuhan di antara kedua belah pihak bermula apabila Belanda menakluki Makasar pada tahun 1668 dan menghalau orang-orang Bugis dari tanah air mereka.

Namun begitu orang-orang Bugis terus memainkan peranan penting di Kepulauan Melayu dengan menjadi penyokong kuat Sultan-sultan. Sehingga tahun 1718 orang-orang Bugis masih mempunyai pengaruh yang kuat ke atas pemerintahan negeri-negeri Kepulauan Melayu.

Pada tahun 1722, orang-orang Bugis mengadakan perjanjian dengan Sultan Johor. Perjanjian ini meluaskan lagi pengaruh mereka di negeri tersebut.

Menyedari keadaan ini Sultan cuba membebaskan diri dari pengaruh Bugis. Percubaan ini membawa kepada perselisihan di antara kedua belah pihak. Akibatnya wujud pula perhubungan di antara pihak Sultan dengan Belanda.

Hubungan ini memberi peluang baik kepada Belanda yang selama ini merasakan orang-orang Bugis mengancam kepentingan ekonomi mereka.

Keadaan ini berterusan sehingga tahun 1784, apabila Belanda merasakan tekanan yang hebat akibat peluasan pengaruh orang-orang Bugis yang telah menguasai kawasan-kawasan di Selat Melaka dari Riau hingga ke Kedah.

Belanda akhirnya terpaksa meminta bantuan dari Terengganu dan Kedah apabila diserang oleh orang-orang Bugis. Terengganu yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Belanda sejak 1766 turut membantu. Manakala Kedah yang menghadapi ancaman dari Siam tidak dapat membantu.

Akhirnya, serangan orang-orang Bugis yang diketuai oleh Raja Muda Riau dapat dipatahkan. Raja Muda Riau terbunuh manakala ibu negeri Selangor ditawan oleh Belanda.

Dengan jatuhnya ibu negeri Selangor ke tangan Belanda dan termeterainya perjanjian Belanda-Selangor pada hari ini dalam tahun 1784, berakhirnya pengaruh orang-orang Bugis yang sekian lama berkuasa di Kepulauan Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Daeng Merewah-Yamtuan Muda Riau Pertama Mangkat

07 Ogos 1782 – Pada tahun 1782, Daeng Merewah, Yamtuan Muda Riau yang pertama mangkat setelah menjadi Yamtuan Muda Riau semenjak tahun 1722 dan dimakamkan di Sungai Baru, Riau. Daeng Merewah adalah salah seorang Raja-raja Bugis Lima Bersaudara dan berasal dari tanah Bugis.

Saudara-saudara baginda yang lain ialah Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi.

Semenjak awal kurun masihi yang ke-15, Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini mengembara dengan perahu-perahu perang mereka ke kawasan-kawasan bahagian Barat Nusantara terutama di perairan Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Riau dengan tujuan untuk berkuasa memerintah negeri-negeri di situ.

Pengaruh Raja-raja Bugis Lima Bersaudara mula tersebar di Semenanjung Tanah Melayu ketika pemerintahan Raja Kecil Johor yang bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat iaitu Sultan Johor yang ke-12.

Raja Kecil menaiki takhta kerajaan Johor setelah menyerang dan berjaya mengalahkan Kerajaan Johor di bawah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV pada tahun 1718. Baginda kemudian telah menjadikan Sultan Abdul Jalil, bekas Sultan Johor sebagai Bendaharanya.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan putera dan puteri Sultan Abdul Jalil iaitu Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah.

Kedatangan Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini disambut oleh Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah. Mereka telah meminta bantuan Raja-raja Bugis ini bagi menjatuhkan semula Raja Kecil dari Takhta Kerajaan Johor.

Satu perjanjian telah dibuat antara kedua pihak di mana jika mereka berjaya merampas kembali kerajaan Johor dari Raja Kecil, salah seorang dari Raja Bugis itu akan dijadikan Yamtuan Muda atau Raja Muda turun temurun.

Selepas itu Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini pun kembali ke Pasai untuk menyiapkan angkatan perang mereka.

Sementara itu negeri Johor berada di dalam huru-hara kerana rakyat Johor telah terbahagi dua, satu pihak menyebelahi Raja Kecil dan satu lagi menyebelahi Sultan Abdul Jalil.

Akhirnya peperangan telah meletus di antara kedua belah pihak dan Sultan Abdul Jalil telah mengalami kekalahan dan berundur ke Pahang. Semasa dalam perjalanan ke Riau, Sultan Abdul Jalil telah dibunuh atas arahan Raja Kecil pada tahun 1720.

Peristiwa ini telah menimbulkan kemarahan putera baginda Raja Sulaiman dan Tun Abbas. Pada tahun 1721, Raja Sulaiman telah meminta pertolongan dari Raja-raja Bugis ini untuk merampas semula Kerajaan Johor.

Pada 4 Oktober 1722, Raja Sulaiman telah dilantik sebagai Sultan Johor setelah mengalahkan Raja Kecil. Berdasarkan kepada perjanjian yang telah ditandatangani maka Raja Sulaiman telah melantik Daeng Merewah sebagai Yamtuan Muda Riau I dan bergelar Kelana Jaya Putera.

Baginda telah digantikan oleh saudaranya Daeng Chelak selepas kemangkatan baginda hari ini dalam tahun 1728.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kemerdekaan_malaysia
Sejarah

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ditandatangani

05 Ogos 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara Raja-raja dengan wakil Baginda Queen, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur dalam satu upacara gemilang yang berlangsung selama dua jam.

Pada kira-kira jam 9.30 pagi, seramai 15 orang penandatangan utama, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, delapan orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (iaitu selain daripada Yang di-Pertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penandatangan-penandatangan telah menandatangani perjanjian itu dengan menggunakan pena yang khas bertulis Federation of Malaya Agreement 1957.

Perjanjian ini telah ditandatangani dalam 40 salinan, 20 dalam Bahasa Melayu dan 20 lagi dalam Bahasa Inggeris. Dua salinan daripada perjanjian itu dihantar kepada kerajaan British, sementara dua lagi disimpan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Satu salinan tiap-tiap satu dihantar kepada tiap-tiap negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang, sementara untuk Negeri Sembilan diserahkan enam salinan memandangkan kepada perkembangannya yang sebegitu rupa.

Artikel 3, Perjanjian ini menyatakan bahawa mulai daripada 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Selat akan tertubuh menjadi satu Persekutuan yang baru Melayu yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggerisnya, The Federation of Malaya.

Oleh itu dengan sendirinya Perjanjian ini telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan dengan itu berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen ke atas Melaka dan Pulau Pinang. Dan dengan itu juga segala kuasa dan jurisdiksi baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir.

perjanjian kemerdekaan

Dalam ucapannya, sebelum upacara menandatangani perjanjian itu, wakil Baginda Queen, Sir Donald MacGillivray menyatakan bahawa beliau yakin perjanjian ini akan dapat menyediakan segala keperluan sebuah kerajaan yang sesuai kepada negara yang berbilang bangsa, dan negara baru ini akan menghadapi masa depan yang agung dan gemilang.

DYMM Sultan Kedah, selaku wakil Raja-Raja Melayu bertitah dan berharap kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa bahawa apa yang dilakukan pada hari itu akan membawa kebahagian yang berkekalan kepada negara ini.

Dua puluh enam hari kemudiannya, pada 31 Ogos 1957, berkuatkuasalah Perjanjian ini ke atas seluruh umat di Persekutuan Tanah Melayu dalam menentukan proses sejarah selanjutnya apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British.

Ia telah disambut dengan lantang dan megah oleh laungan Merdeka oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, dalam upacara Pengisytiharan Kemerdekaan yang bergemuruh dan bersemangat, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard