pejabat pos bergerak di sarawak
Sejarah

Pelancaran Pejabat Pos Bergerak Di Sarawak

17 Mac 1969 – Pada tahun 1969, Menteri Kerja raya, Pos dan Telekom, Tun V.T. Sambanthan telah memperkenalkan Pejabat Pos Bergerak di Sarawak. Pejabat Pos Bergerak ini memulakan perkhidmatannya di Bahagian Pertama negeri tersebut.

Tujuan utama kerajaan mengadakan Pejabat Pos Bergerak ini ialah untuk meluaskan bagi perkhidmatan kepada penduduk-penduduk di daerah-daerah yang tidak terdapat perkhidmatan pos sama ada Pejabat Pos atau Wakil Pos. Perkhidmatan ini meliputi kawasan bandar dan juga luar bandar.

Pada dasarnya Pejabat Pos Bergerak yang diperkenalkan ini berpusat di bandar Kuching dan beroperasi di kampung-kampung serta di kawasan-kawasan perumahan sekitar kawasan bandar tersebut.

Perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Pos Bergerak di Sarawak ini samalah seperti lain-lain Pejabat Pos seperti penjualan setem, menjual ‘Postal Order’ Malaysia dan British, menguruskan kiriman wang di antara negeri dan di luar negeri, mengeluarkan lesen radio/tv, menerima wang deposit Bank Simpanan Pejabat Pos dan menerima kiriman berdaftar.

Pejabat Pos Bergerak ini ditempatkan di dalam sebuah van jenis Bedford telah diubahsuai menjadi pejabat.

Dengan pengenalan Pejabat Pos Bergerak di Sarawak pada tahun ini telah meluaskan perkhidmatan pos ke kawasan-kawasan terpencil di negeri itu. Cara ini dapat membantu perkembangan sosial ekonomi penduduk di negeri tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bank_bumiputra-800px
Sejarah

Perasmian Pembukaan Bank Bumiputra Malaysia Berhad

10 Mac 1966 – Perasmian Pembukaan Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur telah dilakukan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 10 Mac 1966. Bank ini ditubuhkan hasil daripada salah satu resolusi Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan pada 4-6 Jun 1965 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bank_Bumiputra_Malaysia_Berhad_(BBMB)_logo

Resolusi tersebut mencadangkan sebuah Bank Bumiputra Malaysia Berhad hendaklah ditubuhkan sebagai suatu bank perniagaan biasa dengan modalnya disediakan oleh kerajaan sebelum hak miliknya diserahkan kepada kaum bumiputera melalui jualan sahamnya.

bank_bumiputera

Bank Bumiputra Malaysia Berhad dilancarkan oleh Tun Abdul Razak pada 1 Oktober 1965 dengan modal sebanyak RM 25 juta. Ia ditadbir oleh Mohd Raslan bin Dato’ Abdullah sebagai pengarah urusan dan Tengku Razaleigh sebagai pengarah eksekutif. Pengarah yang lain adalah S.O.K. Ubaidulla, L.E Osman, K. Mushir Ariff, Wan Yahya bin Haji Mohamad, K.D. Eu dan Kuok Hock Nian.

Penggabungan Bank Bumiputra Malaysia Berhad

Bank Bumiputera telah digabungkan dengan Rashid Hussain Berhad yang menguasai Development and Commerce Bank di bawah skim penggabungan bank-bank. Pada tahun 1999, bank ini bergabung dengan Commerce-Asset Holdings Berhad (CAHB) dan kemudiannya dikenali sebagai Bumiputra-Commerce Holdings Berhad (BCHB).

Bumiputra Commerce

Pada tahun 2004, hasil gabungan Bank Bumiputra-Commerce dan Southern Bank dengan Commerce International Merchant Bankers (CIMB), ia kini dikenali sebagai CIMB Bank.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bank_negara-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Bank Negara Malaysia

24 Januari 1959 – Bank Negara Tanah Melayu ( Bank Negara Malaysia) telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada tahun 1959.

Di dalam titah perasmiannya baginda telah menyatakan bahawa dengan tertubuhnya Bank Negara ini, ia menandakan satu lagi peristiwa penting yang telah dicatat di dalam sejarah Tanah Melayu semenjak negara mencapai kemerdekaan.

bank negara malaysia-1

Bank Negara Malaysia

Antara fungsi utama Bank Negara ialah seperti merancang aktiviti kewangan kerajaan selain bertanggungjawab menentukan perjalanan aktiviti ekonomi negara, termasuklah menyelenggarakan segala keadaan kredit yang boleh mendatangkan kebaikan kepada Kerajaan Persekutuan.

Tuan W.H Wilcock telah dipertanggungjawabkan sebagai Gabenor Bank Negara yang pertama, sebelum dilantik ke jawatan tersebut beliau merupakan Penasihat Bank Kerajaan dan telah memegang jawatan tersebut dari Januari 1959 hingga Julai 1962.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
terowong_genting-800px
Sejarah

Perasmian Terowong Dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur

07 Januari 1978 – Pada tahun 1978, Terowong dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya kepada lalulintas oleh Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Haji Abdul Ghani Gilong. Lebuhraya yang mengandungi sebuah terowong sepanjang 3,000 kaki dan sepanjang 47 batu di Genting Sempah ini telah mendekatkan Karak dengan Kuala Lumpur.

karak

Lebuhraya yang menelan belanja sebanyak $136.4 juta ini merupakan laluan alternatif kepada jalan Gombak – Bentong yang sempit dan bengkang-bengkok dengan dibiayai melalui pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia.

Terowong Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ini merupakan yang pertama dibina di Malaysia ini, telah dilengkapi dengan kamera bagi mengawal pergerakan kenderaan yang melalui terowong ini yang dipancarkan di rumah kawalan terowong.

terowong_genting

Sesungguhnya, pembinaan terowong dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ini telah memendekkan perjalanan di antara Kuala Lumpur dan negeri-negeri Pantai Timur, serta menggalakkan perkembangan ekonomi yang lebih pesat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
100_dolar_strait-800px
Sejarah

Undang-Undang Wang Kertas Negeri-Negeri Selat Diumumkan

03 Disember 1896 – Pada tahun 1896, Undang-Undang mengenai nilai wang kertas Negeri-negeri Selat telah diumumkan. Sebelum undang-undang itu diumumkan, terdapat pelbagai masalah mengenai penggunaan unit kewangan, nilai matawang dan penawaran wang yang dikawal oleh nilai sterling. Pada tahun 1867, dolar secara rasminya telah diterima sebagai unit kewangan di Negeri-negeri Selat dan Tanah Jajahan British yang lain.

100 dollars

Berikut itu, disyor supaya kerajaan mengeluarkan wang kertas dan cadangan itu dibuat oleh Perbendaharaan British. Bagaimanapun, apabila cadangan tersebut dimajukan kepada Majlis Perundangan, ianya ditentang oleh bank-bank yang juga diberi hak mengeluarkan wang. Oleh itu, memandangkan berbagai masalah dan bantahan diterima, Majlis Perundangan akhirnya mengambil keputusan supaya diadakan satu Undang-Undang mengenai nilai wang kertas Negeri-negeri Selat yang dikawal oleh kerajaan.

100 dollars back

Dengan itu pada tahun 1893, wang kertas bernilai 5, 10, 50 dan 100 dolar telah dikeluarkan. Cadangan mengeluarkan wang kertas bernilai satu dolar, ditentang oleh Dewan Perniagaan Pulau Pinang. Berikutan dengan itu juga, Setiausaha Tanah Jajahan mengumumkan Oridinan Nilai Matawang 1894 (Currency Note Ordinance). Undang-undang Nilai Wang Kertas Negeri-negeri Selat telah diumumkan pada 1896, tetapi undang-undang itu hanya dikuatkuasakan pada awal tahun 1899, iaitu setelah dibuat beberapa pindaan berikutan bantahan yang dibuat oleh bank-bank perdagangan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kementerian_kewangan-800px
Sejarah

Pinjaman Luar Negeri Yang Pertama Bagi Persekutuan Tanah Melayu Diumumkan

17 Julai 1963 – Pada tahun 1963 Menteri Kewangan, Tan Siew Sin telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya mendapatkan pinjaman luar negeri yang pertama di London.

Beliau mengumumkan bahawa stok Persekutuan Tanah Melayu bernilai £5 juta bersamaan dengan $40.05 juta akan dikeluarkan di London pada hari Jumaat 19 haribulan.

Stok ini akan matang dalam masa sepuluh tahun dengan kadar faedah 6 1/2 peratus setahun dan dengan harga £98 paun. Permohonan untuk mendapatkan stok ini akan dibuka dan ditutup pada hari Jumaat yang sama di Bank of England yang bertindak selaku pendaftar stok.

Pinjaman yang pertama kali dikendalikan di luar negeri ini dilancarkan di bawah perbekalan-perbekalan yang diperuntukkan dalam External Loans Act, 1963 yang baru saja diluluskan dalam bulan Jun pada tahun yang sama.

la juga merupakan pinjaman asing yang pertama kali dikeluarkan kepada umum oleh Persekutuan Tanah Melayu sejak tercapainya kemerdekaan. Hasil dari pengeluaran pinjaman ini akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Persekutuan.

Pengeluaran pinjaman luar ini adalah merupakan satu perkembangan yang menggalakkan dalam sejarah kemajuan kewangan dan ekonomi di mata antarabangsa.

Pengeluarannya sebelum tertubuhnya Malaysia adalah menandakan keyakinan pasaran modal London terhadap masa depan Persekutuan Tanah Melayu dan gagasan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wang_malaysia-800px
Sejarah

Undang-Undang Mata Wang Diluluskan

24 Jun 1960 – Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Undang-undang Mata Wang 1960 setelah dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang ini kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berhak melalui Menteri Kewangan menyampaikan permintaan kerajaan untuk keluar dari Lembaga Pesuruhjaya Wang yang dibentuk oleh kerajaan British seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Wang Malaya-Borneo British 1950.

Rang Undang-undang yang diluluskan ini juga mengesahkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaya-Borneo British, 1960 dan berjalan kuatkuasannya pada 1hb Januari, 1961. Persekutuan Tanah Melayu telah diberi hak keistimewaan yang lebih di dalam Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baharu ini dalam mana ia diwakili oleh dua orang ahli, seorang daripadanya dimestikan menjadi Pengerusi Lembaga.

Bagi anggota-anggota lain iaitu kerajaan Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah diwakili oleh seorang ahli bagi tiap-tiap negeri. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Menteri Kewangan adalah Pengerusi Lembaga. Kuasa-kuasa yang dipegang oleh Setiausaha bagi Tanah Jajahan British mengikut Perjanjian tahun 1950 telah dipindahkan kepada Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baru ini.

Lembaga ini dibenarkan memegang harta yang bernilai hingga setakat RM 300 juta. Kerajaan-kerajaan yang menjadi anggota juga diberi peluang menggunakan kumpulan wang ini bagi pebelanjaan pembangunan negara. Lembaga ini diberi kuasa memperniagakan wangnya dalam jaminan mata wang sterling yang kukuh dan diakui oleh badan-badan kewangan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Encik Tan Siew Sin semasa mengemukakan Undang-undang Mata Wang 1960 di Dewan Rakyat menyatakan perjanjian ini adalah perintis jalan kepada Bank Negara untuk mengeluarkan sendiri matawang ringgit Tanah Melayu. Peraturan-peraturan baru ini adalah merupakan satu panduan kepada Bank Negara untuk mengkaji dan mengaturkan rancangan jangka panjang yang sesuai mengenal dasar mata wang Persekutuan Tanah Melayu untuk mengelakkan kebimbangan dan keraguan terhadap nilai matawang negara kita.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard