pejabat pos bergerak di sarawak
Sejarah

Pelancaran Pejabat Pos Bergerak Di Sarawak

17 Mac 1969 – Pada tahun 1969, Menteri Kerja raya, Pos dan Telekom, Tun V.T. Sambanthan telah memperkenalkan Pejabat Pos Bergerak di Sarawak. Pejabat Pos Bergerak ini memulakan perkhidmatannya di Bahagian Pertama negeri tersebut.

Tujuan utama kerajaan mengadakan Pejabat Pos Bergerak ini ialah untuk meluaskan bagi perkhidmatan kepada penduduk-penduduk di daerah-daerah yang tidak terdapat perkhidmatan pos sama ada Pejabat Pos atau Wakil Pos. Perkhidmatan ini meliputi kawasan bandar dan juga luar bandar.

Pada dasarnya Pejabat Pos Bergerak yang diperkenalkan ini berpusat di bandar Kuching dan beroperasi di kampung-kampung serta di kawasan-kawasan perumahan sekitar kawasan bandar tersebut.

Perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Pos Bergerak di Sarawak ini samalah seperti lain-lain Pejabat Pos seperti penjualan setem, menjual ‘Postal Order’ Malaysia dan British, menguruskan kiriman wang di antara negeri dan di luar negeri, mengeluarkan lesen radio/tv, menerima wang deposit Bank Simpanan Pejabat Pos dan menerima kiriman berdaftar.

Pejabat Pos Bergerak ini ditempatkan di dalam sebuah van jenis Bedford telah diubahsuai menjadi pejabat.

Dengan pengenalan Pejabat Pos Bergerak di Sarawak pada tahun ini telah meluaskan perkhidmatan pos ke kawasan-kawasan terpencil di negeri itu. Cara ini dapat membantu perkembangan sosial ekonomi penduduk di negeri tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard