terowong_genting-800px
Sejarah

Perasmian Terowong Dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur

07 Januari 1978 – Pada tahun 1978, Terowong dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya kepada lalulintas oleh Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Haji Abdul Ghani Gilong. Lebuhraya yang mengandungi sebuah terowong sepanjang 3,000 kaki dan sepanjang 47 batu di Genting Sempah ini telah mendekatkan Karak dengan Kuala Lumpur.

karak

Lebuhraya yang menelan belanja sebanyak $136.4 juta ini merupakan laluan alternatif kepada jalan Gombak – Bentong yang sempit dan bengkang-bengkok dengan dibiayai melalui pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia.

Terowong Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ini merupakan yang pertama dibina di Malaysia ini, telah dilengkapi dengan kamera bagi mengawal pergerakan kenderaan yang melalui terowong ini yang dipancarkan di rumah kawalan terowong.

terowong_genting

Sesungguhnya, pembinaan terowong dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ini telah memendekkan perjalanan di antara Kuala Lumpur dan negeri-negeri Pantai Timur, serta menggalakkan perkembangan ekonomi yang lebih pesat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
map_lebuh_raya_timur_barat-800px
Sejarah

Pelancaran Pembinaan Lebuh Raya Timur Barat

09 April 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melancarkan peringkat pertama pembinaan Lebuh Raya Timur Barat di Mukim Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Lebuh raya sejauh 400 kilometer dan menelan belanja sebanyak 150 juta ini bermula dari Sungai Siput di negeri Perak melintasi negeri Kelantan hingga ke Kuala Berang, Terengganu. YAB Tun Abdul Razak menyifatkan, pembinaan lebuh raya ini sebagai satu simbol perpaduan rakyat dan lambang kemajuan dan pembangunan yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan untuk faedah rakyat.

Dengan pembinaan lebuh raya ini, beribu-ribu hektar tanah pertanian seperti getah, padi, kelapa sawit dan sebagainya akan dapat diterokai dengan adanya sistem perhubungan yang baik. Ia juga akan mendorong perlaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti projek-projek hidro elektrik dan penempatan-penempatan baru yang memberi faedah kepada penduduk-penduduk desa di sekitarnya.

Tugu lebuh Raya Timur Barat

Di dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kerajaan menumpukan perhatian untuk membasmi kemiskinan khasnya di kalangan penduduk desa dengan mengadakan pelbagai projek luar bandar melalui badan-badan tertentu seperti RIDA dan agensi-agensi swasta.

Tun juga menasihatkan penduduk-penduduk desa supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir subversif yang bertujuan untuk merosakkan kemakmuran dan keamanan negara melalui dakyah-dakyah halus. Rakyat mestilah bersatu-padu dan bekerjasama dengan kerajaan untuk kepentingan Negara.

Dengan pelancaran pembinaan lebuh raya Timur Barat pada hari ini dalam tahun 1964, penduduk desa khasnya di kawasan-kawasan yang terlibat telah dapat menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Kontrak Lebuhraya Utara-Selatan Ditandatangani

18 Mac 1988 – Pada tahun 1988, Menteri Kerja Raya, Y.B Datuk S. Samy Vellu bagi pihak Kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian penswastaan projek Lebuhraya Utara-Selatan yang menelan belanja sebanyak RM 3.4 bilion dengan Syarikat United Engineers (M) Berhad (UEM).

Di bawah perjanjian itu, kerajaan memberi pinjaman sokongan sebanyak RM 1.65 bilion dalam tempoh 10 tahun dan jaminan jumlah trafik dalam bentuk pinjaman kepada UEM untuk membolehkan syarikat itu beroperasi dengan berkesan. Menurut Datuk Samy Vellu, UEM selaku kontraktor utama akan menubuhkan satu konsortium terdiri daripada syarikat-syarikat Malaysia bertujuan untuk menubuhkan satu konsesi bagi mengendalikan projek pembinaan lebuh raya sepanjang lebih 494 km.

plus_category

Pembinaan projek Lebuhraya Utara-Selatan dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun dengan tempoh konsesi selama 30 tahun. Melalui perjanjian ini kerajaan akan memastikan semua pinjaman dikenakan syarat-syarat yang ketat bagi menjamin jumlah pinjaman yang diberi hanya digunakan semata-mata bagi pembinaan lebuh raya atau kepada bayaran-bayaran lain yang telah ditetapkan perjanjian.

Sesungguhnya, projek lebuh raya kebangsaan pertama yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia ini telah menjadi salah satu pemangkin kepada kepesatan pembangunan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard