kementerian_kewangan-800px

Pinjaman Luar Negeri Yang Pertama Bagi Persekutuan Tanah Melayu Diumumkan

17 Julai 1963 – Pada tahun 1963 Menteri Kewangan, Tan Siew Sin telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya mendapatkan pinjaman luar negeri yang pertama di London.

Beliau mengumumkan bahawa stok Persekutuan Tanah Melayu bernilai £5 juta bersamaan dengan $40.05 juta akan dikeluarkan di London pada hari Jumaat 19 haribulan.

Stok ini akan matang dalam masa sepuluh tahun dengan kadar faedah 6 1/2 peratus setahun dan dengan harga £98 paun. Permohonan untuk mendapatkan stok ini akan dibuka dan ditutup pada hari Jumaat yang sama di Bank of England yang bertindak selaku pendaftar stok.

Pinjaman yang pertama kali dikendalikan di luar negeri ini dilancarkan di bawah perbekalan-perbekalan yang diperuntukkan dalam External Loans Act, 1963 yang baru saja diluluskan dalam bulan Jun pada tahun yang sama.

la juga merupakan pinjaman asing yang pertama kali dikeluarkan kepada umum oleh Persekutuan Tanah Melayu sejak tercapainya kemerdekaan. Hasil dari pengeluaran pinjaman ini akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Persekutuan.

Pengeluaran pinjaman luar ini adalah merupakan satu perkembangan yang menggalakkan dalam sejarah kemajuan kewangan dan ekonomi di mata antarabangsa.

Pengeluarannya sebelum tertubuhnya Malaysia adalah menandakan keyakinan pasaran modal London terhadap masa depan Persekutuan Tanah Melayu dan gagasan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.