H.I.D.S. – Serangan Ke Atas Kubu Mat Salleh Di Ranau

Mat Saleh13 Disember 1897 – Pada hari ini dalam tahun 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara yang memerintah Sabah telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh. Mat Salleh adalah anak kepada Datu Balu dari Sulu.

Sebelum tahun 1881, Pengiran dari Brunei dan Datu-Datu dari Sulu mempunyai kuasa ke atas sungai-sungai utama di Sabah dan menjalankan kutipan cukai ke atas peniaga-peniaga yang berulang alik. Kuasa memungut cukai telah juga diambil alih oleh Syarikat itu telah berkuasa memerintah Sabah.

Dalam tahun 1894, Mat Salleh telah didapati memungut cukai di Sungai Sugut. Tindakan Mat Salleh itu telah diselesaikan semasa Mat Salleh datang ke Sandakan dan menemui Gabenor C.V.Creagh. Dalam bulan Ogos berikutnya, Mat Salleh telah datang ke Sandakan bersama-sama ketua-ketua kaum untuk membuat beberapa bantahan tetapi tidak dapat bertemu dengan Gabenor.

Oleh kerana kedatangan Mat Salleh ke Sandakan lengkap dengan alat Senjata, lalu Gabenor telah mengambil keputusan untuk menangkapnya. Kampung Mat Salleh di Jambongan telah diserang dan dimusnahkan tetapi Mat Salleh berjaya melarikan diri ke Ulu Sungai Sugut. Serangan telah dilakukan ke atas Kubu Mat Salleh di Ulu Sungai Sugut dalam tahun 1896 dan awal tahun 1897 tetapi beliau tidak dapat ditangkap.

Kemudian pemerintahan telah mendapat tahu bahawa Mat Salleh telah membina satu kubu yang kuat di Ranau dan mengambil keputusan untuk menyerang kubu tersebut. Pada 8 Januari 1898, pasukan yang lebih ramai telah didatangkan dari Sandakan dan serangan yang hebat telah dilakukan. Pada waktu malamnya, Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya telah berjaya melepaskan diri. Akhirnya kubu di Ranau itu dimusnahkan. Mat Salleh kemudiannya telah membina tempat kediaman baru di Tambunan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen