templer_park-3
Sejarah

Pembukaan Taman Rimba Templer

19 Mei 1954 – Templer Park atau lebih dikenali sebagai Taman Rimba Templer terletak di utara Kuala Lumpur. Ia boleh dikunjungi dengan melalui jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh. Pembukaan Taman Rimba Templer telah dilakukan oleh Sir Gerald Templer.

Kawasan Taman Rimba Templer ini adalah hadiah dari Kerajaan Selangor dan merupakan taman negara yang pertama. Namanya diambil sempena nama Sir Gerald Templer yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

templer_park

Pada awal pembukaannya, kawasan ini diletakkan di bawah jagaan ahli bagi Sumber Alam Semula Jadi. Kerja-kerja penyediaan taman ini dilakukan oleh satu Jawatankuasa yang dipengurusikan olah Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman dan ahli-ahlinya terdiri daripada para pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan.

Hutan simpan seluas 1,214 hektar yang kaya dengan keindahan alam ini membentuk kawasan hijau bagi penduduk bandar, ia menarik para pencinta alam, jurugambar, dan beriadah. Pada hari perasmian tersebut, Sir Gerald Templer sempat meninjau kawasan seluas 50 ekar yang telah mula dibuka kepada orang awam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pilihanraya_1969-800px
Sejarah

Penentuan Lambang Parti-Parti Politik

14 Mei 1955 – Pada tahun 1955 parti-parti politik yang akan bertanding dalam pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada 27 Julai 1955 telah menentukan pemilihan lambang parti masing-masing.

Lambang Parti Negara

Lambang Parti Negara

Di dalam pemilihan lambang-lambang parti ini parti Perikatan UMNO-MCA telah memilih Kapal Layar sebagai lambangnya; Parti Negara memilih Tangkai Padi; Parti Islam Se Tanah Melayu berlambangkan Bulan Sabit dengan Bintang; manakala Parti Buruh Malaya memilih lambang Cangkul dan Pen yang berpalang.

Lambang Parti Buruh Malaya

Lambang Parti Buruh Malaya

Parti Kebangsaan Perak (Perak National Party) iaitu parti pimpinan Menteri Besar Perak, Dato’ Panglima Bukit Gantang Hj. Abd. Wahab, dan Parti Buruh Province Wellesley yang dipimpin oleh Puan B. H. Onn seorang peguam dan ahli Majlis Perundangan Persekutuan memilih Harimau dan Jambatan sebagai lambang parti masing-masing.

pilihanraya_1955-800px

Untuk menjayakan pilihanraya ini Pendaftar Pilihanraya Persekutuan telah menyiapkan daftar senarai pengundi-pengundi bagi Majlis Perundangan Persekutuan yang dianggarkan berjumlah lebih sedikit 1,280,000 orang. Selain daripada itu, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang telah mengeluarkan sendiri daftar pengundi masing-masing; manakala bagi negeri-negeri yang lain telah dihantarkan salinan stensil.

Inilah pertama kalinya lambang-lambang parti telah dipilih untuk pilihanraya di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
umno_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Umno

11 Mei 1946 – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. Istana Besar Johor Bahru, telah menyaksikan kelahiran parti terbesar orang Melayu apabila ribuan orang Melayu berhimpun dan bertemu dalam Kongres Melayu Se-Malaya untuk kali ketiga.

Kongres ketiga ini diadakan berikutan penentangan keras orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union oleh penjajah British selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada Ogos 1945.

Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) yang dibentuk ketika Kongres Melayu Se-Malaya Pertama pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur telah membentangkan Piagam atau Perlembagaan UMNO dan diluluskan oleh 29 anggota pertubuhan yang mewakili pertubuhan orang Melayu di Tanah Melayu dan Singapura.

Almarhum Sultan Ismail telah merasmikan penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 dan Dato’ Onn Jaafar telah dipilih menjadi Presiden UMNO.

Penubuhan UMNO sekaligus membubarkan Kongres Melayu Se-Malaya yang sebelum ini menjadi gabungan seluruh persatuan orang Melayu. Kejayaan UMNO yang terbesar ialah memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Ia merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Rombongan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu Berlepas Ke London

09 Mei 1957 – Pada tahun 1957, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman beserta rombongan telah berlepas ke London. Antara yang turut serta dalam rombongan itu ialah Dato’ Abdul Razak Hussein (Menteri Pelajaran), Tuan V.T. Sambanthan (Menteri Buruh), Encik Shamsuddin bin Nain (Menteri Besar Negeri Sembilan), YM Tengku Ismail bin Tengku Yahya (Menteri Besar Kedah) dan Tuan Haji Mustaffa Al-Bakri (Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu).

Tujuan rombongan ini ke London adalah untuk mengadakan rundingan perkara-perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dengan Kerajaan British. Hasil keputusan rundingan berkenaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Melaka dan Pulau Pinang telah dibawa ke Persidangan Raja-Raja pada bulan Jun 1957.

Berikutan daripada itu, kertas putih Rangka Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah dihasilkan dan dibincangkan oleh Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Mesyuarat Negeri di negeri-negeri. Ianya telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London pada 2 Julai 1957.

Sesungguhnya, rombongan rundingan ini merupakan usaha terakhir dalam menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Commonwealth_Flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Sertai Persidangan Perdana Menteri Komanwel Kali Pertama

03 Mei 1960 – Pada tahun 1960 Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menyertai Persidangan Perdana Menteri-Perdana Menteri Komanwel buat pertama kalinya selepas mencapai negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

Persidangan yang berlangsung di London dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara Britain, Canada, Afrika Selatan, India, Pakistan, Ceylon, Ghana, Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Rhodesia Nyasaland.

commonwealth logo

Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Perdana Menteri Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan termasuk Encik Ghazali bin Shafie Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, Tengku Yaakub Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di United Kingdom dan Tengku Jaafar Penasihat di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di London.

Persidangan berlangsung selama 10 hari dan dirasmi oleh Perdana Menteri British Tuan Harold McMillon. Perbincangan utama dalam persidangan ini tertumpu kepada soal-soal keamanan dunia seperti soal perhubungan antara blok komunis dengan dunia bebas, masalah hubungan timur barat, soal perlucutan senjata, pengharaman ujian-ujian senjata Nuklear dan soal dasar apartheid di Afrika Selatan.

Sesungguhnya disekitar awal tahun 1960-an Persekutuan Tanah Melayu mempunyai hubungan yang rapat dan kukuh dengan Pertubuhan Komanwel terutamanya dalam soal keselamatan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan_airways_logo-800px
Sejarah

Perkhidmatan Malayan Airways Dimulakan

01 Mei 1947 – Pada tahun 1947, Malayan Airways Limited (MAL) telah memulakan perkhidmatan berjadualnya yang pertama, selepas didaftarkan dalam tahun 1937. Perkhidmatan sulung ini meliputi laluan tiga kali seminggu di antara Singapura-Kuala Lumpur-Ipoh-Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat Airspeed Consul dengan pendaftaran VR-SCD ’Raja Udang’.

Dalam tempoh dua bulan berikutnya MAL telah berjaya menguasai perkhidmatan penerbangan di Tanah Melayu. MAL merupakan satu-satunya syarikat yang diberi kelulusan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara pada ketika itu.

Pada tahun 1949, MAL telah meluaskan perkhidmatan penerbangannya ke Bangkok, Jesselton, Kuching dan Rangoon. Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, MAL telah ditukar kepada Malaysian Airways. Pada tahun 1967, Syarikat ini sekali lagi bertukar nama kepada Malaysia-Singapore Airline (MSA).

Namun begitu, perpisahan Singapura dari Malaysia telah membawa kepada pemisahan MSA dan penubuhan syarikat penerbangan berasingan bagi Malaysia dan Singapura. Nama MAL kemudiannya digantikan dengan Sistem Penerbangan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MAS (Malaysia Airline System) pada 30 November 1971.

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman pada 30 September 1972, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang, Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Haji Abdullah Fahim Meninggal Dunia

28 April 1961 – Seorang ulama dan pemimpin besar tanahair Tuan Haji Abdullah Fahim bin Syeikh Ibrahim yang juga merupakan datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1961. Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1880 di Mekah merupakan tokoh ulama yang tidak dapat disangkal ketinggian ilmunya.

Tuan_Haji_Abdullah_Fahim

Haji Abdullah Fahim telah banyak memberi jasa dan sumbangan kepada perkembangan Islam dan politik di Seberang Perai, Pulau Pinang. Pada tahun 1932 sehingga 1948, beliau pernah menjadi Pengetua di Madrasah Idrisiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga menjadi Mufti Pulau Pinang yang pertama iaitu pada tahun 1951 hingga 1956. Dalam sejarah kemerdekaan negara, Haji Abdullah Fahim merupakan ulama yang telah menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Haji Abdullah Fahim yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Di samping itu beliau juga telah mengambil bahagian yang cergas dalam perjuangan untuk memerdekakan Malaya. Tuan Haji Abdullah Fahim telah mencadangkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan selepas membuat pengiraan hisab berdasarkan takwim Hijrah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1917_HMS_Laburnum-bw-800px
Sejarah

Penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia

27 April 1934 – Penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermula dengan pengambilan orang-orang Melayu pada tahun 1934 untuk berkhidmat sebagai anggota simpanan dengan Tentera Laut British.

Sehubungan itu, Kanun Straits Settlement No 3 tahun 1934, memberi kuasa untuk menubuhkan ‘The Straits Settlement Royal Naval Volunteer Reserve’ (SSRNVR).

Pasukan pertama SSRNVR ditubuhkan pada 27 April 1934 dan pasukan kedua ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1939. SSRNVR kemudian dikenali sebagai Malayan Royal Navy Volunteer Reserve (MRNVR).

Keanggotaan pasukan simpanan ini ialah seramai 650 laskar terdiri daripada anak tempatan dan 158 pegawai Inggeris. Untuk memperkuatkan pertahanan perairan Tanah Melayu, pihak British menubuhkan ‘Royal Navy Malay Section’.

Selepas tamat perang, MRNVR dibubarkan pada 26 Februari 1946 dan Royal Malay Navy dibubarkan pada 27 April 1947.

Pada 21 Januari 1948 Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura memeterai satu perjanjian untuk menubuhkan sebuah pasukan tentera bagi membendung ancaman komunis.

Pada 24 Disember 1948, Majlis Perundangan Singapura mewartakan ‘The Malayan Naval Force Regulation 1949’ dan mengesahkan penubuhan pasukan ‘Malayan Naval Force’ (MNF).

Pada bulan Ogos 1952, Ratu Elizabeth II mengurniakan gelaran Diraja kepada MNF, menjadikan MNF dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya.

Pada 16 September 1963, Tentera Laut Diraja Malaya dinamakan sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia setelah pembentukan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parti_perikatan-800px
Sejarah

Pilihanraya Pertama Selepas Penubuhan Malaysia

25 April 1964 – Parti Perikatan yang dipimpin oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah berjaya memenangi sebanyak 89 buah kerusi dari 104 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum 1964. Pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya pertama selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, serta pilihan raya umum yang kedua selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Pilihan raya pertama sebelum penubuhan Malaysia adalah pada 27 Julai 1955.

Pada kali ini, Parlimen dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan tarikh penamaan calon diadakan pada 21 March 1964, manakala tarikh pembuangan undi ditetapkan pada 25 April 1964. Sebanyak 7 buah parti politik bertanding dalam pilihanraya kali ini, iaitu Parti Perikatan, Sosialis Front, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), Parti Progresif Rakyat (PPR), Parti Tindakan Rakyat (PETIR), Parti Demokratik Bersatu (UDP) dan Parti Negara.

Dalam pertama selepas penubuhan Malaysia ini, Parti Perikatan memenangi 89 kerusi dalam Dewan Rakyat, manakala pihak pembangkang yang terdiri daripada PAS memenangi 9 kerusi, Parti Progresif Rakyat 2 kerusi, Sosialis Front 2 kerusi, Parti Demokratik Bersatu 1 kerusi dan Parti Tindakan Rakyat 1 kerusi.

Malaysia telah mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Sistem yang digunakan di Malaysia adalah berasaskan ‘First-Past-The-Post-System’. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bendera_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Bendera Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

19 April 1950 – Pada tahun 1950, Majlis Perundangan Persekutuan meluluskan corak bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ini merupakan peristiwa yang bersejarah kerana dari detik inilah Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi simbol wujudnya sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.

Bendera ini berukuran 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan enam jalur berwarna merah dan lima jalur berwarna putih. Sebelas jalur ini melambangkan perpaduan sebelas buah negeri Persekutuan iaitu Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka.

Perpaduan dan kerjasama negeri-negeri ini juga disimbolkan oleh bintang pecah sebelas. Bulan sabit adalah melambangkan agama Islam yang suci. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna diraja yang menandakan kedaulatan sultan negeri-negeri Tanah Melayu dan sebagai Ketua Agama Islam. Jalur merah menandakan semangat gagah berani dan jalur putih melambangkan hasrat rakyat yang suci murni.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard