Coat_of_arms_of_Sarawak-800px
Sejarah

Majlis Negeri Sarawak Ditubuhkan

24 Mei 1867 – Majlis Negeri Sarawak yang sekarang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri Sarawak telah ditubuhkan oleh James Brooke pada tahun 1867. Ia merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua di Malaysia.

Sebelum itu, pada tahun 1865 ‘General Council’ yang juga dikenali sebagai ‘Supreme Council’ telah ditubuhkan. Pada asal penubuhan Majlis Negeri Sarawak ini bertujuan untuk membawa semua kaum bumiputera dalam satu perjumpaan yang terbesar. Disamping bagi mendengar ucapan dasar untuk menyuarakan pandangan serta bertukar-tukar fikiran.

Persidangan Majlis Negeri yang pertama telah diadakan pada 8 September 1867, bertempat disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak. Sejak ditubuhkan sehinggalah tahun 1941, Majlis Negeri tidak mempunyai sebarang peraturan tetap sehinggalah pada bulan September 1941, Raja Vnyer Brooke telah menggubal satu perlembagaan baru bagi Majlis Negeri. Perlembagaan baru ini telah mengurangkan suara bumiputera kerana 14 dari 25 orang ahlinya mestilah terdiri daripada pegawai kerajaan bangsa Eropah, manakala sebelas lagi ahlinya terdiri daripada wakil-wakil kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Sesungguhnya, Dewan ini telah menempuh tiga zaman yang penting iaitu zaman Raja Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Crest_of_the_Royal_Malaysian_Navy-800px
Sejarah

Kapal Darlaston (MAHAMIRU) – Hadiah Kerajaan British Kepada Tentera Laut Diraja Persekutuan

24 Mei 1960 – Pada tahun 1960, Kerajaan British telah menghadiahkan sebuah kapal penyapu periuk api Darlaston kepada Angkatan Laut Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Kapal itu yang sekarang diberi nama ‘Mahamiru’ akan merupakan kapal terbesar dan paling lengkap di antara sebelas buah kapal penyapu periuk api dan kapal peronda yang dipunyai oleh Angkatan Laut Diraja Malaysia.

Upacara penyerahan kapal tersebut telah berlangsung di Naval Base, Singapura dengan dihadiri oleh Pemangku Perdana Menteri Persekutuan, Tun Abdul Razak bin Hussein; Kepala Staf Angkatan Bersenjata Persekutuan, Leftenan General Sir Rodney Moore; Pegawai Pemerintah Angkatan Laut, Captain W.J. Dovers; Laksamana Muda R.E Portlock selaku Kepala Staf Panglima Agong Daerah Timor Jauh dan juga Kapten Kapal yang baharu, Leftenan Komander M. Roden.

Dalam ucapan terima kasih kepada kerajaan British, Tun Abdul Razak yang juga merangkap Menteri Pertahanan Persekutuan menyatakan harapannya agar Mahamiru dapat berganding bahu dengan kapal-kapal Angkatan Laut lainnya dalam usaha mengawal wilayah perairan Persekutuan Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
proton_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (PROTON)

23 Mei 1983 – Pada tahun 1983, Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (Proton) lahir secara rasmi melalui persetujuan yang ditandatangani antara Perbadanan Industri Berat Malaysia (Hicom) dan kumpulan Mitsubishi dari Jepun di Kuala Lumpur.

Dalam upacara menandatangani persetujuan ini, Hicom diwakili oleh Tan Sri Datuk Jamil Rais Mohd Jan, Pengerusi Mitsubishi Motor Corporation (MMC), Dr Tomio Kubo mewakili syarikatnya dan Pengarah Urusan Mitsubishi Corporation (MC) Yoshio Morita menandatangani bagi pihak MC. Melalui persetujuan ini Proton dipertanggungjawabkan mengendalikan pengeluaran kereta-kereta buatan Malaysia yang pertama mulai tahun 1985 di kilangnya di Shah Alam.

Antara persetujuan dan kontrak lain yang dipersetujui oleh Hicom, MMC dan MC ialah persetujuan usahasama, persetujuan bantuan teknikal, persertujuan pinjaman, pemegang saham, kontrak pembinaan bahan dan kontrak bekalan alat-alat kereta. Juga di persetujui ialah pihak Hicom akan memegang saham proton sebanyak 70%, MMC 15% dan MC 15%.

Tidak syak lagi persetujuan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1983 yang melahirkan Proton telah mencatat sejarah dalam usaha merealisasikan cita-cita Kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kereta buatan tempatan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
batu_peringatan_pahlawan_padang_kachung-800px
Sejarah

Pertempuran Padang Kanchung

23 Mei 1928 – Pada tahun 1928, satu pertempuran telah berlaku di antara pejuang-pejuang penentang pentadbiran British di Terengganu dengan pasukan Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Lela.

Penentangan ini terjadi kerana perasaan benci penduduk terhadap Pentadbiran British yang telah memperkenalkan peraturan yang mewajibkan rakyat mempunyai surat izin untuk membuat huma, menebang kayu, membuka tanah, malah mengambil daun untuk membuat atap. Di samping itu dikenakan juga cukai hasil tanah dan pendapatan tanah serta menyekat rakyat dari memburu binatang liar.

Setelah berjaya menawan balai polis di Kuala Berang pejuang-pejuang tersebut menuju ke Kuala Terengganu untuk mengadu kepada Sultan Terengganu. Ketika sampai di Padang Kanchung mereka telah bertempur dengan pasukan polis. Dalam pertempuran di Padang Kanchong ini 12 orang dari pihak pejuang telah terkorban. Hampir kesemua ketua-ketua pejuang ini telah ditangkap dan dikenakan hukuman penjara.

Haji Abdul Rahman Limbong yang juga didapati bersalah tetapi tidak dikenakan dihukum penjara. Beliau telah dibuang ke Singapura dan seterusnya ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong telah meninggal dunia sekitar 15 bulan selepas itu di Mekah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_malaysian_everest-800px
Sejarah

Pasukan Pendaki Malaysia Berjaya Menawan Gunung Everest

23 Mei 1997 – Pada tahun 1997, Malaysia telah mencatat satu lagi sejarah apabila Pasukan Pendaki Gunung Everest negara telah berjaya menawan puncak gunung Everest. Malaysia merupakan negara ke-21 yang telah berjaya sampai ke puncak Everest setinggi 8848 meter atau 29 000 kaki. Ekspedisi mendaki Gunung Everest ini terdiri daripada 23 orang, namun hanya dua orang sahaja yang telah berjaya sampai ke puncak iaitu M. Magendran dan N. Mohandas.

Majlis sambutan kepulangan wira-wira Everest ini telah diadakan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, Selangor pada 3 Jun 1997, turut serta pada majlis sambutan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin. Majlis pelancaran Projek Mendaki Gunung Everest ini telah dilancarkan pada 14 Februari 1988 oleh Y.B. Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Projek Everest ini merupakan ilham Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad bertujuan untuk mendorong rakyat Malaysia berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. Projek ini dikendalikan secara kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Persatuan Pendaki Malaysia serta RTM yang telah memberi liputan harian sepanjang tempoh 55 hari ekspedisi ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
telefon_lama-800px
Sejarah

Hubungan Telefon Antara Tanah Melayu Dengan London Dimulakan

22 Mei 1950 – Pada tahun 1950 satu era baru dalam bidang telefon telah bermula di Persekutuan Tanah Melayu dan London, melalui Singapura. Pihak BBC telah memasang alat perhubungan khas tersebut di Singapura dengan tujuan program Perkhidmatan Penyiaran Timur jauhnya.

Pada tahun 1939 perkhidmatan seperti ini pernah digunakan di Stesen Radio Jalan Cochrane Kuala Lumpur ke Bandung, di Indonesia. Stesen Bandung pula menerima panggilan dari London melalui Amsterdam. Perkhidmatan ini terus berjalan sehingga timbulnya perselisihan faham antara Kerajaan Indonesia dengan Britain pada tahun 1939.

telefon

Atas sebab-sebab keselamatan perkhidmatan ini terpaksa dihentikan. Setelah dihentikan, usaha-usaha lain telah dijalankan untuk menghidupkan semula perkhidmatan tersebut. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1950 perhubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London telah disambung semula melalui Singapura.

Hubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London ini telah dibahagikan kepada panggilan persendirian, panggilan rasmi, dan panggilan perniagaan. Kemajuan Perkhidmatan ini dapat dilihat 6 tahun kemudian iaitu pada tahun 1956 apabila sebanyak 19,500 panggilan luar negeri telah dapat dikendalikan.

Pada tahun 1957 angka ini telah meningkat lagi kepada 24,000 panggilan. Perkhidmatan telefon yang disambung semula pada hari ini dalam tahun 1950, telah menjadikan perhubungan telefon satu alat yang penting untuk berkomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sekolah_pertanian_serdang-800px
Sejarah

Pembukaan Sekolah Pertanian Serdang

21 Mei 1931 – Pada tahun 1931, Sekolah Pertanian Serdang telah dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Bersekutu Tuan John Scott. Turut hadir menyaksikan upacara ini ialah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Muda Perak, dan Undang Rembau.

Penubuhan Sekolah Pertanian yang berkeluasan 8.8 hektar di kawasan Serdang, Selangor ini bertujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Perancangan pembinaan sekolah yang berharga RM370,000 ini mengambil masa selama 18 tahun. Bangunan yang direkabentuk oleh arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini mampu menampung seramai 80 orang penuntut dan mengendalikan kursus di peringkat diploma selama 3 tahun dan kursus sijil selama setahun.

sekolah_pertanian_serdang-800px

Sekolah Pertanian Serdang

Pada 23 Jun 1942, Sekolah Pertanian ini telah dinaikkan taraf menjadi Maktab Pertanian Malaya dengan upacara pengisytiharannya telah dilakukan oleh Gabenor Sir Edward Gent. Akhirnya pada 4 Oktober 1971, maktab ini telah dinaikkan taraf dan diisytiharkan menjadi Universiti Pertanian Malaysia.

Perkembangan sekolah pertanian ini adalah sejajar dengan sumbangan besar sektor pertanian kepada ekonomi negara pada peringkat awal kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Sarawak-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Brunei Dan Sarawak Mengenai Sungai Dan Daerah Pandaruan

21 Mei 1912 – Pada tahun 1912, satu perjanjian di antara Brunei dan Sarawak telah ditandatangani untuk menjelaskan kedudukan Sungai dan Daerah Pandaruan yang dahulunya telah dipajakkan kepada Alfred Hart Everett oleh Pengiran Muda Damit Mohamed Tajudin anakanda kepada Pengiran Muda Hashim yang kemudian dipindah pajak kepada Sir Charles Brooke, Raja Sarawak pada 25 Ogos 1885.

Perjanjian ini menjelaskan perkara-perkara berikut:

  1. Hak-hak kedaulatan Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan adalah diakui;
  2. Kesemua cukai eksport yang dikenakan dan dikutip oleh Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan akan dibahagi dua, satu bahagian akan dibayar kepada Residen Limbang empat kali setahun;
  3. Kesemua cukai import di Daerah ‘Pandaruan akan dikutip oleh Kerajaan Brunei dan dimasukkan ke dalam Hasil Mahsul Kerajaan Brunei.,
  4. Kerajaan Sarawak berhak mengutip cukai kepala (poll tax) iaitu cukai yang dikenakan ke atas setiap orang di Daerah Pandaruan;
  5. Kerajaan Sarawak boleh meletakkan seorang pekedai Cina di Daerah Pandaruan untuk mengutip bayaran dalam Daerah ini, dan
  6. Kerajaan Sarawak akan bertanggungjawab ke atas orang-orang Dayak yang tinggal di Daerah Pandaruan dalam masa setahun dari ‘tarikh (Perjanjian ditandatangani) ini supaya perkara mengenai di mana mereka harus tinggal dapat dibincangkan.

Perjanjian ini dibuat di Labuan dan ditandatangani oleh Harvey Chevallier. Residen British di Brunei bagi pihak Kerajaan Brunei, sementara R. S. Dougles, Pemangku Residen Bahagian Kelima Sarawak, dan H Halil, Native Officer, Limbang, menandatangani bagi pihak Kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, perjanjian ini telah dibatalkan 8 tahun kemudian. Satu perjanjian baru telah dibuat pada 4hb Februari, 1920.2 Dalam perjanjian ini kedua-dua Kerajaan bersetuju:

  1. Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Barat (Limbang) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hakmilik Kerajaan Sarawak.
  2. Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Timur (Temburong) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hakmilik Kerajaan Brunei;
  3. Tidak ada satu apapun di dalam perjanjian ini yang akan mengakibatkan hak-hak yang telah diberikan kepada Sir Charles Brooke, G. C. M. G. untuk mencari dan mendapatkan batu arang di Negeri Brunei;.
  4. Prinsip umum yang termaktub dalam seksyen-seksyen 1 dan 2 di atas tidak boleh diubah tanpa restu Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu dan Brunei di satu pihak dan Yang Maha Mulia Raja Sarawak di satu pihak yang lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
proton_Wira-800px
Sejarah

Pelancaran Model Terbaru Proton Wira

21 Mei 1993 – Pada tahun 1993, Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan model terbaru Proton yang diberi nama Proton Wira bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut ialah Y.Bhg. Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) dan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Tan Sri Dato’ Jamil Bin Mohd Jan; Presiden Mitsubishi Motors Corporation, Dr. Hirokazu Nakamura.

Proton Wira adalah Proton generasi baru yang lebih aerodinamik, berciri moden, canggih dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk penumpang.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengesa Proton agar meningkatkan usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk memastikan kereta nasional terus berkemampuan menandingi prestasi kereta lain di pasaran antarabangsa. Beliau juga berharap agar dengan adanya Proton Wira ini, usaha mencari pasaran baru dapat dipertingkatkan lagi.

Pelancaran model terbaru ini merupakan satu lagi detik bersejarah dalam perkembangan dan kemajuan industri kereta negara. Ia merupakan satu kebanggaan dan kejayaan Malaysia yang telah membuktikan kemampuannya menerokai teknologi dalam industri automobil melalui satu proses perancangan, penyelidikan, pembangunan dan kepakaran kejuruteraan yang dimiliki anak-anak tempatan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jambatan_sungai_golok-800px
Sejarah

Perasmian Jambatan Sungai Golok, Kelantan

21 Mei 1973 – Pada tahun 1973, Jambatan Sungai Golok di Kelantan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein. Jambatan Sungai Golok yang dibina dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Thailand ini menghubungkan pekan Rantau Panjang di Negeri Kelantan dengan pekan Golok di negeri Thai.

jambatan_sungai_golok

Sebelum jambatan ini dibina kemudahan perhubungan antara Malaysia dengan negeri Thai adalah terhad kepada sebatang jambatan keretapi dan perahu-perahu kecil yang berulang alik antara pekan Rantau Panjang dengan Pekan Golok. Perkembangan perniagaan dan pelancongan yang semakin meningkat antara Malaysia dan negeri Thai memerlukan kemudahan yang lebih baik dan moden.

Perjalanan dengan keretapi terhad kepada waktu-waktu yang ditetapkan sahaja. Tetapi dengan pembinaan jambatan ini perjalanan serta perhubungan antara pekan Golok dengan Pekan Rantau Panjang boleh dibuat pada bila-bila masa. Oleh kerana perhubungan yang erat antara kedua buah pekan ini pembinaan jambatan Sungai Golok ini dijalankan serentak dengan pembinaan kompleks Stesyen Keretapi, Pejabat Kastam dan Imigresen. Semua kemudahan ini telah memberikan wajah baru kepada Pekan Rantau Panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard