Crest_of_the_Royal_Malaysian_Navy-800px

Kapal Darlaston (MAHAMIRU) – Hadiah Kerajaan British Kepada Tentera Laut Diraja Persekutuan

24 Mei 1960 – Pada tahun 1960, Kerajaan British telah menghadiahkan sebuah kapal penyapu periuk api Darlaston kepada Angkatan Laut Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Kapal itu yang sekarang diberi nama ‘Mahamiru’ akan merupakan kapal terbesar dan paling lengkap di antara sebelas buah kapal penyapu periuk api dan kapal peronda yang dipunyai oleh Angkatan Laut Diraja Malaysia.

Upacara penyerahan kapal tersebut telah berlangsung di Naval Base, Singapura dengan dihadiri oleh Pemangku Perdana Menteri Persekutuan, Tun Abdul Razak bin Hussein; Kepala Staf Angkatan Bersenjata Persekutuan, Leftenan General Sir Rodney Moore; Pegawai Pemerintah Angkatan Laut, Captain W.J. Dovers; Laksamana Muda R.E Portlock selaku Kepala Staf Panglima Agong Daerah Timor Jauh dan juga Kapten Kapal yang baharu, Leftenan Komander M. Roden.

Dalam ucapan terima kasih kepada kerajaan British, Tun Abdul Razak yang juga merangkap Menteri Pertahanan Persekutuan menyatakan harapannya agar Mahamiru dapat berganding bahu dengan kapal-kapal Angkatan Laut lainnya dalam usaha mengawal wilayah perairan Persekutuan Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.