james_brooke_portrait-800px
Sejarah

James Brooke Meninggal Dunia

11 Jun 1868 – James Brooke meninggal dunia di England akibat penyakit jantung pada tahun 1868. Mayatnya telah dikebumikan di perkarangan gereja Sheepstor di Devonshire, England dalam tahun 1863. Anak saudaranya Charles Brooke, telah dilantik untuk menggantikannya sebagai Raja Sarawak bergelar Tuan Muda James Brooke meninggal ketika berusia 65 tahun.

James Brooke mula datang ke Sarawak pada 27 Julai 1839, dengan kapal Royalist dari Singapura. Sejak kedatangannya beliau telah bersahabat baik dengan Pengiran Muda Hashim, pemerintah Sarawak ketika itu. Pada waktu itu Sarawak berada dalam keadaan kucar-kacir.

Pengiran Hashim telah meminta James Brooke untuk menolongnya menghapuskan keadaan kacau-bilau tersebut. Sebagai membalas jasanya, Pengiran Muda Hashim telah memberikan Seniawan dan Sarawak yang pada masa itu hanyalah bandar Kuching sahaja kepada James Brooke.

Sir_James_Brooke_1847_by_Francis_Grant

Sejak itu James Brooke telah dilantik menjadi pemerintah Sarawak bergelar Raja Sarawak. Semasa hayatnya sebagai pemerintah Sarawak beliau terkenal sebagai seorang pemerintah yang bijak. Dalam usahanya untuk berbaik-baik dengan orang Melayu beliau telah melantik pemimpin-pemimpin Sarawak dari kalangan orang-orang Melayu. Beliau telah melantik Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung bagi memimpin masyarakat Melayu di Kuching.

Beliau juga telah mengadakan bendera Sarawak yang pertama. Bendera itu berwarna merah ungu dan bersilang. Tapi warna ungu itu kemudiannya ditukarkan ke warna hitam untuk memudahkan percetakan. Bendera ini berlatarkan warna kuning iaitu warna rasmi kerajaan Borneo.

brookes_graves_in_sheepstor

Kubur James Brooke di Sheepstor

Di samping itu beliau telah berusaha mententeramkan negeri Sarawak dari ancaman-ancaman lanun. Misalnya peperangan di Batang Maru untuk menghapuskan lanun-lanun Kanowit. Beliau juga telah berjaya menamatkan pemberontakan orang-orang Cina dalam tahun 50-an di Kuching dan Bau. Semasa hayatnya James Brooke telah banyak merintis jalan bagi memudahkan pemerintahan anak saudaranya Charles Brooke

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perjanjian Sultan Brunei-Charles Brooke Mengenai Penyerahan Daerah Baram

31 Mei 1885– Pada tahun 1885, satu perjanjian mengenai penyerahan daerah Baram telah ditandatangani di antara Sultan Brunei, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddien dengan Sir Charles Brooke, Rajah Sarawak.

Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddien

Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddien

Perjanjian ini mengandungi lima perkara:

PERTAMA- Sultan Brunei bersama-sama wazir-wazir dan menteri-menterinya mengakui menyerahkan hak daerah-daerah pantai dari Tanjong Kedorong ke bahagian Timur Kuala Baram hingga ke Teluk Plai, termasuk semua sungai yang mengalir antara Tanjong Kedorong dan Teluk Plai, serta segala daerah dalam lingkungannya, kepada Raja Sarawak, Sir Charles Brooke;

KEDUA- Sir Charles Brooke serta waris-warisnya bersetuju membayar sebanyak $3,000 setiap tahun kepada Sultan Brunei serta waris-waris dan pengganti-penggantinya sebagai ganti rugi bagi cukai-cukai di daerah-daerah pantai serta kawasan dalam lingkungannya yang tersebut;

KETIGA- Berkenaan dengan daerah-daerah yang telah disebutkan itu, Kerajaan Sultan Brunei, atau kerajaan waris-warisnya, atau kerajaan pengganti-penggantinya hendaklah tidak lagi campur tangan dalam daerah-daerah tersebut, dan dengan sebenar-benarnya melepaskan daerah-daerah itu kepada Charles Brooke, Raja Sarawak, supaya pada masa hadapan hanya beliau dan waris-waris beliau sahaja yang berhak ke atas daerah-daerah pantai itu;

KEEMPAT- Berkenaan kuasa ke atas daerah-daerah pantai ini yang telah diserahkan kepada Baginda Queen oleh Sultan Brunei melalui perjanjian 1847, adalah dipersetujui bahawa Sir Charles Brooke tidak akan memindahkan atau menjual daerah-daerah pantai tersebut kepada kerajaan yang lain ataupun syarikat atau kepada sesiapa jua kecuali dengan kebenaran Kerajaan Inggeris, dan sebarang klausa yang berkaitan dengan perdagangan dan tarif yang dimeteraikan dalam perjanjian 1847 itu mestilah dipatuhi, sehinggalah ke suatu masa apabila perjanjian itu ditukar atau dipinda oleh kerajaan Sarawak dengan kebenaran Baginda Queen;

KELIMA- Pembayaran bagi daerah-daerah antara Tanjung Kedorong dan Teluk Plai di bahagikan seperti berikut:

  • (a) bagi Baram, Likau dan Semalajau, sebahagian dari Bakong dan sebahagian dari Miri dibayar sebanyak $3,000;
  • (b) dan selanjutnya bagi Suai, Sebuti dan Niah, sebahagian dari Bakong dan sebahagian dari Miri dibayar sebanyak $2,000 setahun;
  • (c) dan berkenaan dengan perkara pembayaran $2,000 setahun itu adalah juga menjadi isi kandungan dalam dokumen yang dipegang oleh Pengiran Temenggong Brunei.

Akibat dari perjanjian ini, Raja Sarawak, Sir Charles Brooke berjaya meresapkan lebih banyak lagi daerah-daerah Brunei menjadi daerah kekuasaan beliau. Daerah-daerah Baram, Likau, Semalajau, sebahagian dari Miri, Suai, Sebuti dan Niah telah menjadi hakmilik negeri Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Sarawak-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Brunei Dan Sarawak Mengenai Sungai Dan Daerah Pandaruan

21 Mei 1912 – Pada tahun 1912, satu perjanjian di antara Brunei dan Sarawak telah ditandatangani untuk menjelaskan kedudukan Sungai dan Daerah Pandaruan yang dahulunya telah dipajakkan kepada Alfred Hart Everett oleh Pengiran Muda Damit Mohamed Tajudin anakanda kepada Pengiran Muda Hashim yang kemudian dipindah pajak kepada Sir Charles Brooke, Raja Sarawak pada 25 Ogos 1885.

Perjanjian ini menjelaskan perkara-perkara berikut:

  1. Hak-hak kedaulatan Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan adalah diakui;
  2. Kesemua cukai eksport yang dikenakan dan dikutip oleh Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan akan dibahagi dua, satu bahagian akan dibayar kepada Residen Limbang empat kali setahun;
  3. Kesemua cukai import di Daerah ‘Pandaruan akan dikutip oleh Kerajaan Brunei dan dimasukkan ke dalam Hasil Mahsul Kerajaan Brunei.,
  4. Kerajaan Sarawak berhak mengutip cukai kepala (poll tax) iaitu cukai yang dikenakan ke atas setiap orang di Daerah Pandaruan;
  5. Kerajaan Sarawak boleh meletakkan seorang pekedai Cina di Daerah Pandaruan untuk mengutip bayaran dalam Daerah ini, dan
  6. Kerajaan Sarawak akan bertanggungjawab ke atas orang-orang Dayak yang tinggal di Daerah Pandaruan dalam masa setahun dari ‘tarikh (Perjanjian ditandatangani) ini supaya perkara mengenai di mana mereka harus tinggal dapat dibincangkan.

Perjanjian ini dibuat di Labuan dan ditandatangani oleh Harvey Chevallier. Residen British di Brunei bagi pihak Kerajaan Brunei, sementara R. S. Dougles, Pemangku Residen Bahagian Kelima Sarawak, dan H Halil, Native Officer, Limbang, menandatangani bagi pihak Kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, perjanjian ini telah dibatalkan 8 tahun kemudian. Satu perjanjian baru telah dibuat pada 4hb Februari, 1920.2 Dalam perjanjian ini kedua-dua Kerajaan bersetuju:

  1. Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Barat (Limbang) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hakmilik Kerajaan Sarawak.
  2. Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Timur (Temburong) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hakmilik Kerajaan Brunei;
  3. Tidak ada satu apapun di dalam perjanjian ini yang akan mengakibatkan hak-hak yang telah diberikan kepada Sir Charles Brooke, G. C. M. G. untuk mencari dan mendapatkan batu arang di Negeri Brunei;.
  4. Prinsip umum yang termaktub dalam seksyen-seksyen 1 dan 2 di atas tidak boleh diubah tanpa restu Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu dan Brunei di satu pihak dan Yang Maha Mulia Raja Sarawak di satu pihak yang lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Government_Office_Sandakan-800px
Sejarah

Pengambilan Kawasan Sipitang Hingga Ke Kuala Penyu

5 November 1884 – Pada tahun 1884, Syarikat Borneo Utara British telah berjaya mengambil alih kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu dari Kesultanan Brunei. Pengambilan kawasan ini termaktub di dalam Surat Penyerahan 1884. Borneo Utara atau dikenali dengan Sabah sekarang ini, adalah di bawah kuasa Sultan Brunei dan Syarikat Perdagangan Amerika (The America Trading Company) iaitu sejak dari tahun 1850.

Dalam tahun 1870-an, Syarikat Perdagangan Amerika telah menjadi muflis dan akhirnya syarikat itu telah dijual kepada seorang German, Gustav Baron von Overbeck dan seorang Inggeris, Alfred Dent. Mereka kemudiannya berjaya menubuhkan Syarikat Borneo Utara British dan memulakan penempatan di kawasan dari Sungai Sibuco hingga ke Paitan.

syarikat borneo utara

Dari tahun ke tahun Syarikat Borneo Utara British berkembang dan kawasannya bertambah luas dengan cara pembelian atau mendapat pengambilan kawasan dari Sultan Brunei. Tujuan utama Syarikat Borneo Utara British ini meluaskan kawasannya ialah untuk menyekat perluasan kawasan Charles Brooke dari Sarawak dan juga untuk mendapatkan kawasan pertanian yang subur. Di samping itu juga ialah untuk menghalang penentang-penentang Kompeni yang bersembunyi di daerah Brunei.

Pada tahun 1884, Syarikat Borneo Utara British berjaya mempengaruhi Kerajaan Inggeris dan telah dikurniakan sebuah Piagam. Pada hari ini dalam tahun 1884 satu lagi kejayaan besar tercapai apabila Syarikat Borneo Utara British berjaya mendapatkan kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu, yang terletak di Pantai Barat. Surat Penyerahan itu telah ditandatangani oleh Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin, Pengiran di Gadong dan Pengiran Bendahara. Dengan termaktubnya Surat Penyerahan kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu ini, Syarikat Borneo Utara British telah berjaya meluaskan kawasannya, iaitu keluasan negeri Sabah yang ada pada hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard