abdullah_badawi-2-800px
Sejarah

Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri Malaysia Yang Kelima

31 Oktober 2003 – Pada tahun 2003, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang berundur setelah menerajui negara selama 22 tahun. Dato’ Seri Abdullah telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dato Seri Abdullah telah membaca ikrar di Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Menyimpan Rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Surat Cara Perlantikan. Turut hadir ialah orang-orang kenamaan termasuk Menteri-menteri Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Speaker Dewan Rakyat dan Yang di Pertua Dewan Negara.

Kulit_Buku_Ku_Cari_Damai_Abadi

Sesungguhnya negara merasa bertuah kerana proses peralihan kuasa dilaksanakan dalam suasana aman, muhibbah dan persefahaman.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Parlimen Membahaskan Cadangan Menubuhkan Gagasan Malaysia

16 Oktober 1961 – Pada tahun 1961, YTM Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah membentangkan satu usul bagi menubuhkan gagasan Malaysia. Usul itu berbunyi:
“Bahawa Dewan ini bersetuju pada prinsipnya dengan Konsep Malaysia itu mengandungi sebelas negeri Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak merestui usaha kerajaan untuk menjayakan gagasan tersebut di mana Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra akan memberitahu sebarang kemajuan kepada Dewan ini”.

Sebelum ia dibahaskan, Dewan telah menolak satu pindaan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, supaya Malaysia itu meliputi Republik Indonesia dan Filipina selain dari Tanah Melayu, Singapura dan tiga buah negeri di Borneo. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Hj. Mohd.

Noah Omar telah menolak pindaan tersebut berdasarkan Peraturan Tetap Dewan yang menurut beliau tidak kena pada tempatnya kerana usul Perdana Menteri itu hanya meminta Dewan memperkenankan pelaksanaan Persekutuan Melayu Raya. Ahmad Boestamam dari Barisan Sosialis pula berpendapat bahawa Malaysia anjuran Tunku itu bukanlah Melayu Raya. Bagaimanapun beliau menyokong kalau Malaysia itu sebagai peringkat awal untuk menubuhkan Melayu Raya atau Malaysia Raya.

Sewaktu membentangkan usul itu Perdana Menteri menegaskan bahawa dengan perpaduan dan keazaman, kita mungkin berjaya untuk mencapai matlamat menciptakan gabungan yang lebih besar iaitu Malaysia. Konsep asas gagasan itu merangkumi kesebelas negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu serta Brunei, Sabah dan Sarawak yang disatukan dalam satu Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan yang baru ini akan berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Sedikit perubahan akan dibuat untuk mengadakan peraturan-peraturan bagi masa peralihan kerana kepentingan ketiga-tiga Wilayah Kalimantan dan Singapura.

Dalam ucapannya semasa membentangkan usul itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, menegaskan bahawa semua negeri dalam Malaysia akan menikmati taraf yang sama. Di bawah konsep Malaysia ini tidak ada negeri yang akan menjadi tanah jajahan, bahkan tidak akan ada negeri yang dipanggil Persekutuan Tanah Melayu kerana tempatnya digantikan oleh sebuah negara yang bergabung akan mempunyai taraf yang sama dan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan seperti yang akan dipersetujui oleh negeri-negeri itu.

Usul ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1966. Ucapan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman itu telah menjadi kenyataan pada 16 September 1963 apabila gagasan ini diisytiharkan dengan rasminya dalam bentuk yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parlimen_pertama-800px
Sejarah

Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu

11 September 1959 – Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, mengikut perkara (1) Fasa 55 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1959. Persidangan ini telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur serta dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen yang berjaya terpilih dalam Pilihanraya Parlimen Persekutuan yang diadakan pada 19 Ogos 1959.

Dalam persidangan ini seramai 104 orang Ahli Parlimen telah mengangkat sumpah. Dalam persidangan itu, Dato’ Haji Mohammad Noah bin Omar telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohd Yassin telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli-ahli Dewan Negara yang dipilih dan dilantik juga telah turut mengangkat sumpah dalam persidangan yang sama. Ekoran dari Perisytiharan itu pada 12 September 1959, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah merasmikan pembukaan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Dengan pengisytiharan itu, maka dengan rasminya Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah wujud dan menjadi lambang demokrasi negara ini. Dengan terbentuknya Parlimen menurut Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4 Fasa 44, Kuasa Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu adalah terserah kepada Parlimen yang mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sesungguhnya kewujudan Parlimen Persekutuan ini maka negara ini telah sempurna menerima dasar berpegang kepada rukun demokrasi berparlimen.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Perjanjian Malaysia Disahkan

14 Ogos 1963 – Pada tahun 1963, Dewan Rakyat telah mengesahkan Perjanjian Malaysia. Usul mengenai perkara itu telah dibawa oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Usul tersebut telah dibahaskan selama tiga hari di Dewan sehingga disahkan dengan 67 undi menyokong dan 18 menentang.

Usul Perjanjian Malaysia yang disahkan itu berbunyi :- “Bahawa Dewan ini dengan menyedari keinginan rakyat Sabah, Sarawak dan Singapura, untuk bergabung dalam Malaysia bersama negeri-negeri yang ada sekarang dalam Persekutuan, sesuai dengan perjanjian yang ditandatangani di London pada 9 Julai 1963, dengan ini mengesahkan perjanjian itu”.

Perjanjian di London itu merupakan persetujuan antara wakil-wakil Inggeris, Sabah, Sarawak, Singapura dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengenai pentingnya penubuhan Malaysia khususnya kepada 10 juta penduduk, negara-negara yang bakal menganggotainya.

Dalam ucapannya sebelum usul Perjanjian Malaysia disahkan, Tunku menegaskan bahawa Malaysia ditubuhkan berdasarkan hasrat untuk memelihara keamanan rantau ini.

Malaysia menggabungkan negeri-negeri kecil yang mempunyai kepentingan, cita-cita dan harapan yang sama menuju ke arah kebajikan serantau. Tunku juga menyuarakan harapan agar kelahiran Malaysia secara rasmi dapat dibuat pada 31 Ogos 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
singapore_withdraw-800px
Sejarah

Pemisahan Singapura Dari Malaysia

09 Ogos 1965 – Pemisahan Singapura dari Malaysia terjadi pada tahun 1965. Pengisytiharan mengenai pemisahan ini telah dibuat oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama di Dewan Rakyat.

Kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 telah membebaskannya dari belenggu penjajahan Inggeris dan menjadikannnya sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Singapore withdraws

Tindakan pemisahan tersebut merupakan jalan terbaik demi perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik politik di antara Kerajaan Malaysia yang dikuasai Parti Perikatan dan Parti Tindakan Rakyat yang berkuasa di Singapura.

Tunku Abdul Rahman menyatakan antara sebab lain perpisahan ini ialah kerana sikap setengah pemimpin-pemimpin politik Singapura yang memperjuangkan konsep ‘Malaysia Malaysia’ yang menafikan institusi kesultanan Melayu serta hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Walau bagaimanapun, pemisahan Singapura dari Malaysia dibuat dengan persefahaman bahawa Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama dalam bidang-bidang pertahanan, perniagaan dan perdagangan.

Untuk itu satu persetujuan telah pun dibuat dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wang_malaysia-800px
Sejarah

Undang-Undang Mata Wang Diluluskan

24 Jun 1960 – Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Undang-undang Mata Wang 1960 setelah dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang ini kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berhak melalui Menteri Kewangan menyampaikan permintaan kerajaan untuk keluar dari Lembaga Pesuruhjaya Wang yang dibentuk oleh kerajaan British seperti yang tercatat di dalam Perjanjian Wang Malaya-Borneo British 1950.

Rang Undang-undang yang diluluskan ini juga mengesahkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaya-Borneo British, 1960 dan berjalan kuatkuasannya pada 1hb Januari, 1961. Persekutuan Tanah Melayu telah diberi hak keistimewaan yang lebih di dalam Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baharu ini dalam mana ia diwakili oleh dua orang ahli, seorang daripadanya dimestikan menjadi Pengerusi Lembaga.

Bagi anggota-anggota lain iaitu kerajaan Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah diwakili oleh seorang ahli bagi tiap-tiap negeri. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara mewakili Persekutuan Tanah Melayu. Menteri Kewangan adalah Pengerusi Lembaga. Kuasa-kuasa yang dipegang oleh Setiausaha bagi Tanah Jajahan British mengikut Perjanjian tahun 1950 telah dipindahkan kepada Lembaga Pesuruhjaya Wang yang baru ini.

Lembaga ini dibenarkan memegang harta yang bernilai hingga setakat RM 300 juta. Kerajaan-kerajaan yang menjadi anggota juga diberi peluang menggunakan kumpulan wang ini bagi pebelanjaan pembangunan negara. Lembaga ini diberi kuasa memperniagakan wangnya dalam jaminan mata wang sterling yang kukuh dan diakui oleh badan-badan kewangan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Encik Tan Siew Sin semasa mengemukakan Undang-undang Mata Wang 1960 di Dewan Rakyat menyatakan perjanjian ini adalah perintis jalan kepada Bank Negara untuk mengeluarkan sendiri matawang ringgit Tanah Melayu. Peraturan-peraturan baru ini adalah merupakan satu panduan kepada Bank Negara untuk mengkaji dan mengaturkan rancangan jangka panjang yang sesuai mengenal dasar mata wang Persekutuan Tanah Melayu untuk mengelakkan kebimbangan dan keraguan terhadap nilai matawang negara kita.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard