ipd_penang-800px

Polis Pulau Pinang Melancarkan Sistem Salleh

13 Mac 1968 – Polis Pulau Pinang melancarkan Sistem Salleh di seluruh Bandaraya Pulau Pinang untuk mengetahui dan mencegah kejadian-kejadian jenayah. Pengumuman pelancaran sistem tersebut telah dibuat dalam satu sidang akhbar oleh Ketua Polis Daerah Georgetown Encik Abdul Majid Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Georgetown, Pulau Pinang pada 13 Mac 1968.

Sistem Salleh telah diperkenalkan oleh Cawangan Penyelidikan dan Perancangan Polis Diraja Malaysia. Nama Sistem Salleh digunakan sempena nama Ketua Polis Negara pada masa itu Tun Mohamed Salleh bin Ismael. Ujian keberkesanan sistem ini telah dilakukan di daerah Petaling dan terbukti berkesan menurunkan kadar jenayah di kawasan tersebut. Pada pada 7 Jun 1968 arahan dikeluarkan menerusi Perintah Pasukan PDRM supaya sistem ini dilaksanakan di semua Kontinjen PDRM.

pondok polis permatang pauh

Menerusi sistem ini sebahagian besar angkatan polis yang beruniform dan tidak beruniform akan mengunjungi setiap rumah di bandaraya itu untuk berjumpa dengan orang ramai bagi menyelidik secara mendalam tentang kesulitan-kesulitan penduduk di sesuatu kawasan itu.

Dalam sistem yang baru diperkenalkan ini, anggota-anggota polis tertentu telah ditugaskan menjaga dan mengawasi kawasan-kawasan tertentu yang telah ditetapkan di bandaraya itu. Sehubungan dengan itu orang ramai adalah diingatkan supaya jangan terkejut sekiranya ada anggota-anggota polis bertanyakan sesuatu kepada mereka, sebaliknya hendaklah memberi kerjasama kepada pihak polis.

Dengan pelancaran perlaksanaan Sistem Salleh, pada hari ini dalam tahun 1968, keadaan jenayah dan lain-lain di bandaraya Pulau Pinang dapat dibendung khususnya dengan hasil kerjasama masyarakat setempat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen