selat_teberau-800px

Penandaan Sempadan Malaysia-Singapura

12 Mac 1980 – Pada tahun 1980 kerja-kerja penandaan sempadan Malaysia-Singapura di perairan Selat Tebrau telah dilaksanakan bersama oleh Malaysia dan Singapura. Sebuah kapal K.D.Mutiara telah mengambil bahagian dalam kerja-kerja pengukuran peringkat pertama di Arongan Nenas, Selat Tebrau. Kerja-kerja pengukuran dan penandaan tersebut telah dijalankan bersama oleh para pegawai dan kakitangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pelabuhan Singapura.

Pada peringkat pertama kerja-kerja pengukuran ini akan meliputi kawasan enam batu sekitar Arongan Nenas yang dijangka dapat disiapkan dalam masa 10 hari. Syahbandar Johor Kapten Hamzah Mohd. Nor yang turut menjalankan kerja-kerja pengukuran itu menasihatkan pengguna-pengguna arongan tersebut supaya menjaga keselamatan mereka semasa kerja-kerja dijalankan.

K.D.Mutiara
K.D.Mutiara

Kerja-kerja pengukuran sempadan bersama ini dibuat sesudah mesyuarat antara Malaysia dan Singapura pada bulan Januari dan bersetuju terhadap program pengukuran sempadan ini. Persetujuan yang dicapai untuk meletakkan sempadan baru di antara kedua negara berpandukan perjanjian kawasan perairan Negeri-negeri Selat 1927. Kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan Malaysia-Singapura ini akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka mengambil masa selama satu tahun.

Peringkat pertama yang bermula ini ialah di kawasan Arongan. Peringkat kedua daripada Arongan Nenas hingga ke Tambak Johor. Kawasan Arongan dipilih sebagai peringkat pertama kerana ianya begitu sibuk dengan lalulintas dan kerja berhampiran dengan hubungan Sembawang, Singapura dan Pasir Gudang, Johor.

Dengan bermulanya kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan Malaysia-Singapura ini akan memudahkan lagi mengenal pasti sempadan kedua-dua negara oleh para nelayan dan pengguna-pengguna jalan laut amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.