SIRIM_shah_alam-800px
Sejarah

Perasmian Kompleks Sirim Shah Alam

09 Mac 1977 – Perasmian Kompleks SIRIM Shah Alam, Selangor telah dilakukan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj.

logo sirim

Kompleks yang dirasmikan pada 9 Mac 1977 ini mempunyai kemudahan infrastruktur seperti makmal ujian yang lengkap dengan ‘test bed’, makmal ujian fizikal dan material serta makmal konkrit dan simen. SIRIM atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia ini telah ditubuhkan pada tahun 1975 melalui penggabungan Institut Piawaian Malaysia (SIM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Industri Negara (NISIR). SIRIM ditubuhkan sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di bawah Akta SIRIM (Incorporation) 157.

perasmian sirim

Antara peranan penting SIRIM adalah:

  • menyediakan piawaian berdasarkan keperluan perindustrian dan ekonomi negara dengan mengeluarkan Sijil SIRIM;
  • menggalak dan melakukan penyelidikan saintifik dan industri terutama dalam industri asas tani, industri kecil dan industri yang berasaskan barangan tempatan. Ini akan dilakukan dengan kerjasama institusi penyelidikan seperti RRIM, MARDI dan Institut Penyelidikan Perhutanan; dan
  • menyediakan ‘extension and consultancy services’ termasuk menguji bahan mentah dan barangan keluaran industri, mengendalikan ujian bahan kimia, membuat pemilihan proses pengeluaran, menggunakan teknologi luar dan memperkenalkan teknologi baru serta mengenal pasti masalah yang berlaku dalam industri. Ini akan dilakukan dengan kerjasama MARA, MIDF, FIDA dan NPC.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Standard
Proton_Tanjung_malim_plant
Sejarah

Perasmian Kilang Proton Tanjung Malim

26 Februari 2005 – Kilang Proton Tanjung Malim telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 26 Februari 2005. Kilang baharu Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton) Tanjung Malim ini berharga RM1.8 billion. Ia dibina di atas kawasan seluas 517 hektar.

Kilang ini dijangka dibuka pada Ogos 1998 ini ditangguhkan kerana krisis kewangan Asia 1997. Ia disambung semula pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2003. Kilang ini mula beroperasi pada November 2003.

perasmian proton tg malim

Kilang Proton Tanjung Malim adalah sebahagian daripada projek Bandar Raya Proton yang meliputi kawasan seluas 4,000 ekar di Tanjung Malim dan terdiri daripada kawasan perumahan, komersial, institusi, industri dan rekreasi.

Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 kenderaan tetapi boleh dipertingkatkan kepada 1 juta unit pada masa akan datang. Kilang ini terdiri daripada lima bangunan utama iaitu Enjin & Transmisi (ETM), Tekan Tera, Pemasangan Badan, Mengecat dan Trim dan Pemasangan Akhir. Kilang Proton Tanjung Malim ini melengkapi kilang asal Proton beroperasi sejak 1985 yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kuala_lumpur_night_800
Sejarah

Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur

01 Februari 1972 – Kuala Lumpur merupakan petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status Bandaraya sejak mencapai kemerdekaan. Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur ini diadakan dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Parlimen.

kuala lumpur seal

DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan memberikan penganugerahan dalam upacara yang gilang gemilang dan bersejarah ini.

Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak telah menyampaikan Surat Perisytiharan tersebut bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Ong Kee Hui.

Pada waktu yang sama, Pesuruhjaya Ibu Kota, Tan Sri Lokman Yusuf telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang pertama.

Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan dan statusnya sebagai ibu negeri Selangor diserahkan kepada Shah Alam pada tahun 1978.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_shah_alam_malam-800px
Sejarah

Pengisytiharan Shah Alam Sebagai Ibu Negeri Selangor

07 Disember 1978 – Sultan Selangor, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Shah telah merasmikan pengisytiharan bandar Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.

Cadangan awal memindahkan ibu negeri Selangor dari Kuala Lumpur telah dibuat oleh kerajaan pusat sejak tahun 1956. Tempat yang dipilih ialah Kelang. Dalam tahun 1962, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan menjadikan Petaling Jaya sebagai ibu negeri yang baru bagi menggantikan Kelang seperti cadangan awal. Setahun kemudian, kerajaan negeri menetapkan untuk membuka sebuah bandar baru di Sungai Renggam dengan harapan untuk menjadikannya sebagai ibu negeri Selangor.

Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj

Shah Alam terletak di dalam dua daerah iaitu Petaling dan Klang, pada suatu ketika dahulu adalah sebuah ladang kelapa sawit dan dikenali sebagai Sungai Renggam. Sungai Renggam dan Batu Tiga mula berkembang setelah British membina laluan keretapi dari Port Swettenham (Pelabuhan Klang) ke Bukit Kuda di Klang dan menghubungkannya dengan Kuala Lumpur pada tahun 1886.

Sungai Renggam dipilih berdasarkan sokongan yang dibuat oleh Penasihat Perancang Bandar Bangsa-bangsa Bersatu. Kedudukannya sesuai bagi mendirikan sebuah bandar perusahaan satelit yang baru kerana terletak di antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

Setelah Sungai Renggam dipersetujui untuk dijadikan kawasan ibu pejabat, kerajaan berpendapat nama Sungai Renggam patut diubah kepada satu nama yang bersesuaian dengan nama dan taraf serta keindahan ibu negeri Selangor.

Nama Shah Alam wujud daripada nama Sultan Selangor yang ke-6, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah Atiquallah. Kepesatan pembangunan Shah Alam telah membawa kepada kenaikan taraf dengan pengisytiharannya sebagai sebuah Bandar raya pada 10 Oktober 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
proton_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (PROTON)

23 Mei 1983 – Pada tahun 1983, Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (Proton) lahir secara rasmi melalui persetujuan yang ditandatangani antara Perbadanan Industri Berat Malaysia (Hicom) dan kumpulan Mitsubishi dari Jepun di Kuala Lumpur.

Dalam upacara menandatangani persetujuan ini, Hicom diwakili oleh Tan Sri Datuk Jamil Rais Mohd Jan, Pengerusi Mitsubishi Motor Corporation (MMC), Dr Tomio Kubo mewakili syarikatnya dan Pengarah Urusan Mitsubishi Corporation (MC) Yoshio Morita menandatangani bagi pihak MC. Melalui persetujuan ini Proton dipertanggungjawabkan mengendalikan pengeluaran kereta-kereta buatan Malaysia yang pertama mulai tahun 1985 di kilangnya di Shah Alam.

Antara persetujuan dan kontrak lain yang dipersetujui oleh Hicom, MMC dan MC ialah persetujuan usahasama, persetujuan bantuan teknikal, persertujuan pinjaman, pemegang saham, kontrak pembinaan bahan dan kontrak bekalan alat-alat kereta. Juga di persetujui ialah pihak Hicom akan memegang saham proton sebanyak 70%, MMC 15% dan MC 15%.

Tidak syak lagi persetujuan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1983 yang melahirkan Proton telah mencatat sejarah dalam usaha merealisasikan cita-cita Kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kereta buatan tempatan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
2005_Proton_Waja_1.6-800px
Sejarah

Perdana Menteri Melancarkan Proton Waja

08 Mei 2000 – Proton Waja iaitu sebuah lagi kereta keluaran Proton telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di Stadium Malawati Shah Alam Selangor pada tahun 2000.

Kereta Proton Waja ini merupakan sebuah model yang direka sepenuhnya oleh anak tempatan dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 1 bilion untuk kos reka bentuk dan kejuruteraan fizikal. Dalam menyempurnakan pembuatan model Waja ini. Proton memerlukan masa selama 1.7 juta jam dengan menggunakan tenaga kerja seramai 300 jurutera.

proton_waja

Kenderaan ini dihasilkan dalam dua bentuk iaitu model GX 1.6 liter yang menggunakan enjin Mitsubishi dan GX 1.8 liter dengan menggunakan enjin Renault. Model Proton Waja ini menggunakan 95 peratus kompenen tempatan dan telah berjaya menjimatkan RM 400 juta hasil wang negara dari mengalir keluar akibat dari kos mengimport komponen. Kenderaan ini juga memiliki casisnya sendiri dan dijangkakan sebanyak 40,000 hingga 60,000 unit akan dikeluarkan dalam tempoh masa setahun.

Dari aspek ciri-ciri keselamatan pula Proton Waja mempunyai beg udara yang akan melindungi pemandu dari kecederaan akibat kemalangan. Selain itu juga proton waja memiliki struktur rangka yang kukuh dua kali ganda dari model-model keluaran proton yang lain. Enjin-enjin yang digunakan oleh model Proton Waja ini telah mendapat kelulusan piawaian ‘European Step’ dan mampu mencapai kelajuan 186 km/ sejam bagi model Waja 1.6 dan kepantasan mendaki ialah 12 saat dari 0 km/ sejam ke 100 km/ sejam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
majlis_amanah_raya
Sejarah

Majlis ITM Ditubuhkan Untuk Mentadbir Institut Teknologi Mara

14 Mac 1970 – Usaha untuk melatih kaum bumiputera dalam bidang-bidang profesional telah dimulakan sejak negara mencapai merdeka. Berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya membuka Dewan Latihan RIDA yang berperanan untuk memberikan latihan kepada bumiputera di dalam bidang-bidang yang tidak dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan yang lain, termasuklah bidang perniagaan dan perindustrian.

Dewan_Latehan_Rida

Dewan Latihan Rida 1956

Dewan Latihan RIDA ini kemudian dikenali sebagai Maktab MARA dan selepas itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Urusan pentadbirannya dipisahkan daripada Bahagian Latihan MARA pada 14 Mac 1970.

Tarikh ini merupakan permulaan zaman baru dalam pentadbiran Institut Teknologi MARA yang ditadbir oleh satu majlis yang dikenali sebagai Majlis ITM atau Governing Council. Ahli-ahli Majlis ITM adalah terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan ahli antara 9 hingga 17 orang yang akan dilantik oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Tugas dan tanggungjawab Majlis diterangkan dengan terperinci dalam Majlis Amanah Rakyat Act 1966 dan MARA (Institute Technology) Regulations 1970.

Lima Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Majlis ITM untuk tujuan pentadbiran iaitu:-

  • Finance and Development Committee
  • Personnel Management Committee
  • Board of Studies
  • Board of Student Welfare
  • Board of Examinations

Pengerusi pertama Majlis ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Ghazali Shafie dan Timbalan Pengerusi pula YAB. Datuk Mansor Osman. Bermula dari perubahan pentadbiran ini Institut Teknologi MARA telah dapat mengembangkan sayapnya untuk melatih bumiputera dalam bidang-bidang profesional.

ITM Shah Alam

ITM Shah Alam

Kejayaan ini adalah hasil kegigihan dan kesungguhan pihak pentadbiran yang ketika itu diterajui oleh Datuk Dr. Arshad Ayub selaku Ketua Eksekutif ITM. Beliau adalah orang yang telah banyak berjasa dan berjaya memperkenalkan ITM bukan sahaja di dalam negara malah telah meningkatkan lagi perhubungan dengan universiti luar negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah.

Sehingga hari ini Institut Teknologi MARA telah berjaya melahirkan ramai ahli profesional yang setaraf dengan lepasan institusi luar negara. Pelajar-pelajar lepasan ITM telah dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan negara dan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam bidang-bidang yang sebelum ini tidak dapat diceburi oleh mereka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Peletakan Batu Asas Kampus Institut Teknologi Mara

14 Oktober 1967 – Pada tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah meletakkan batu asas pembinaan kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan kampus ini diperlukan kerana negara mengalami kekurangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan meluluskan sebidang tanah seluas 300 ekar di Shah Alam untuk dijadikan tapak bagi Maktab Mara.

Sejarah ITM bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA, sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar. Dewan Latihan RIDA ini diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar, ekoran lawatan beliau ke Ceylon pada tahun 1950 untuk mengkaji program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil dari lawatan itu, kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA (The Rural and Industrial Development Authority).

UiTMlogo

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Pada tahun 1956, RIDA menubuhkan Unit Latihan diketuai oleh Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Alhadi. Dibawah unit ini lahir Taman Asuhan RIDA dan Dewan Latihan RIDA. Pada Jun 1965, Dewan Latihan RIDA ditukar nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan pada 14 Oktober 1967, Maktab Mara secara rasmi ditukar kepada Institut Teknologi MARA.

Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard