majlis_amanah_raya
Sejarah

Majlis ITM Ditubuhkan Untuk Mentadbir Institut Teknologi Mara

14 Mac 1970 – Usaha untuk melatih kaum bumiputera dalam bidang-bidang profesional telah dimulakan sejak negara mencapai merdeka. Berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya membuka Dewan Latihan RIDA yang berperanan untuk memberikan latihan kepada bumiputera di dalam bidang-bidang yang tidak dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan yang lain, termasuklah bidang perniagaan dan perindustrian.

Dewan_Latehan_Rida

Dewan Latihan Rida 1956

Dewan Latihan RIDA ini kemudian dikenali sebagai Maktab MARA dan selepas itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Urusan pentadbirannya dipisahkan daripada Bahagian Latihan MARA pada 14 Mac 1970.

Tarikh ini merupakan permulaan zaman baru dalam pentadbiran Institut Teknologi MARA yang ditadbir oleh satu majlis yang dikenali sebagai Majlis ITM atau Governing Council. Ahli-ahli Majlis ITM adalah terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan ahli antara 9 hingga 17 orang yang akan dilantik oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Tugas dan tanggungjawab Majlis diterangkan dengan terperinci dalam Majlis Amanah Rakyat Act 1966 dan MARA (Institute Technology) Regulations 1970.

Lima Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Majlis ITM untuk tujuan pentadbiran iaitu:-

  • Finance and Development Committee
  • Personnel Management Committee
  • Board of Studies
  • Board of Student Welfare
  • Board of Examinations

Pengerusi pertama Majlis ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Ghazali Shafie dan Timbalan Pengerusi pula YAB. Datuk Mansor Osman. Bermula dari perubahan pentadbiran ini Institut Teknologi MARA telah dapat mengembangkan sayapnya untuk melatih bumiputera dalam bidang-bidang profesional.

ITM Shah Alam

ITM Shah Alam

Kejayaan ini adalah hasil kegigihan dan kesungguhan pihak pentadbiran yang ketika itu diterajui oleh Datuk Dr. Arshad Ayub selaku Ketua Eksekutif ITM. Beliau adalah orang yang telah banyak berjasa dan berjaya memperkenalkan ITM bukan sahaja di dalam negara malah telah meningkatkan lagi perhubungan dengan universiti luar negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah.

Sehingga hari ini Institut Teknologi MARA telah berjaya melahirkan ramai ahli profesional yang setaraf dengan lepasan institusi luar negara. Pelajar-pelajar lepasan ITM telah dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan negara dan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam bidang-bidang yang sebelum ini tidak dapat diceburi oleh mereka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard