masjid_shah_alam_malam-800px
Sejarah

Pengisytiharan Shah Alam Sebagai Ibu Negeri Selangor

07 Disember 1978 – Sultan Selangor, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Shah telah merasmikan pengisytiharan bandar Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.

Cadangan awal memindahkan ibu negeri Selangor dari Kuala Lumpur telah dibuat oleh kerajaan pusat sejak tahun 1956. Tempat yang dipilih ialah Kelang. Dalam tahun 1962, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan menjadikan Petaling Jaya sebagai ibu negeri yang baru bagi menggantikan Kelang seperti cadangan awal. Setahun kemudian, kerajaan negeri menetapkan untuk membuka sebuah bandar baru di Sungai Renggam dengan harapan untuk menjadikannya sebagai ibu negeri Selangor.

Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj

Shah Alam terletak di dalam dua daerah iaitu Petaling dan Klang, pada suatu ketika dahulu adalah sebuah ladang kelapa sawit dan dikenali sebagai Sungai Renggam. Sungai Renggam dan Batu Tiga mula berkembang setelah British membina laluan keretapi dari Port Swettenham (Pelabuhan Klang) ke Bukit Kuda di Klang dan menghubungkannya dengan Kuala Lumpur pada tahun 1886.

Sungai Renggam dipilih berdasarkan sokongan yang dibuat oleh Penasihat Perancang Bandar Bangsa-bangsa Bersatu. Kedudukannya sesuai bagi mendirikan sebuah bandar perusahaan satelit yang baru kerana terletak di antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

Setelah Sungai Renggam dipersetujui untuk dijadikan kawasan ibu pejabat, kerajaan berpendapat nama Sungai Renggam patut diubah kepada satu nama yang bersesuaian dengan nama dan taraf serta keindahan ibu negeri Selangor.

Nama Shah Alam wujud daripada nama Sultan Selangor yang ke-6, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah Atiquallah. Kepesatan pembangunan Shah Alam telah membawa kepada kenaikan taraf dengan pengisytiharannya sebagai sebuah Bandar raya pada 10 Oktober 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard