H.I.D.S. – Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad Sebagai Perdana Menteri

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

16 Julai 1981 – Pada hari ini  dalam tahun 1981, Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.  Perlantikan itu dibuat setelah Perdana Menteri,  Tun Hussein Onn meletakkan jawatan.  Istiadat penuh rasmi itu telah disaksikan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta dihadiri oleh para Menteri Kabinet, Ketua Polis Negara (Tan Sri Haniff Omar), Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Mohamed Ghazali), dan Peguam Negara (Tan Sri Abu Talib Othman).  Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad lahir pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, kemudian ke Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti  Malaya Singapura dan lulus dengan ijazah M.B.B.S pada tahun 1952.  Penglibatan beliau dalam politik bermula pada tahun 1974, di mana beliau telah menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Kubang Pasu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974.  Manakala pada 5 Mac 1976, beliau telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia disamping memegang portfolio pelajaran.  Sepanjang pemerintahannya, Dr. Mahathir boleh disifatkan sebagai jaguh dan pemimpin Asia yang dinamik dan terkemuka.  Malah beliau adalah satu-satunya pemimpin yang berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara industri baru yang berpotensi dan berkembang maju.

Pada peringkat antarabangsa pula beliau memperkenalkan dasar luar Malaysia yang proaktif serta membolehkan Malaysia dikenali di dunia.  Yakni membina dasar luar yang bersifat global tertumpu kepada diplomasi ekonomi dan ketegasan dalam komunikasi politik antarabangsa.  Sesungguhnya perlantikan Dr. Mahathir Mohamad pada hari ini dalam tahun 1981, membuktikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad adalah tokoh politik yang tiada tandingan malah beliau telah menyusun impian dan gagasan masa depan Malaysia melalui Wawasan 2020.  Sehingga kini Dr. Mahathir Mohamad terus mengekalkan kuasa dan kedudukannya dengan membawa harapan yang tinggi daripada rakyat jelata.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen