21 Disember 2003 – Pada tahun 2003, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Bapa Pemodenan Malaysia di Pusat Konvensyen Putrajaya, Kuala Lumpur. Majlis itu diadakan bersempena majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat pada 31 Oktober dalam tahun yang sama selepas mengetuai tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun.
Turut hadir di majlis tersebut ialah DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali.
Dalam majlis tersebut, DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah menghadiahkan persalinan kepada Dr. Mahathir dan isteri, Dr. Siti Hasmah.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyatakan Dr. Mahathir dilihat sebagai pemimpin yang berfikiran lima hingga sepuluh tahun jauh ke hadapan berbanding dengan rakyat Malaysia yang lain. Ciri itu juga membolehkan beliau memacu Malaysia kepada kejayaan serta asas untuk kegemilangan. Tun Dr. Mahathir juga merupakan negarawan terulung yang mengabadikan diri beliau bagi kemajuan bangsa, agama dan negara.
Sejak meneraju kerajaan dalam tahun 1981, Dr. Mahathir telah berjaya mengubah Malaysia daripada negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
Baca Juga:
- Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad Sebagai Perdana Menteri
- Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur
- Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Yang Pertama
- Upacara Pecah Tanah Akademi Badminton Malaysia (BAM)
- Putrajaya Sebagai Sebuah Wilayah Persekutuan