H. I. D. S. – Penyata Razak Diluluskan

07 Mac 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Penyata ini adalah hasil daripada kajian Jawatankuasa Pelajaran yang dibentuk dalam bulan September 1955 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa ini ditugaskan untuk mengkaji dan menilai sistem pelajaran yang sedia ada dan mengemukakan syor-syor yang sesuai bagi mewujudkan satu dasar pelajaran yang boleh diterima oleh semua pihak.

Penyata Razak mencadangkan dua perkara utama yang menjadi teras pembangunan pendidikan, iaitu :

  • setiap kanak-kanak diberi peluang mendapat pelajaran; dan
  • mewujudkan satu sistem pendidikan bagi membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Objektif Penyata Razak adalah untuk melahirkan sekolah-sekolah yang ‘bercorak Tanah Melayu’ dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penghantar utama tanpa merosakkan kebudayaan dan bahasa-bahasa lain. Ini merupakan usaha awal kerajaan bagi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan membentuk identiti kebangsaan menjelang kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Cadangan yang dikemukakan oleh Penyata Razak ini diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen