reid_commision

Penyata Suruhanjaya Reid Dikeluarkan

21 Februari 1957 – Suruhanjaya Reid merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang berperanan mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Penyata Suruhanjaya Reid dikeluarkan pada 21 Februari 1957 dan diserahkan untuk diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja.

Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada 21 Mac 1956. Ia dipengerusikan oleh Lord Reid, dan dianggotai oleh Sir Ivor Jenning (Britain), Sir Willam Mc Kell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan).

Tempoh yang diberikan untuk menyiapkan draf perlembagaan tersebut adalah selama lapan bulan. Sepanjang tempoh tersebut, suruhanjaya ini telah menerima 131 memorandum dari pelbagai lapisan individu dan organisasi untuk dikaji. Suruhanjaya ini juga telah mengadakan sebanyak 118 rundingan bagi cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang berasaskan kepada demokrasi berparlimen.

reid_team

Penyata Suruhanjaya Reid ini diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja yang diwakili oleh empat orang pemerintah Melayu, empat orang lagi daripada parti yang memenangi pilihanraya pertama iaitu Parti Perikatan, Suruhanjaya Tinggi British, Setiausaha Agung, dan Peguam Negara. Apabila pindaan telah diterima, rang perlembagaan itu dirujuk kepada Majlis Raja-raja untuk disahkan. Kemudian rang perlembagaan itu dibincangkan semula dengan kerajaan British.

Penyata Suruhanjaya Reid telah diterima oleh Parlimen British dan dibentang untuk diluluskan Majlis Perundangan Persekutuan. Majlis Raja-raja telah memperkenankan perlembagaan tersebut pada bulan Jun 1957 dan Majlis Perundangan Persekutuan telah menerima dan meluluskannya pada 15 Ogos 1957.

Perlembagaan tersebut telah dikuatkuasakan pada 27 Ogos dan secara rasminya dilaksanakan apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan tersebut kemudiannya telah dipinda dengan beberapa perubahan kecil bagi menyesuaikannya menjadi Perlembagaan Malaysia apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen