H.I.D.S. – Pengambilan Kawasan Sipitang Hingga Ke Kuala Penyu

5 November 1884 – Pada hari ini dalam tahun 1884, Kompeni Berpiagam Borneo Utara telah berjaya mengambilalih kawasan Sipitang hinggalah ke Kuala Penyu dari Kesultanan Brunei. Pengambilan kawasan ini termaktub di dalam Surat Penyerahan 1884. Borneo Utara atau dikenali dengan ‘Sabah’ sekarang ini, adalah di bawah kuasa Sultan Brunei dan Syarikat Perdagangan Amerika (The America Trading Company) iaitu sejak dari tahun 1850.

Dalam tahun 1870-an, Syarikat Perdagangan itu telah menjadi muflis dan akhirnya syarikat itu telah dijual kepada seorang German, Gustavus Baron de Overbeck dan seorang Inggeris, Alfred Dent. Mereka kemudiannya berjaya menubuhkan Kompeni Borneo Utara dan memulakan penempatan di kawasan dari Sungai Sibuco hingga ke Paitan.

Dari tahun ke tahun Kompeni Borneo Utara berkembang dan kawasannya bertambah luas dengan cara pembelian atau mendapat pengambilan kawasan dari Sultan Brunei. Tujuan utama Kompeni ini meluaskan kawasannya ialah untuk menyekat perluasan kawasan Charles Brooke dari Sarawak dan juga untuk mendapatkan kawasan pertanian yang subur. Di samping itu juga ialah untuk menghalang penentang-penentang Kompeni yang bersembunyi di daerah Brunei.

Pada tahun 1884, Kompeni Borneo Utara berjaya mempengaruhi Kerajaan Inggeris dan telah dikurniakan sebuah Piagam. Pada hari ini dalam tahun 1884 satu lagi kejayaan besar tercapai apabila Kompeni Berpiagam Borneo Utara berjaya mendapatkan kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu, yang terletak di Pantai Barat. Surat Penyerahan itu telah ditandatangani oleh Sultan Brunei, Sultan Abdul Mumin, Pengeran di Gadong dan Pengeran Bendahara. Dengan termaktubnya Surat Penyerahan kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu ini, Kompeni Berpiagam Borneo Utara telah berjaya meluaskan kawasannya, iaitu keluasan negeri Sabah yang ada pada hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen