muzium_matang-800px
Sejarah

Jasad Dua Pahlawan Melayu Dikebumikan Semula

09 September 2006 – Pada tahun 2006, Rangka jasad dua pahlawan Melayu, Allahyarham Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar dan bapa mertuanya, Allahyarham Laksamana Mohamad Amin Alang Duakap selamat dikebumikan semula di Kuala Kangsar dan Taiping.

Laksamana Mohd Amin bersama-sama Ngah Ibrahim, Sultan Abdullah dan Datuk Syahbandar Uda Maamor dibuang daerah dan diasingkan ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi pada tahun 1877 kerana dituduh terlibat dalam pakatan membunuh Residen British di Perak, J.W.W Birch di Pasir Salak, bersama pahlawan Perak yang lain seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Pandak Endut dan Si Puntum.

Pengebumian semula kedua-dua pahlawan Melayu itu dimulakan dengan rangka jasad Mohamad Amin pada pukul 11 pagi di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Manakala rangka jasad Ngah Ibrahim di kebumikan di Kota Ngah Ibrahim yang kini dikenali sebagai Kompleks Sejarah Matang di Taiping pukul 1.30 tengah hari.

Kerajaan negeri Perak dalam satu kenyataan, yakin rangka jasad Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar yang dibawa pulang dari Singapura dan disemadikan semula di Kota Ngah Ibrahim hari ini adalah milik pahlawan Melayu Perak berdasarkan dokumen-dokumen dan bukti nyata bahawa Ngah Ibrahim memang meninggal dunia di Singapura dan perkara tersebut disokong oleh fakta sejarah yang di simpan di Jabatan Muzium Malaysia serta kajian yang dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tun_Hussein_Onn_portrait
Sejarah

Pelantikan Datuk Hussein Onn Sebagai Timbalan Perdana Menteri Ketiga

13 Ogos 1973 – Pada tahun 1973, Datuk Hussein Onn telah diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri ketiga oleh Perdana Menteri Y.A.B Tun Abdul Razak bin Dato Hussein di Bilik Gerakan, Pejabat Perdana Menteri.

Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau mengumumkan susunan baru jemaah kabinet berikutan Tun Dr. Ismail meninggal dunia pada 2 Ogos 1973.

Selain dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn juga diberi mandat untuk menerajui portfolio Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Peranan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pada masa menerajui beberapa kementerian yang lain sememangnya memberikan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang amat penting kepada Datuk Hussein Onn sebagai seorang pemimpin apabila beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga pada 15 Januari 1976.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_Temenggong-Abu-Bakar
Sejarah

Jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar Dibawa Pulang Dari London

18 Julai 1895 – Pada tahun 1895, jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggong Ibrahim telah dibawa pulang dari London, England.

Baginda mangkat pada 4 Jun 1895, jam 8.30 malam. Jenazah Almarhum telah dibawa pulang dengan kapal dari syarikat perkapalan P & 0 yang bernama Bombay.

Pada 28 Ogos 1895, jenazah Almarhum tiba di pelabuhan Pulau Pinang, yang kemudiannya dipindahkan ke sebuah kapal perang Inggeris, H.M.S Mercury menuju ke Singapura.

Setelah sampai di Singapura pada 30 Ogos 1895, jenazah tersebut telah dibawa ke Johor Bahru dan disemayamkan di Istana Besar Johor Bahru.

Pada 7 September 1895, jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar dimakamkan di pemakaman Diraja Johor, Makam Mahmoodiah Johor Bharu, Johor.

Almarhum Sultan Abu Bakar, yang terkenal sebagai Bapa Johor Moden telah ditabal menjadi Sultan Johor pada 29 Julai 1886. Sebelum ini baginda digelar sebagai Maharaja Abu Bakar.

Sepanjang pemerintahan baginda banyak pembaharuan dan pembangunan dibuat di negeri Johor. Di samping itu kecekapan pentadbiran baginda telah menggagalkan rancangan Inggeris untuk menarik negeri Johor ke dalam pentadbiran Sistem Residen.

Kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar ini telah tersebar luas di benua Eropah dan England. Almarhum Sultan Abu Bakar telah diganti oleh Putera Mahkota Tengku Ibrahim menjadi Sultan Yang Dipertuan Negeri Johor bergelar Sultan Ibrahim.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
the-eruption-800px
Sejarah

Serangan Inggeris Ke Atas Jeram Ampai

29 Jun 1894 – Dalam tahun 1894 sepasukan Polis kerajaan Inggeris telah menyerang sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang.  Pasukan Polis ini terdiri dari Polis Sikh Perak, Polis Sikh Selangor dan beberapa orang polis Melayu.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Kumpulan ini adalah sekumpulan penentang-penentang Inggeris di Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi. Dalam serangan tersebut seorang Pegawai Inggeris bernama Wise (Pemangku Penguasa Ulu Pahang) dan empat orang polis Sikh telah terbunuh manakala di pihak penentang-penentang pula dilaporkan 40 orang terbunuh.

Serangan ke atas kumpulan penentang-penentang di Jeram Ampai ini merupakan tindakbalas pihak Inggeris terhadap ancaman terbaru penentang-penentang di mana pada 14hb Jun mereka telah menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis Sikh. Kemudiannya mereka telah berundur ke Jeram Ampai iaitu empat batu dari Kuala Tembeling dan mendirikan benteng-benteng pertahanan.

Tok_gajah-1

Tok Gajah

Pada 18hb Jun, Walter Egerton, Pemangku Residen Pahang dengan sepasukan Polis Sikh telah berkejar ke Kuala Tembeling. Pada 28hb Jun pasukan ini disertai pula oleh pasukan-pasukan Polis Perak, dan Selangor yang diketuai oleh Penolong Penguasa Stewart, Leftenan Kolonel Walter, Kapten Lyons dan Kapten Talbot.

Peristiwa Jeram Ampai ini adalah merupakan salah satu daripada beberapa insiden dalam sejarah penentangan pejuang-pejuang pembebasan Pahang terhadap Inggeris di Pahang. Ekoran daripada peristiwa ini Huge Clifford iaitu Residen British di Pahang telah melancarkan gerakan besaran-besaran memburu mereka hingga ke Negeri Terengganu dan Kelantan.

mat-kilau

Mat Kilau

Gerakan ini dimulakan pada 4hb Julai, 1894 setelah Clifford mengambil alih pemerintahan dari Egerton pada 3hb Julai,1894. Gerakan  yang menelan belanja sebanyak RM 7,393.83 dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato’ Bahaman, Awang Nong, Yusuf, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahit dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada Kerajaan Siam tetapi diberi perlindungan dan ditempatkan di Chiang Mai pada awal 1896 manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan telah meninggal dunia di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sultan_Ali_Iskandar_Shah_Johor-800px
Sejarah

Sultan Ali (Johor) Mangkat Di Umbai Melaka

20 Jun 1877 – Sultan Ali Ibni Almarhum Sultan Hussain Shah, Sultan Johor telah mangkat di Umbai Melaka pada 20 Jun 1877. Berita kemangkatan baginda telah disampaikan kepada putera baginda Tengku Alam yang pada masa itu bersemayam di Istana Kampong Gelam, Singapura bersama-sama Maharaja Abu Bakar.

Pada mulanya Tengku Alam enggan ke Melaka untuk pemakaman tersebut selagi beliau tidak dilantik menjadi Sultan menggantikan Sultan Ali. Tetapi akhirnya, Tengku Alam terpaksa beralah setelah ia mengetahui bahawa Gabenor Inggeris benar-benar tidak mahu melantiknya menjadi Sultan.

Sultan Ali Iskandar Shah

Sultan Ali Iskandar Shah

Tengku Alam telah berangkat ke Johor dengan kapal Maharaja Abu Bakar kemudian ke Umbai, Melaka. Walaupun Tengku Alam hadir Baginda telah menjauhkan diri.

Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Selat turut hadir di upacara itu untuk memastikan tidak ada sebarang pergaduhan berlaku atau tidak ada sebarang pengisytiharan pengganti Sultan diadakan.

Selepas kemangkatan Sultan Ali, perebutan kuasa telah berlaku di kalangan keluarga Sultan Ali sendiri. Beberapa peristiwa pertumpahan darah telah tercetus seperti di Kuala Muar oleh Suliwatang. Keadaan ini berlarutan hingga tahun 1883.

Akan tetapi dengan kebijaksanaan Maharaja Abu Bakar untuk menamatkan keadaan kucar-kacir yang menggugat keamanan negeri Johor, satu perjanjian setia telah diadakan dengan Kerajaan Inggeris.

Dalam perjanjian ini Inggeris bersetuju memberikan bantuan kepada Maharaja Abu Bakar dalam menghadapi soal kekacauan tersebut. Kedaulatan dapat diselamatkan dan Maharaja Abu Bakar dilantik menjadi pemerintah Johor bergelar Sultan hingga keturunannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard