Malaysia_Flag-800px
Sejarah

Undang-Undang Wajib Hormat Lagu Kebangsaan

01 Mac 1968 – Pada tahun 1968, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang mewajibkan orang ramai bangun berdiri memberi hormat apabila lagu kebangsaan dimainkan terutama di tempat awam. Rang Undang-undang ini juga melarang orang ramai mentertawakan lagu kebangsaan dan juga mempermainkan sesiapa sahaja yang menghormati lagu tersebut. Adalah satu kesalahan mengganggu dan mengejek orang yang memberi hormat kepada lagu yang menjadi lambang kebangsaan negara ini.

Ketika pembentangan rang undang-undang, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Encik Khaw Kai Boh berkata, rang undang-undang ini dilaksanakan dalam usaha memupuk taat setia kepada negara di kalangan rakyat berbagai bangsa, keturunan, agama dan fahaman.

Demi menentukan rang undang-undang ini dipatuhi maka kuasa telah diberi kepada pegawai polis untuk menangkap tanpa waran sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini. Mereka akan dikenakan denda sebanyak satu ratus ringgit atau satu bulan penjara.

jalur_gemilang

Rang undang-undang ini sesungguhnya adalah wajar dilaksanakan memandangkan perbuatan tidak menghormati lagu ini dianggap merendahkan kemuliaan lagu kebangsaan pada pandangan awam dan ini merupakan satu sikap tidak hormat yang patut dihapuskan.

Lirik Negaraku

Negaraku

Tanah tumpahnya darahku,

Rakyat hidup,

Bersatu dan maju,

Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan,

Raja kita,

Selamat bertakhta,

Rahmat bahagia,

Tuhan kurniakan,

Raja kita,

selamat bertakhta.

Sumber : Arkib Negara Malaysia , Akta Lagu Kebangsaan 1968 (pdf).

Standard
Sejarah

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor

16 Februari 1967 – Lagu ‘Duli Yang Maha Mulia’ telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor sebagai Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang baharu pada 16 Februari 1967. Lagu yang digubah dan disusun oleh Saiful Bahari ini diterima oleh Majlis Mesyuarat Dewan Di Raja bersama-sama DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Shah pada 20 Februari, 1967 dan dirasmikan pada 8 Mac 1967.

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang pertama ialah lagu ‘Chantek Manis’ iaitu sebuah lagu Melayu. Lagu ini dipilih oleh DYMM Almarhum Sultan Sulaiman Shah bersama-sama dengan Raja Haji Bot Bin Raja Jumaat. Lagu ini telah dimainkan oleh pancaragam yang diketuai oleh Daniel Ortego.

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang kedua pula adalah sebuah lagu yang berentak Barat dan mula dimainkan pada tahun 1908. Lagu ini digubah oleh Daniel Ortego dan senikatanya disusun oleh Persatuan Guru-guru Melayu Selangor.

Sultan_Salahuddin_Abdul_Aziz_Shah

Dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada 26 November 1963, DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz berpendapat bahawa Selangor memerlukan lagu kebangsaan baru, dan ia harus sesuai dengan keadaan dan aspirasi rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohammad Sulaiman telah meminta Saiful Bahri yang merupakan Pengarah Muzik Filem Negara Malaysia pada ketika itu untuk mengubahnya. Hasilnya lagu gubahan beliau iaitu ‘Duli Yang Maha Mulia’ telah dipersetujui untuk diterima sebagai lagu Kebangsaan Negeri Selangor hingga ke hari ini.

Lirik Lagu Duli Yang Maha Mulia

Duli Yang Maha Mulia

Selamat di atas takhta

Allah lanjutkan usia Tuanku

Rakyat mohon restu bawah Duli Tuanku

Bahagia selama-lamanya

Aman dan sentosa

Duli Yang Maha Mulia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Pengisytiharaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

31 Ogos 1957 – Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘MERDEKA’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka.

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel.

Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.

Serentak dengan itu, lambang perpaduan, keutuhan dan kedaulatan bangsa iaitu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Ini diikuti pula dengan seruan azan dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun.

Pada hari ini juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1957 telah membuka satu lembaran baru Tanah Melayu mara ke hadapan mengambil tempat yang hak baginya sebagai anggota yang bebas dan merdeka dalam lingkungan negara-negara di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

 

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu

05 Ogos 1957 – Pada tahun 1957, Lagu Terang Bulan, lagu kebangsaan negeri Perak telah dipilih sebagai lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pemilihan lagu kebangsaan ini telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilih Lagu-lagu Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Empat buah lagu yang layak ke peringkat pemilihan akhir lagu-lagu Kebangsaan telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur.

Antara lagu-lagu tersebut termasuklah lagu gubahan Tuan Zubir Said dan Benjamin Britain. Berikutan daripada itu, Jawatankuasa Pemilih telah memutuskan untuk memilih Lagu Kebangsaan Negeri Perak sebagai Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka.

Pemilihan dibuat berdasarkan unsur-unsur kemelayuan yang terdapat pada lagu Terang Bulan. Keputusan pemilihan Jawatankuasa pemilih kemudiannya dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan.

Lagu kebangsaan buat pertama kalinya telah diperdengarkan kepada khalayak ramai pada malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

lagu negaraku

Lirik Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu :

Negaraku

Tanah tumpahnya darahku,

Rakyat hidup,

Bersatu dan maju,

Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan,

Raja kita,

Selamat bertakhta,

Rahmat bahagia,

Tuhan kurniakan,

Raja kita,

selamat bertakhta.

 

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard