Sejarah

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor

16 Februari 1967 – Lagu ‘Duli Yang Maha Mulia’ telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor sebagai Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang baharu pada 16 Februari 1967. Lagu yang digubah dan disusun oleh Saiful Bahari ini diterima oleh Majlis Mesyuarat Dewan Di Raja bersama-sama DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Shah pada 20 Februari, 1967 dan dirasmikan pada 8 Mac 1967.

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang pertama ialah lagu ‘Chantek Manis’ iaitu sebuah lagu Melayu. Lagu ini dipilih oleh DYMM Almarhum Sultan Sulaiman Shah bersama-sama dengan Raja Haji Bot Bin Raja Jumaat. Lagu ini telah dimainkan oleh pancaragam yang diketuai oleh Daniel Ortego.

Lagu Kebangsaan Negeri Selangor yang kedua pula adalah sebuah lagu yang berentak Barat dan mula dimainkan pada tahun 1908. Lagu ini digubah oleh Daniel Ortego dan senikatanya disusun oleh Persatuan Guru-guru Melayu Selangor.

Sultan_Salahuddin_Abdul_Aziz_Shah

Dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada 26 November 1963, DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz berpendapat bahawa Selangor memerlukan lagu kebangsaan baru, dan ia harus sesuai dengan keadaan dan aspirasi rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohammad Sulaiman telah meminta Saiful Bahri yang merupakan Pengarah Muzik Filem Negara Malaysia pada ketika itu untuk mengubahnya. Hasilnya lagu gubahan beliau iaitu ‘Duli Yang Maha Mulia’ telah dipersetujui untuk diterima sebagai lagu Kebangsaan Negeri Selangor hingga ke hari ini.

Lirik Lagu Duli Yang Maha Mulia

Duli Yang Maha Mulia

Selamat di atas takhta

Allah lanjutkan usia Tuanku

Rakyat mohon restu bawah Duli Tuanku

Bahagia selama-lamanya

Aman dan sentosa

Duli Yang Maha Mulia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard