radio_malaya_flyer-800px
Sejarah

Penubuhan Radio Malaya

02 April 1946 – Jabatan Penyiaran yang dikenali dengan RADIO MALAYA ditubuhkan pada tahun 1946 dan beribu pejabat di Singapura. Dengan tertubuhnya Jabatan ini maka tamatlah perkhidmatan penyiaran di bawah Pentadbiran Tentera British. Sejak ditubuhkan ia memainkan peranan yang penting kepada rakyat dan negara.

Di masa darurat tahun 1948 hingga 1951 Radio Malaya menyiarkan Siaran Darurat dalam usaha menentang dakyah dan keganasan komunis. Menjelang merdeka Radio Malaya mendidik dan membimbing rakyat dalam menghadapi satu penghidupan baru dalam negara yang merdeka dan berdaulat.

Pemindahan Radio Malaya Dari Singapura

Pada tahun 1959, Ibu Pejabat perkhidmatan ini (Radio Malaya) telah dipindahkan dari Singapura ke Rumah Persekutuan, di Kuala Lumpur. Dari Rumah Persekutuan ini rancangan-rancangan disiarkan dalam empat bahasa iaitu Melayu oleh Perkhidmatan Melayu, Inggeris (Perkhidmatan Inggeris), Cina (Perkhidmatan Cina), dan Tamil (Perkhidmatan Tamil), yang kemudiannya dikenali sebagai Rangkaian-rangkaian Nasional, Biru, Hijau dan Merah.

Radio_Malaya

Selepas Penubuhan Malaysia

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 ia bertukar menjadi Radio Malaysia dan siarannya meliputi Sabah (Radio Malaysia Sabah) dan Sarawak (Radio Malaysia Sarawak). Dalam tahun 1963, selepas penubuhan Malaysia, Jabatan Penyiaran memulakan siaran daerahnya untuk memberi perkhidmatan yang lebih meluas pada orang ramai supaya dapat diterima dan difahami oleh rakyat sepenuhnya.

Siaran Daerah yang pertama dimulakan pada 16 November 1963, apabila Stesen Daerah Kota Bharu ditubuhkan. Bagaimanapun Stesen Daerah ini hanya dirasmikan pada 6 November 1964. Kini terdapat 15 stesen daerah di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Pada 15 Februari 1963 Radio Malaya melancarkan Siaran Luar Negeri iaitu SUARA MALAYA dalam 3 bahasa untuk memprojek imej negara di luar negeri dari segi politik, ekonomi dan sosial di samping mempereratkan tali persaudaraan dengan negara jiran.

Apabila Malaysia tertubuh ia bertukar menjadi Suara Malaysia. Hari ini Suara Malaysia menyiarkan rancangan dalam lapan bahasa iaitu Indonesia, Inggeris, Mandarin, Thai, Arab, Filipina dialek Tagalog, Bahasa Malaysia dan Burma.

angkasapuri_70_800px

Angkasapuri

Perkhidmatan Televisyen Malaysia

Bidang penyiaran telah maju setapak lagi apabila Perkhidmatan TV dimulakan pada 28 Disember 1963. Segala kegiatan dan penerbitan rancangan dijalankan di Studio-studio sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Apabila studionya di Kompleks Angkasapuri yang terletak di Bukit Putra siap, TV Malaysia memulakan siaran dari sana pada 6 Oktober 1969 melalui Rangkaian Pertama. Pada bulan November tahun yang sama Rangkaian Kedua pula dilancarkan dan diikuti oleh Rangkaian Ketiga pada bulan November 1971.

Pada 11 Oktober 1969, Radio Malaysia dan TV Malaysia telah bergabung menjadi satu Jabatan iaitu JABATAN PENYIARAN MALAYSIA. Pada 19 April 1972, Rangkaian Nasional Radio Malaysia memulakan siaran 24 jam sehari, manakala masa siaran bagi rangkaian lain juga turut bertambah. Pada 9 Mei 1972, Radio Malaysia telah berpindah ke bangunannya sendiri, Wisma Radio yang dilengkapi dengan kemudahan penyiaran yang moden. Selaras dengan perkembangan pesat di Ibu negara, Radio Malaysia telah memulakan Siaran Ibu kota pada 5 November 1973. Kajian juga sedang dibuat untuk menentukan sama ada siaran yang sama dapat diadakan di bandar-bandar besar di Malaysia di masa akan datang.

Siaran Televisyen Warna

Pada 20 Jun 1975, Siaran FM Stereo pula dilancarkan bagi memenuhi kehendak pendengar-pendengar yang meminati Siaran Stereofonik. Siaran FM yang ada sekarang dapat didengar di Selangor, di Wilayah Persekutuan, Pahang Barat, Selatan Perak dan sebahagian dari Negeri Sembilan. Untuk memberi perkhidmatan yang lebih bermutu kepada orang ramai, Jabatan Penyiaran menerusi TV Malaysia telah memulakan siaran warna pada 28 Disember, 1978 melalui Rangkaian Nasional dan Pertama setelah 15 tahun TV Malaysia dilancarkan. Ini diikuti oleh Rangkaian Kedua pada 7 Mei 1979 dan Rangkaian Ketiga pada 31 Ogos 1980.

Siaran TV warna ini telah mencapai kejayaan yang lebih tinggi dari yang dijangkakan mengikut perancangan asalnya. Peratus siaran warna kini ialah 87 % melalui Rangkaian Nasional dan Pertama, 67% Rangkaian Kedua dan 50% Rangkaian Ketiga. Peratusan ini telah melebihi dari peratus yang dirancangkan mengikut perancangan asal di mana hanya pada tahun 1985 ia dijangkakan akan mencapai 80%.

Hari ini kedua-kedua media Radio dan TV Malaysia menjadi media kerajaan yang terpenting untuk menerangkan dan memberi liputan yang seluas-luasnya mengenai segala dasar dan rancangan kerajaan di samping memberi hiburan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
universiti_malaysia_kelantan-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

31 Mac 2006 – Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan di negeri Kelantan telah dijadikan sebagai salah satu komponen dalam Rancangan Malaysia Ke-9 bagi menyokong pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor pendidikan tinggi negara. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti di Kelantan dalam pembentangan RMK-9 pada 31 Mac 2006.

Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan ini telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 14 Jun 2006. Jemaah Menteri juga telah menetapkan supaya falsafah kurikulum pengajian di UMK berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan (entrepreneurship education and enterprises) dalam semua program pengajian.

Oleh itu frasa rangsangan seperti Entrepreneurship is Our Thrust dan Entrepreneurial University digunakan dengan meluas. Pengkhususan pengajian untuk pembangunan jangka masa pendek dan sederhana dikelompokkan kepada tiga bidang pengajian iaitu Keusahawanan dan Perniagaan; Teknologi Kreatif dan Warisan dan Agro-industri dan Sains Sumber Asli.

Universiti Malaysia Kelantan

Universiti Malaysia Kelantan merupakan institut pengajian tinggi awam yang ke-19 ditubuhkan di Malaysia dan terletak di kampus sementara di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa. UMK telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 2007 dengan pendaftaran pelajar sulung seramai 295 orang.

Kini, Universiti Malaysia Kelantan menumpang di Institut Perguruan Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan. Prof. Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed telah dilantik sebagai naib canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan, berkuatkuasa 1 Oktober 2006.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_parlimen-800px
Sejarah

Cokmar Dipersembahkan Di Majlis Perundangan Persekutuan

19 Mac 1952 – Pada tahun 1952, buat pertama kalinya cokmar dipersembahkan di Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar itu akan dipersembahkan oleh wakil Raja-raja Melayu di upacara pembukaan persidangan Majlis Perundangan yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi, Sir Gerald Templer.

cokmar

Cokmar itu diperbuat di Kota Bharu, Kelantan dengan bantuan Persatuan Seni Kraf Kelantan. Bentuk cokmar adalah hasil karya Encik Nik Mahmud bin Idrus dari Jabatan Pelajaran negeri Kelantan. Ianya diperbuat daripada emas dan perak; panjangnya 4 kaki berbentuk tongkat berkepala besar.

cokmar_dewan_negara

Foto : FB Parlimen Malaysia

Di atas kepala tongkat itu terukir daripada emas bentuk bulan sabit dengan bintang pecah sebelas sebagai simbol sebelas buah kerajaan yang membentuk Kerajaan Persekutuan. Di sekeliling bulatan kepala cokmar diterapkan dalam nama emas, lambang sembilan buah negeri Persekutuan dan dua buah negeri Selat.

cokmar_dewan_rakyat

Foto : FB Parlimen Malaysia

Kepala cokmar ditanggung oleh empat lembaga kepala harimau, manakala bahagian tongkat dihiasi dengan ukiran enam tangkai padi daripada emas sebagai simbol hasil pengeluaran negara yang utama. Di atas dua belah permukaan kepala cokmar diukir pula lambang Kerajaan Persekutuan yang bermotto “Bersatu Bertambah Mutu”. Satu kotak khas untuk menyimpan cokmar ini juga dicipta dan ianya diperbuat daripada kayu Kulim.

Cokmar yang dipersembahkan di Majlis Perundangan itu adalah merupakan simbol kuasa Kerajaan Persekutuan yang berparlimen, berdemokrasi dan berperlembagaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
japanese_troop-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Ditawan Oleh Jepun

15 Februari 1942 – Seluruh Persekutuan Tanah Melayu ditawan oleh Jepun di bawah pimpinan Jeneral Tomoyuki Yamashita pada tahun 15 Februari 1942. Kejayaan yang dicapai adalah berikutan daripada penawanan Kolam Air di tengah-tengah Pulau Singapura.

Pegawai Pemerintah Inggeris iaitu Jeneral Percival telah menyerah diri kepada pihak Jepun tanpa syarat. Serangan yang telah dilancarkan oleh tentera Jepun ke atas Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan dan peperangan itu adalah serentak dengan negara-negara lain seperti Hawai, Hong Kong dan Filipina.

Kegagalan dalam perundingan di antara Jepun dan Amerika Syarikat di Washington pada tahun 1941 adalah merupakan punca yang membawa kepada tercetusnya peperangan. Wakil Kerajaan Jepun dalam perundingan itu ialah seorang Duta Khas iaitu Saburu Karusu.

Adalah ditafsirkan seramai 150 ribu orang tentera Jepun telah digunakan dalam serangan ke atas Tanah Melayu yang meliputi kira-kira lima ketumbukan dan dua pasukan kereta kebal serta Pasukan Kawalan Diraja iaitu angkatan perang Jepun di negeri China. Ini adalah satu angkatan perang yang cukup kuat dan besar mengikut perancangan yang diatur dengan teliti demi memperolehi kemenangan.

Antara sebab-sebab lain yang membawa kepada kejayaan tentera Jepun di Tanah Melayu ialah :-

  • Pihak Inggeris di Tanah Melayu tidak bersiap sedia dari segi ketenteraan untuk menghadapi peperangan. Di samping itu Angkatan Tentera Udara dan Laut Inggeris tidak dapat memberi perkhidmatan yang baik dibandingkan dengan Jepun yang menggunakan alat kelengkapan serta senjata yang lebih baik.
  • Tentera Jepun mempunyai semangat keperwiraan dan pengalaman yang luas dalam menghadapi kesukaran peperangan. Manakala pertahanan Inggeris pula adalah lemah disebabkan kekurangan pengalaman dan latihan terutama dalam peperangan di hutan rimba seperti di Tanah Melayu.
  • Pihak Jepun telah menyebarkan dakyah anti Inggeris kepada askar India di Tanah Melayu dalam perjuangan bangsanya merebut kemerdekaan di India. Kesannya tentera Jepun dapat mara tanpa halangan yang besar ke Tanah Melayu.

Dengan kejayaan tentera Jepun menawan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1942 maka berakhirlah kuasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu buat seketika. Langkah pertama yang diambil oleh Jepun setelah berkuasa ialah menyusun semula dasar pentadbiran negeri, diantaranya ialah melucut jawatan dan menahan kesemua Pegawai Pentadbir Inggeris atau menghantarnya ke Siam untuk bekerja membina jalan keretapi maut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard