View_of_the_town_and_roads_of_Singapore_from_the_government_hill_published_1828-800apx
Sejarah

Perjanjian Persahabatan E.I.C-Johor

02 Ogos 1824 – Pada tahun 1824 satu perjanjian persahabatan E.I.C-Johor telah ditandatangani di antara John Crawfurd, Residen Inggeris di Singapura bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris (E.I.C) dengan Sultan Hussain Shah dan Temenggung Abdul Rahman.

Perjanjian ini dibuat di Singapura dan telah disahkan oleh Gabenor Jeneral Inggeris di Fort William, India pada 19 November 1824.

Mengikut perjanjian yang mengandungi 14 perkara ini, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman bersetuju menyerahkan Pulau Singapura serta pulau-pulau dalam lingkungan sepuluh batu dari pantainya kepada pihak Inggeris.

Sebagai gantinya Sultan menerima wang hadiah sebanyak 33,200 dollar Sepanyol dan gaji bulanan sebanyak 1,300 dollar, selama hayat baginda. Temenggung pula menerima wang hadiah sebanyak 26,800 dollar dan gaji bulanan sebanyak 700 dollar selagi ada hayatnya.

John Crawfurd

John Crawfurd

Selain dari itu, jika Sultan Hussain dan Temenggung mahu pindah keluar dari Singapura, Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar 20,000 ringgit dan kepada Temenggung atau penggantinya sebanyak 5,000 dollar.

Perjanjian ini juga telah membatalkan persetiaan-persetiaan dan persetujuan-persetujuan yang telah pernah dibuat di antara Kompeni Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung.

Akibat dari perjanjian ini Sultan Hussain telah kehilangan kuasa dan kedaulatannya ke atas Singapura.

Perjanjian yang menjadikan Singapura hak milik Inggeris ini adalah lanjutan daripada usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Thomas Stamford Raffles pada awal tahun 1819 bagi menjamin kepentingan Inggeris.

Dengan memanipulasikan keadaan politik kerajaan Johor masa itu, terutama sekali mengenai kedudukan kesultanannya yang sedang dipertikaikan, Raffles telah mengangkat Tengku Long menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Hussain Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Mahmud, Sultan Johor dalam satu istiadat di Padang Singapura pada 6 Februari 1819.

Sir_Thomas_Stamford_Raffles

Sir Thomas Stamford Raffles

Pada hari itu juga Raffles, bagi pihak Kompeni Inggeris telah membuat perjanjian dengan Sultan Hussain dan Temenggung.

Peristiwa ini telah mengubah perjalanan sejarah Kerajaan Johor yang dahulunya meliputi Johor, Riau, Lingga, Singapura, Pahang dan pulau-pulau disekitarnya.

Bendahara Tun Ali di Pahang menyifatkan perbuatan orang-orang Inggeris di Singapura itu sebagai “suatu perbuatan yang telah menceraikan orang adik-beradik, anak beranak dan sahabat handai…….

Pada tahun 1823 satu lagi perjanjian telah dibuat oleh Raffles dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman yang menjadikan kuasa Inggeris di Singapura lebih kukuh daripada tahun 1819, tetapi kekuasaan dan hak-hak Inggeris di pulau itu masih dalam keadaan yang kurang baik.

View_of_the_town_and_roads_of_Singapore_from_the_government_hill_published_1828

Apabila John Crawfurd menjadi Residen Singapura beliau telah mencadangkan pula supaya Singapura diambil langsung oleh Kompeni Inggeris dari tangan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman.

Secara kebetulan pula perjanjian Inggeris- Belanda pada 17 Mac 1824 telah memisahkan politik kenegaraan rumpun bangsa Melayu, maka Residen Crawfurd pun berusaha menjadikan Singapura hak milik Inggeris.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1824 satu perjanjian di antara John Crawfurd dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman telah ditandatangani.

Dengan itu Singapura telah diambil langsung oleh Inggeris daripada raja-raja Melayu yang telah turun temurun mempunyai hak kuasa pertuanan di pulau itu, bukan dengan perang, melainkan dengan kepandaian tipu daya menggunakan wang ringgit pada ketika orang-orang yang diperdayakan itu benar-benar dalam kesempitan dan hendak menjaga taraf kedudukan mereka pula sebagai raja dalam negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
syarikat-hindia-timur-800px
Sejarah

Perjanjian Ikatan Perdagangan Perak-Syarikat Hindia Timur Inggeris

30 Julai 1818 – Pada tahun 1818 satu Perjanjian Ikatan Perdagangan telah ditandatangani di antara East India Company atau Syarikat Hindia Timur Inggeris yang diwakili oleh Walter Sewell Gacraft dengan Sultan Perak, Sultan Abdullah.

Perkara-perkara yang terkandung di dalam perjanjian ini ialah seperti berikut:

FASAL I

Keamanan dan persaudaraan yang ujud sekarang di antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dan D.Y.M.M. Raja Perak akan dikekalkan.

FASAL II

Kapal-kapal dan barang-barang dagangan kepunyaan rakyat British, atau orang-orang yang berada di bawah lindungan Syarikat Hindia Timur Inggeris, akan menikmati segala kemudahan dan keistimewaan yang diberi dan yang akan diperolehi oleh negara-negara yang diperkenankan oleh Raja Perak.

FASAL III

Kapal-kapal dan barang-barang dagangan kepunyaan rakyat Raja Perak akan juga menikmati kemudahan dan keistimewaan yang sama, selagi mereka berada di pelabuhan Fort Cornwallis dan di mana-mana tempat taklukan kerajaan British di Pulau Pinang.

FASAL IV

Raja Perak bersetuju tidak akan memperbaharui mana-mana perjanjian lama yang dibuat dengan negara-negara lain, syarikat awam dan orang-orang perseorangan, di mana peruntukan-peruntukannya menafikan atau menghalang perdagangan-perdagangan rakyat Inggeris, dan mereka tidak harus dibebani dengan cukai-cukai yang tidak dikenakan kepada rakyat negara-negara lain.

FASAL V

Raja Perak juga bersetuju tidak akan memberi monopoli barang-barang dagangan dan hasil keluaran daerah-daerahnya kepada sesiapa jua, Eropah atau Amerika atau rakyat lain-lain negara, dan membenarkan rakyat Inggeris untuk datang dan membeli apa jua jenis barangan seperti orang-orang lain.

FASAL VI

Syarikat Hindia Timur Inggeris tidak akan membuat sebarang perjanjian yang akan menafikan atau menghalang rakyat Raja Perak datang berdagang di Pulau Pinang, dan tidak akan membenarkan monopoli sebarang jenis barang dagangan kepada sesiapa jua pun.

FASAL VII

Raja Perak bersetuju tidak akan membenarkan perdagangan hamba sahaja, dan sebaliknya.

FASAL VIII

Perjanjian Ikatan Perdagangan ini seperti mana yang dinyatakan dalam perkara-perkara di atas adalah bertujuan untuk memupuk suasana aman dan persahabatan di antara Perak dan Pulau Pinang dan menjamin kebebasan perdagangan di antara kedua belah pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc_ship-800px
Sejarah

Perjanjian Perdagangan Sultan Kedah-Syarikat Hindia Timur Belanda

11 Julai 1642 – Pada tahun 1642, satu perjanjian perdagangan Sultan Kedah-Syarikat Hindia Timur Belanda telah ditandatangani oleh Sultan Muhammad Shah (Sultan Kedah) dengan Syarikat Hindia Timur Belanda.

Perjanjian perdagangan itu dibuat bagi memperbaharui perjanjian lama yang bertarikh 6 Julai 1641, yang telah dipersetujui oleh Sultan Sulaiman Shah (ayahanda Sultan Rijaluddin) dengan pihak Belanda.

VOC Amsterdam

VOC Amsterdam

Kerajaan Kedah menandatangani perjanjian itu bertujuan untuk menjalin hubungan politik dengan Belanda dan bagi mengurangkan tekanan daripada Kerajaan Siam, Acheh dan Portugis. Di samping itu ia diharap dapat mengukuhkan kedudukan baginda dalam menghadapi ancaman dari dalam dan luar negeri. 

Sementara itu, bagi pihak Belanda, perjanjian tersebut telah memberi peluang kepadanya untuk menguasai perdagangan di Kedah, terutama dalam memonopoli perdagangan timah.

Selain itu pihak Belanda berharap dengan perjanjian ini, ia dapat mengalihkan perdagangan di sepanjang pantai Tanah Melayu dan kepulauan Melayu ke Melaka.

Butiran perjanjian perdagangan Sultan Kedah-Syarikat Hindia Timur Belanda antara lain menyebut :

  • Separuh dari keluaran bijih timah Kedah dijualkan kepada Belanda dengan harga tetap.
  • Saudagar-saudagar Kedah tidak dibenarkan berniaga dengan saudagar Sepanyol atau lain-lain saudagar asing yang tidak biasa berniaga di Kedah.
  • Sultan tidak boleh mengarahkan boleh mengeksport timah dengan menggunakan kapalnya sendiri kecuali setelah diketahui oleh Belanda mengenai segala butir muatan.

Walaupun perjanjian itu lebih banyak menguntungkan pihak Belanda tetapi Sultan Rijaluddin masih bersetuju menerimanya kerana baginda sedar Belanda tidak dapat mengawal Kedah dengan sepenuhnya.

Di samping itu perjanjian tersebut telah meningkatkan perdagangan timah antara Kedah dan saudagar-saudagar India, Sumatera, Jawa dan sebagainya, kerana kedudukan Kedah yang kukuh dan adanya jaminan keselamatan oleh pihak Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
francis_light-800px
Sejarah

Presidensi Pulau Pinang Dibubarkan

30 Jun 1830 – Pentadbiran Inggeris di Pulau Pinang yang bertaraf Presidensi telah dibubarkan pada tahun 1830. Pembubaran ini adalah merupakan satu peristiwa bersejarah dalam sistem pentadbiran Inggeris khasnya di Pulau Pinang ekoran dari perkembangan politik dan ekonomi yang merosot.

Semenjak Pulau Pinang di buka dalam tahun 1786, satu sistem pentadbiran bertaraf Residen telah dimulakan oleh Francis Light selaku Residen yang pertama di bawah pengawasan Gabenor Inggeris di Benggala. Dasar-dasar pentadbiran adalah mengikut dasar pentadbiran syarikat perdagangannya dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan.

Francis Light

Selepas kematiannya pada tahun 1794, taraf Residen diturunkan kepada taraf Superintendent dan pada tahun 1800 kepada taraf Lieutenant-Governor. Sepanjang tahun 1800 hingga 1805, perkembangan ekonomi dan perdagangan Pulau Pinang bertambah baik dan maju dengan sistem pentadbiran yang lebih teratur. Dengan itu, kerajaan Inggeris yakin Pulau Pinang akan memberi faedah yang besar sesuai dengan tujuan untuk menjadikannya pengkalan tentera laut dan pusat perdagangan Inggeris di timur.

Berikutan dari itu, taraf pentadbiran Pulau Pinang dinaikkan ke taraf Presidensi iaitu setaraf dengan Presidensi Inggeris di India, seperti Benggala, Bombay dan Madras pada tahun 1805. Urusan pentadbirannya adalah di bawah pengawasan terus dari London. Oleh itu, beberapa jawatan baru telah ditambah untuk melicinkan pentadbiran sesuai dengan taraf Presidensi. Presidensi Pulau Pinang bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal dalam dan luar negeri serta menjalankan arahan dari Kerajaan Inggeris di London. Presidensi itu menghadapi berbagai masalah terutamanya kewangan dan undang-undang manakala rancangan perkapalan dan perdagangan gagal kerana tidak sesuai.

Pada tahun 1826, Negeri-Negeri Selat ditubuhkan dan Pulau Pinang telah dijadikan ibu negeri. Hal itu telah membebankan lagi Presidensi Pulau Pinang dan seterusnya kerajaan Inggeris kerana perbelanjaan pentadbirannya terus bertambah melebihi pendapatannya yang kian merosot. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1830, Presidensi Pulau Pinang terpaksa dibubarkan dan taraf pentadbirannya diturunkan kepada Residensi di bawah pengawasan Gabenor Benggala.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard