clock-800px
Sejarah

Perubahan Waktu Persekutuan Tanah Melayu

31 Disember 1932 – Perubahan waktu Persekutuan Tanah Melayu telah beberapa kali diubah untuk menyesuaikan kepada keadaan dalam negeri maupun kepentingan di peringkat antarabangsa.

Pada hari ini dalam tahun 1932, waktu Persekutuan Tanah Melayu diubah dari jam 11.40 malam kepada jam 12.00 malam. Perubahan waktu ini menjadikan waktu Persekutuan Tanah Melayu 7 jam 20 minit lebih awal dari Waktu Greenwich.

Pada 1 September 1941, sekali lagi waktu Persekutuan Tanah Melayu telah diubah untuk kali kedua dengan dipercepatkan 10 minit bagi menyelaraskan waktu tempatan dengan waktu antarabangsa.

Apabila Jepun memerintah negara ini pada tahun 1942, waktu Tanah Melayu ditukar mengikut waktu Tokyo iaitu 2 jam lebih awal hinggalah pada tahun 1945.

Apabila Jepun kalah 1945, waktu Persekutuan Tanah Melayu digunakan semula sehinggalah pada 31 Disember 1981.

Pada 1 Januari 1982 Malaysia mempercepatkan waktu sebanyak 30 minit untuk menyeragam waktu dengan Sabah dan Sarawak.

clock

Garis Masa Perubahan Waktu Malaysia

Di Semenanjung Malaysia

  • Sebelum 1880, masa semenanjung Malaysia ditetapkan mengikut waktu min (mean time) tempatan di Kuala Lumpur, 6 jam 46 minit 48 saat lebih cepat daripada GMT. Selepas itu, waktu di semenanjung Malaysia ditetapkan kepada 6 jam 55 minit 24 saat (mengikut waktu Singapura).
  • Selepas 31 Mei 1905, waktu dipiawaikan oleh British ke +7:00 GMT (Waktu Malaya).
  • Selepas 31 Disember 1932, waktu dipercepatkan 20 minit untuk memanjangkan waktu siang, menjadi +7:20 GMT.
  • Bermula 1 September 1941, waktu dipercepatkan lagi 10 minit menjadi +7:30 GMT.
  • Bermula 16 Februari 1942, waktu dipercepatkan dua jam mengikut waktu Tokyo, disebabkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, menjadi +9:30 GMT.
  • Bermula 13 September 1945, waktu diselaraskan semula sama seperti 1941, menjadi +7:30 GMT.
  • Bermula 1 Januari 1982, waktu dipercepatkan 30 minit untuk diseragamkan dengan waktu Sabah dan Sarawak, menjadi +8:00 GMT, dan kemudian dipanggil ‘Waktu Piawai Malaysia’.

Di Malaysia Timur

  • Sehingga Mac 1926, Sarawak mengikut waktu min tempatan di Kuching, 7 jam 21 minit 20 saat lebih cepat daripada GMT. Borneo Utara pula mengikut waktu min (mean time) tempatan Jesselton. Selepas itu diselaraskan menjadi +7:30 GMT (Waktu Borneo).
  • Pada awal 1933, waktu dipercepat 30 minit menjadi +8:00 GMT.
  • Waktu musim panas diperkenalkan antara 14 September dan 14 Disember, masa waktu ketika ini dipercepat 20 minit menjadi +8:20 GMT.
  • Bermula 1942, masa disuaikan mengikut waktu piawai Tokyo +9:00 GMT akibat pendudukan Jepun.
  • Bermula September 1945, waktu diselaraskan semula sama seperti 1933, tetapi tanpa waktu musim panas, menjadi +8:00 GMT.
  • Pada 1 Mei 1982, waktu +8:00 GMT ini dipanggil ‘Waktu Piawai Malaysia’.
mean_time_dewan_bahasa

Makna mean time – Dewan Bahasa Dan Pustaka

 

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_bahasa-800px
Sejarah

Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan

19 Julai 1964 – Pada tahun 1964, Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan telah ditubuhkan untuk menentang anasir-anasir yang menghalang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.

Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang telah dipengerusikan oleh Encik Melan Abdullah telah memberikan jaminan bahawa barisan tersebut akan memberi sokongan kepada setiap tindakan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.

Perjumpaan menubuhkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan yang telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka itu telah di hadiri oleh ramai pencinta bahasa termasuklah pensyarah maktab, wartawan tempatan, penulis dan pelajar yang semuanya berjumlah 70 orang.

Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan berperanan untuk memperjuangkan Bahasa Kebangsaan dan mencapai matlamat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Rasmi menjelang tahun 1967.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menimbulkan dan meneguhkan semangat perjuangan bahasa serta memelihara kesucian serta kedaulatan Bahasa Melayu.

Penubuhan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan ini telah menyumbang ke arah mengukuh dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_bahasa-800px
Sejarah

Penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956. Tujuan penubuhan adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Di peringkat awal, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 – 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

dewan_bahasa_dan_pustaka

Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Pada 31 Januari 1962, Dewan Bahasa dan Pustaka berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Standard