20 Jun 1826 – Perjanjian Burney telah ditandatangani oleh kerajaan British dan kerajaan Siam pada tahun 1926. Kapten Burney yang telah dihantar ke Siam sebagai wakil perunding kerajaan British telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan British.
Perjanjian Burney adalah mengenai hubungan kerajaan British dengan Siam berhubung dengan taraf dan kedudukan negeri-negeri di Utara Tanah Melayu iaitu Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Kapten Burney terpaksa menghadapi rundingan-rundingan yang sukar dan menunggu selama enam bulan di Bangkok sehinggalah akhirnya perjanjian itu dipersetujui.
Di antara beberapa artikel yang penting yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Burney ini adalah :
Pedagang-pedagang British dibenarkan berdagang di Bangkok dan dikenakan cukai yang berpatutan;
Mengenai Kedah :-
- Kedah kekal sebagai tanah jajahan Siam;
- Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma;
- British bertanggungjawab menghalang Sultan Kedah dan pengikutnya menyerang Siam dan wilayah-wilayahnya;
- British dibenarkan berdagang di Kedah tetapi tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam hal pentadbiran;
- Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai
Mengenai Perak :-
- Siam mengiktiraf kemerdekaan Perak dan Selangor;
- British dibenarkan berdagang di Perak tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran
- Siam dibenar menghantar perwakilan antara 40-50 orang ke Perak tetapi tidak boleh menyerang, mengancam dan mencabul Perak;
- British bertanggungjawab menghalang Selangor menyerang Perak
- Mengenai hantaran Bunga Emas dan lain-lain hantaran ke Siam, Perak diberi kebebasan sama ada mahu menghantar atau tidak. Sekiranya Perak setuju menghantar British tidak ada kuasa menghalang.
Mengenai Kelantan dan Terengganu :-
- Siam berjanji tidak akan mengganggu Perdagangan British di Kelantan atau Terengganu;
- British boleh berdagang di Terengganu tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran;
- Kelantan dan Terengganu akan terus menghantar ufti berupa bunga emas pada tiap-tiap 3 tahun sekali
Perjanjian Burney 1826 ini tidak disenangi oleh pegawai-pegawai Inggeris di Pulau Pinang terutamanya tentang syarat-syarat yang berkaitan dengan Kedah.
Bagaimanapun, Kapten Burney telah diarahkan oleh Gabenor Robert Fullerton untuk mendapatkan konsesi-konsesi perdagangan di Siam dan menjamin kepentingan-kepentingan perdagangan Inggeris di negeri-negeri Melayu.
Sumber : Arkib Negara Malaysia