lambang_kedah-800px

Inggeris Memerintah Negeri Kedah Secara Rasmi

09 Julai 1909 – Pada tahun 1909, Kerajaan Inggeris memerintah Negeri Kedah secara rasmi dan George Maxwell telah dilantik sebagai Penasihat British di negeri Kedah.

Pelantikan George Maxwell sebagai Penasihat Inggeris di negeri Kedah adalah ekoran dari Perjanjian Inggeris-Siam, yang telah mempersetujui penyerahan pentadbiran serta pertahanan negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dari Kerajaan Siam kepada kerajaan Inggeris.

Selain dari George Maxwell beberapa orang pegawai Inggeris juga dilantik di negeri Kedah bagi memegang jawatan Penasihat Tanah, Penasihat Undang-undang, serta Pelindung Orang-orang China dan Pelindung Buruh.

Perjanjian tersebut juga telah diperkuatkan lagi oleh perjanjian tahun 1923 di antara kerajaan Inggeris dengan Sultan Kedah.

Menerusi perjanjian itu antara lainnya adalah dipersetujui bahawa negeri Kedah adalah di bawah lindungan kerajaan Inggeris, Sultan Kedah tiada berkuasa membuat hubungan politik dengan negara luar kecuali menerusi kerajaan Inggeris.

Pemerintahan Inggeris di negeri Kedah pada hari ini dalam tahun 1909 telah membawa kepada beberapa perubahan khasnya di bidang ekonomi yang memperkenalkan penggunaan sistem buruh, modal dan pengusaha.

Manakala dalam bidang sosial pula komposisi penduduk negeri Kedah telah bertukar corak dengan kehadiran kaum imigran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.