seri_menanti-3-800px

Perjanjian Penyatuan Semula Negeri Sembilan

18 Mac 1889 – Perjanjian penyatuan semula Negeri Sembilan telah ditandatangani oleh Yamtuan Besar Tuanku Muhamad yang juga Yamtuan Besar Seri Menanti dengan Undang Yang Empat yang membawa kepada pembentukan Negeri Sembilan pada tahun 1889.

Perjanjian ini ditandatangani setelah 10 tahun Yamtuan Antah menaiki takhta kerajaan Seri Menanti. Yamtuan Besar Tuanku Muhamad merupakan putera sulung Yamtuan Antah menaiki takhta kerajaan pada tahun 1888. Pelantikan beliau tidak diiktiraf oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujung, Jelebu, Rembau dan Johol.

Antara kandungan perjanjian yang bersejarah ini ialah persetujuan Undang Yang Empat mengiktiraf Yamtuan Besar Tuanku Muhamad sebagai Yamtuan Besar kepada keempat-empat Luak yang disatukan itu dengan nama Negeri Sembilan. Melalui perjanjian ini jugalah Yamtuan Besar Seri Menanti bersama-sama Undang Yang Empat bersetuju menerima seorang Penasihat British menjadi Penasihat kepada Negeri Sembilan melainkan hal-hal yang bersangkutan dengan hal-ehwal Agama Islam.

Perjanjian penyatuan semula Negeri Sembilan yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1889 membawa dua kesan. Kesan pertama ialah penyatuan beberapa Luak dengan nama Negeri Sembilan dan kesan kedua ialah bermulanya campur tangan British di Negeri Sembilan secara langsung.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen