chief_negeri_sembilan-800px

Perlantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Pertama

29 April 1898 – Yamtuan Besar Seri Menanti, Tuanku Muhamad Ibni Tuanku Antah telah dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama pada tahun 1898. Perlantikan ini adalah berdasarkan persetujuan Inggeris dan Undang Yang Empat.

Perlantikan ini juga merupakan satu langkah Kerajaan Inggeris untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat terutamanya penghulu-penghulu yang berfahaman konservatif yang mendakwa bahawa Yam Tuan Tuanku Muhamad adalah orang yang sepatutnya memerintah Kerajaan mengikut adat.

Yamtuan Tuanku Muhamad merupakan Yamtuan Seri Menanti yang ketujuh telah menggantikan ayahandanya Tengku Antah yang mangkat pada tahun 1888. Baginda dilantik atas persetujuan penghulu berenam iaitu Penghulu Johol, Ulu Muar, Jelebu, Teraci, Gunung Pasir dan Inas.

Pada tahun 1889, Tuanku Muhamad telah meletakkan Seri Menanti dan jajahan takluknya di bawah perlindungan Inggeris. Dengan itu, Negeri Sembilan menjadi satu gabungan di bawah perlindungan Inggeris tanpa persefahaman politik.

Untuk memudahkan pentadbiran dan meluaskan pengaruh di samping menyatukan semula luak-luak atau daerah-daerah yang berpecah, Inggeris telah bersetuju melantik Tuanku Muhamad menjadi Raja Negeri Sembilan bergelar Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada hari perlantikan tersebut satu perjanjian telah ditandatangani antara Yang Dipertuan Besar, Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar sebagai Penghulu Sungai Ujung, Dato’ Madika selaku Penghulu Jelebu, Datuk Johan Pahlawan sebagai Penghulu Johol dan Datuk Sedia Raja selaku Penghulu Rembau.

Intipati perjanjian tersebut antara lain menetapkan pemerintahan menurut perlembagaan adat negeri serta warisan nenek moyang, pengesahan pelantikan raja oleh Undang Yang Empat mengikut adat, menerima sebarang nasihat Residen bagi menyelesaikan permasalahan negeri, melarang sebarang campur tangan Yang Dipertuan berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh Undang Yang Empat kecuali mengenai soal sempadan negeri kalau diminta.

Undang Yang Empat akan menyambut perayaan di dalam negeri masing-masing kecuali dalam upacara tertentu yang dijemput, di hari kemangkatan kedua pihak dikehendaki membawa hadiah emas dan Undang Yang Empat dimestikan menabalkan seorang putera Raja sekiranya Yang Dipertuan Besar mangkat.

Perlantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama ini telah menyatukan Negeri Sembilan dan menamatkan rasa tidak puas hati yang pernah wujud di negeri itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.