02 Julai 1818 – Pada tahun 1818, Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin telah menghantar hadiah berupa 4 ekor burung kepada Kolonel Bannerman, Gabenor Pulau Pinang. Pengiriman hadiah Sultan Kedah kepada Gabenor Pulau Pinang ini sebagai tanda terima kasih kepada Kolonel Bannerman di atas segala pertolongan beliau membebaskan negeri Kedah dari ancaman dan serangan Siam.
Sebelum ini pada bulan November 1816, Raja Siam telah mengarahkan Sultan Kedah memerangi dan memaksa Sultan Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah menghantar bunga emas kepada Raja Siam. Sultan Kedah enggan mematuhi perintah ini kerana baginda tidak mahu memusuhi Sultan Perak. Oleh itu baginda telah meminta pertolongan Gabenor Pulau Pinang untuk mengatasi masalah tersebut.
Perak telah diserang oleh Siam tetapi Mr. Cracroft yang diutus oleh Kolonel Bannerman telah berjaya membuat perjanjian melindungi perdagangan bebas di Perak. Malah beliau juga telah berjaya memujuk Sultan Perak supaya bersetuju menghantar bunga emas kepada Siam. Kejayaan utusan Cracroft ini amat disenangi oleh Sultan Kedah. Ia bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan baik antara Kedah dengan Perak malah ia juga dapat menjamin sebarang kemungkinan serangan Siam terhadap negeri Kedah.
Siam amat ditakuti pada waktu ini kerana ia bergiat berusaha meluaskan pengaruhnya ke atas negeri-negeri Melayu Utara. Dengan kejayaan Cracroft dan persetujuan Sultan Perak mengirim bunga emas pada Siam, maka keselamatan Kedah adalah terjamin. Oleh itu pada hari ini dalam tahun 1818, Sultan Kedah telah mengirimkan hadiah kepada Gabenor Pulau Pinang sebagai tanda kesyukuran.
Sumber : Arkib Negara Malaysia