thailand-800px
Sejarah

Pemberontakan Terhadap Pentadbiran Siam Di Kedah

03 Ogos 1838 – Pada tahun 1838, satu pemberontakan terhadap pentadbiran Siam telah berlaku di negeri Kedah. Pemberontakan ini dipimpin oleh Tengku Muhammad Saad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah.

Ketika pemberontakan ini berlaku Sultan Ahmad Tajuddin telah berundur ke negeri Melaka untuk menyelamatkan diri dari ditawan oleh Siam.

Negeri Kedah telah ditawan oleh Siam pada tahun 1821 kerana enggan menghantar ufti Bunga Emas kepada kerajaan Siam dan baginda juga enggan tunduk kepada arahan-arahan Raja Siam. Akibatnya Governor Ligor Chauphaya Nakhon di Thammarat telah diarahkan oleh Raja Siam menyerang negeri Kedah.

Serangan ini telah berjaya dan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Negeri Kedah pula telah ditadbir oleh pegawai-pegawai Siam.

Sultan Ahmad Tajuddin yang berada di Pulau Pinang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula negeri Kedah. Baginda dan pengikut-pengikut baginda telah membuat serangan ke atas orang-orang Siam di negeri Kedah tetapi telah dihalang oleh pihak Inggeris yang mementingkan perhubungan baik dengan kerajaan Siam di Bangkok.

Dalam tahun 1826 Perjanjian Burney telah ditandatangani di antara pihak Inggeris dan Siam. Antara perkara yang ditetapkan dalam perjanjian ini ialah Kedah dikekalkan sebagai negeri jajahan takluk negeri Siam.

Akibatnya Sultan Ahmad Tajuddin semakin berusaha untuk mendapatkan takhta kerajaan baginda.

Dalam tahun 1831 dan 1836 Sultan Ahmad Tajuddin dan para pengikut baginda telah menyerang orang-orang Siam di negeri Kedah. Angkatan perang Sultan Ahmad Tajuddin telah berjaya menghalau orang-orang Siam keluar dari negeri Kedah.

Tetapi kejayaan-kejayaan ini telah dihalang oleh angkatan perang Inggeris kerana dalam perjanjian Burney telah dipersetujui bahawa Inggeris akan menghalang Sultan Kedah dari mengambil kembali takhta baginda. Inggeris juga telah berjanji akan menghalang Sultan Kedah dari menyerang takluk negeri Siam.

Seterusnya pada hari ini dalam tahun 1838, Tengku Muhammad Saad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin telah mengetuai satu pemberontakan terhadap pemerintahan Siam di negeri Kedah. Pemberontakan ini telah berjaya menghalau orang-orang Siam dari negeri Kedah, Setul dan Perlis.

Kejayaan ini seperti juga kejayaan-kejayaan sebelumnya telah dihalang oleh pihak Inggeris. Pihak Siam pula telah menghantar angkatan tentera yang besar untuk menawan semula negeri Kedah. Dalam masa beberapa bulan sahaja dalam tahun 1839, Siam telah dapat menawan semula negeri Kedah.

Akhirnya Sultan Ahmad Tajuddin berjaya menyelamatkan negeri Kedah dengan cara diplomasi dan dalam tahun 1842 kerajaan Siam bersetuju memberikan semula takhta kerajaan Negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin. Pentadbiran Siam di Kedah juga telah dimansuhkan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard