20 Januari 1877 – Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan, pembesar-pembesar Perak dengan Inggeris dalam tahun 1874 telah membawa perubahan dan pergolakan politik yang serius di negeri tersebut. Kemuncak pergolakan ialah kematian Residen British yang pertama dihantar ke Perak J.W.W. Birch.
Sebagai tindakbalas diatas peristiwa tersebut Inggeris telah melancarkan gerakan menangkap pahlawan-pahlawan Melayu yang terlibat dalam insiden tersebut. Antara wira yang ditangkap itu ialah Datuk Sagor Orang Besar Delapan Negeri Perak.
Pada 20 Januari 1877, Datuk Sagor telah dijatuhi hukuman gantung oleh penjajah Inggeris di Larut, Perak. Nama sebenar Datuk Sagor ialah Ngah Kamdin dan beliau mendapat gelaran Dato’ Seri Agar Diraja, Orang Besar Delapan Perak. Beliau dijatuhi hukuman gantung bersama-sama dengan Datuk Maharaja Lela dan Paduka Indut. Menurut kajian, Datuk Sagor dijatuhi hukuman gantung itu semasa usianya 28 tahun. Pusara Datuk Sagor sehingga kini masih ada di Larut, Perak.
Sesungguhnya kematian Datuk Sagor pada hari ini dalam tahun 1877 adalah satu pengorbanan besar kepada negara di atas jasa-jasanya mempertahankan tanahair dari Penjajah Inggeris tersebut. Walaupun tumpas tetapi semangat dan pengorbanan beliau telah menjadi ilham kepada perjuangan orang-orang Melayu kemudiannya.
Sumber : Arkib Negara Malaysia