Sejarah

Upacara Pecah Tanah Akademi Badminton Malaysia (BAM)

23 April 1991 – Upacara pecah tanah Akademi Badminton Malaysia (BAM) telah dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri, Dato’ Sri Datin Paduka Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan meletakkan batu asas Akademi Badminton Malaysia di Taman Maluri, Cheras pada tahun 1991. Dr. Siti Hasmah bukan sekadar menjadi peminat dan penyokong setia kepada pasukan badminton malahan beliau juga mengetuai Pasukan Badminton Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Dalam perasmian tersebut beliau telah diringi oleh Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar. Dengan diiringi oleh Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar dan pengerusi MBF, Tunku Abdullah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman masuk ke kawasan pembinaan akademi dengan disambut meriah oleh skuad badminton negara yang menjulang raket masing-masing sebagai tanda penghormatan.

Diharap dengan adanya Akademi BAM akan dapat meningkatkan lagi mutu sukan badminton di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_zainal_abidin III
Sejarah

Perjanjian Terengganu-British

22 April 1910 – Perjanjian Terengganu-British adalah satu perjanjian persahabatan yang ditandatangani oleh Sultan Terengganu, DYMM Sultan Zainal Abidin III dengan Sir John Anderson, Gabenor Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu selaku wakil Kerajaan British.

Perjanjian Terengganu-British mengandungi 4 perkara iaitu:

  • Pertama- Sultan Terengganu dan Kerajaan British melalui perjanjian ini bersetuju untuk mewujudkan bantuan bersama antara kedua buah kerajaan. Kedua pihak bersetuju mengikut syarat-syarat yang tercatat dalam perjanjian ini.
  • Kedua- Kerajaan British dengan rasminya mengaku bahawa ia hanya bertujuan untuk melantik seorang Wakil British di Terengganu yang bertaraf Pegawai Konsul. Sultan Terengganu hendaklah memberikan dengan percuma satu kawasan di Terengganu untuk tempat kediaman Wakil British ini.
  • Ketiga- Kerajaan British bersetuju memberikan perlindungan kepada Negeri Terengganu serta tanah jajahannya daripada serangan musuh. Sebaliknya pula orang-orang British dibenarkan dari semasa ke semasa bergerak bebas di Negeri Terengganu untuk menentang musuh, dan
  • Keempat- Sultan Terengganu bersetuju bahawa Baginda tidak akan membuat hubungan politik atau menghantar wakil ke negara-negara luar tanpa persetujuan Kerajaan British. Sultan Terengganu juga tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu yang lain. Baginda juga berjanji tidak akan membenarkan pembukaan tanah melebihi 3,000 ekar kepada warganegara asing. Adalah dipersetujui juga bahawa apa sahaja perkara yang berbangkit yang memerlukan Sultan Terengganu berhubung dengan negara luar, baginda hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada Kerajaan British.

Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah

Dengan Perjanjian Terengganu-British ini maka British telah dapat mencampuri urusan pemerintahan dalam negeri dan juga urusan hubungan luar negeri Terengganu. Sultan Terengganu tidak punya pilihan lain selain menerima perjanjian itu setelah baginda terpaksa menerima Perjanjian Bangkok 10 Mac 1909 yang membebaskan Terengganu selama-lamanya dari bayangan pengaruh Siam.

Walaupun begitu baginda sebenarnya tidak bersetuju dengan perjanjian itu (1909) yang memindahkan pertuanan Siam ke atas Terengganu kepada naungan British kerana bagi baginda Terengganu tidak pernah ditakluk oleh Siam. Bagaimanapun baginda terpaksa memilih antara ancaman pengaruh Siam atau Perlindungan British. Kedua-duanya adalah bentuk penjajahan tetapi baginda memilih yang kedua dan meminta jaminan kemerdekaan politik. Dengan itu pada hari ini dalam tahun 1910 baginda menandatangani perjanjian itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seri_menanti-bw-800px
Sejarah

Perjanjian Sungai Ujung 1874

21 April 1874 – Pada tahun 1874, Dato’ Kelana Abd. Rahman Sungai Ujung dan Dato’ Muda Linggi telah menandatangani perjanjian menerima perlindungan British ke atas Sungai Ujung di hadapan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke di Singapura sebagai ganjaran pihak British mengakui beliau (Dato’ Kelana) sebagai pemerintah Sungai Ujung.

Perjanjian ini adalah usaha terakhir Dato’ Kelana Sungai Ujung untuk menamatkan perbuatan menyekat dan mengenakan cukai secara paksa oleh pihak-pihak yang sukar diketahui ke atas pedagang-pedagang yang menggunakan Sungai Linggi. Dato’ Kelana Abd. Rahman yang menemui kesukaran untuk menamatkan perbuatan itu telah meminta bantuan senjata dan anggota untuk menghadapi pemungut-pemungut cukai di Sungai Linggi itu.

Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman juga yang sebenarnya memang perlukan bantuan pihak yang lebih kuat untuk menghadapi Yamtuan Antah Seri Menanti, dan membantu Tuanku Ahmad Tunggal. Tuanku Ahmad Tunggal telah tidak dilantik oleh Orang-orang Besar menggantikan ayahandanya Yamtuan Imam yang baru mangkat (1872) sebaliknya Orang-orang Besar melantik sepupunya Tuanku Antah sebagai Raja Negeri Sembilan.

Tuanku Ahmad Tunggal yang tidak terpilih sebagai Raja itu telah meninggalkan Seri Menanti dan menemui Dato’ Kelana Sungai Ujung yang bersimpati dengannya. Tuanku Ahmad Tunggal berjanji akan mengangkat salah seorang anak Dato’ Kelana menjadi Yamtuan Muda Rembau sekiranya ia berjaya menjadi Raja Negeri Sembilan.

Di samping itu Dato’ Kelana juga menghadapi tentangan dari Dato’ Bandar yang tidak bersetuju dengan perjanjian itu. Bagaimanapun, Dato’ Bandar yang sudah tua itu tidak berdaya menghadapi kekuatan British dan terpaksa bersetuju tidak mencampuri hal ehwal Sungai Ujung melalui satu perjanjian pada 16hb Disember, 1874, dan pada 21hb Disember menyerah diri kepada Kerajaan British di Singapura.

Ketika ini British yang telah memerintah Melaka mula memasang jarum pengaruhnya di Sungai Ujung. Mereka telah berjaya mempengaruhi Dato’ Kelana dan berjanji akan membantunya menyerang Seri Menanti dengan berselindung untuk menolong Tuanku Ahmad Tunggal merebut takhta Kerajaan Negeri Sembilan yang menjadi haknya.

Akhirnya berlakulah peperangan yang sengit di antara Seri Menanti dengan Sungai Ujung yang dibantu oleh British. Peperangan ini berlaku di Bukit Putus dan terkenal dengan Peperangan Bukit Putus. Dalam peperangan ini Seri Menanti telah kalah di tangan tentera British yang diketuai oleh Captain Murry. Tuanku Antah melarikan diri hingga ke Johor.

Dengan kekalahan Seri Menanti itu maka Dato’ Kelana Sungai Ujung, Dato’ Rembau dan Dato’ Jelebu pun mengisytiharkan diri mereka bebas dan menjadi Penghulu di Luak masing-masing, dan tidak mengakui beraja ke Seri Menanti lagi. Dengan itu mudahlah British menyalurkan kuasa dan pengaruhnya ke ketiga-tiga Luak itu yang akhirnya terus berkuasa.

Melalui perjanjian ini pihak British bersetuju memberi bantuan senjata dan anggota dan juga perlindungan kepada Dato’ Kelana dengan syarat senjata-senjata itu tidak digunakan selain dari untuk mengekal dan mengawal keamanan serta kepentingan perdagangan.

Dato’ Kelana juga dikehendaki memberi maklumat-maklumat penting kepada pihak British mengenai perkembangan-perkembangan politik dan perdagangan di Sungai Ujung dan pihak British pula berkuasa penuh ke atas daerah Sempang dan kedua-dua tebing sungai di sepanjang Sungai Linggi dan Sempang hingga ke Permatang Pasir.

Perlindungan ini akan terus berlaku selagi Dato’ Kelana tidak berbuat sesuatu yang menyalahi kehendak-kehendak perjanjian. Ini adalah merupakan langkah pertama campur tangan British di Sungai Ujung. Dengan menggunakan perjanjian itu pihak British telah campur tangan sepenuhnya pada bulan Oktober 1874 apabila Kapten Tathan R.N. dilantik sebagai Penolong Residen, Sungai Ujung.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Kawasan Larkin Ditukar Nama Kepada Kampong Datuk Onn

21 April 1976 – Pada tahun 1976, Menteri Besar Johor, Tan Sri Haji Osman Saat telah mengisytiharkan kawasan Larkin ditukarkan namanya kepada Kampong Datuk Onn di Johor Bahru. Pengisytiharan itu telah dibuat semasa beliau berucap di upacara perasmian Balai Raya di Jalan Sentosa di kawasan tersebut yang berharga lebih RM57,000.

Turut hadir di upacara yang gilang gemilang ini ialah Datin Hajah Halimah Hussein iaitu isteri kepada Allahyarham Datuk Onn, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn, pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk-penduduk di sekitar kawasan itu.

Dewan Raya Dato' Onn

Dewan Raya Dato’ Onn

Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Haji Osman berkata penggunaan nama Larkin patut dihapuskan kerana nama tersebut tidak diketahui asal usul dan maknanya. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datin Hajah Halimah kerana memberikan kebenaran menggunakan nama Datuk Onn bagi kawasan itu.

Kawasan yang baru ditukarkan nama ini merupakan sebuah kawasan perumahan dan perindustrian yang giat membangun serta terkenal di negeri Johor. Di antara kawasan perumahan itu termasuklah Rumah-rumah Rakyat Rancangan Kerajaan Negeri di Larkin Jaya, Perumahan Taman Larkin, Kampong Kastam, Larkin Lama dan Larkin Housing and Trust.

Pengisytiharan penukaran nama kawasan Larkin kepada Kampong Datuk Onn pada hari ini dalam tahun 1976 telah mengingatkan kembali masyarakat hari ini kepada pejuang-pejuang tanah air yang telah berjasa dan terkenal di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid-800px
Sejarah

Persidangan Islam Antarabangsa Pertama

21 April 1969 – DYMM Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah berkenan merasmikan pembukaan Persidangan Islam Antarabangsa pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Persidangan anjuran kerajaan Malaysia ini yang telah berlangsung selama seminggu dan disertai oleh seramai 100 orang perwakilan daripada 23 buah negara Islam.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin

Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin

Persidangan yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan umat Islam dalam usaha mencari kemajuan dan menghapuskan kejahilan. Satu perkara penting yang telah dibincangkan pada persidangan ini ialah mengenai isu pembebasan Palestin dan penentangan terhadap kekejaman Yahudi.

Antara ketetapan yang telah dicapai secara bersama dalam persidangan ini ialah pembentukan jawatankuasa bagi menggiat dan menyelaras urusan perdagangan dikalangan negara – negara Islam. Turut disyorkan, penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Islam di Kuala Lumpur bagi mengadakan hubungan raya dengan pusat penyelidikan dan Institusi Pengajian Tinggi.

Persidangan ini telah dianggap sebagai permulaan kebangkitan dan kerjasama dikalangan negara-negara Islam yang merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mohor_syarikat_hindia_timur_inggeris-800px
Sejarah

Perjanjian Francis Light Dengan Sultan Abdullah 1791

20 April 1971 – Pada tahun 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah telah bersetuju membuat dan menetapkan syarat-syarat bagi satu perjanjian dengan kompeni Inggeris. Perjanjian ini ditandatangani oleh Tengku Shariff Muhamad, Tengku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Telebon selaku wakil-wakil Sultan Kedah dengan Francis Light selaku wakil Kompeni Inggeris, di Fort Cornwallis, Pulau Pinang pada 1 Mei 1791.

Perjanjian ini mengandungi 9 perkara iaitu :

  1. Kompeni Inggeris akan membayar 6,000 dollar Sepanyol tiap-tiap tahun kepada Sultan selagi Pulau Pinang menjadi hakmilik Inggeris.
  2. Sultan bersetuju tidak akan menghalang atau mengenakan cukai ke atas apa-apa bekalan yang dibeli di Kedah bagi keperluan Pulau Pinang dan kapal-kapal Kompeni Inggeris.
  3. Semua hamba yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah akan dikembalikan kepada tuan masing-masing.
  4. Semua orang yang lari dari hutang, sama ada dari Kedah atau Pulau Pinang akan diserahkan kepada si pemberi hutang.
  5. Sultan tidak akan membenarkan mana-mana kuasa Eropah yang lain menduduki mana-mana tempat di Kedah.
  6. Pihak Kompeni tidak akan melindungi orang-orang yang menderhaka atau memberontak terhadap baginda Sultan.
  7. Semua orang yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah kerana kesalahan membunuh akan ditahan dan dipulangkan dengan ikatanjamin.
  8. Semua orang yang melakukan penipuan (forgery) hendaklah ditangkap dan diserahkan kepada kedua-dua belah pihak, dan
  9. Sultan tidak akan membekalkan apa-apa barangan keperluan kepada mereka yang bermusuh dengan Kompeni Inggeris.

Perjanjian ini amat penting kepada Inggeris kerana ia merupakan dasar perundangan yang mengesahkan hakmilik Inggeris ke atas Pulau Pinang walaupun Inggeris telah mendudukinya sejak tahun 1786. Sebelum perjanjian itu ditandatangani Francis Light telah mendapat izin Sultan menduduki Pulau Pinang secara tidak rasmi sementara menunggu kelulusan dari London mengenai syarat yang menghendaki Syarikat Hindia Timur Inggeris memberi perlindungan tentera kepada Kedah.

Francis Light bersetuju dengan syarat itu tetapi telah mengambil sikap melambat-lambatkan perkara itu dengan memberi jaminan bahawa permintaan baginda sedang mendapat pertimbangan pihak berkuasa di London dan akan berjaya. Bagaimanapun, sebelum persetujuan mengenai syarat itu dicapai Francis Light telah memaksakan perjanjian kepada Sultan Abdullah dan mengambil Pulau Pinang di atas nama King George Ill, England, pada 11 Ogos 1786.

Dalam bulan Jun 1788, setelah dipaksa oleh Sultan, barulah Light mengakui bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris enggan memberi perlindungan tentera kepada Kedah. Oleh itu Sultan Abdullah menuntut supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah. Untuk lari dari persoalan itu Light menawarkan untuk membeli Pulau Pinang tetapi Sultan enggan. Pihak Syarikat kemudiannya menawarkan gantirugi dan Sultan Abdullah menuntut sebanyak 30,000 dollar Sepanyol setahun. Tetapi Light hanya sanggup membayar sebanyak 10,000 selama lapan tahun atau 4,000 untuk selama-lamanya.

Sultan Abdullah menegaskan jika pihak Syarikat Inggeris tidak dapat memenuhi syarat-syarat baginda maka Syarikat mestilah meninggalkan Pulau Pinang. Tetapi Lord Cornwalis, Gabenor Jeneral India dan Light telah menganggap Pulau Pinang sebagai wilayah Inggeris mengikut syarat-syarat mereka sendiri.

Dalam bulan Februari 1791 Sultan Abdullah bersetuju menerima sebanyak 10,000 selama-lamanya sebagai ganti keengganan Inggeris memberi perlindungan. Light pula berjanji membayar sebanyak 10,000 ‘serta merta’ dan meminta Sultan menghentikan permusuhan sementara menunggu jawapan dari Bengal. Bagaimanapun Light hanya membayar sebanyak 5,000 dan berjanji untuk membayar bakinya hanya setelah lanun-lanun meninggalkan Perai.

Sultan Abdullah murka lalu memberi kata dua: sama ada Light membayar baki sebanyak 5,000 bersama-sama 10,000 setahun sebagai tunggakan sejak tahun 1786, atau Inggeris tinggalkan Pulau Pinang. Di samping itu Sultan Abdullah memperkuatkan kubu-kubu di Perai.

Light menganggap kata dua Sultan Abdullah itu sebagai mengisytiharkan perang. Tanpa membalas kata dua itu Light terus mengarahkan Capt. Andrew Glass menyerang Perai secara mengejut pada 12 April 1791. Dengan serangan itu pasukan Kedah telah dapat dikalahkan. Sultan Abdullah terpaksa mengakui kekalahan dan berdamai melalui perjanjian yang dipersetujui dan ditandatangani pada 1 Mei 1971.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Sultan Muhammad Jiwa Dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris

20 April 1772 – Pada tahun 1772, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Perjanjian itu adalah lanjutan daripada keinginan baginda Sultan Kedah untuk mendapatkan bantuan pertahanan bagi mengatasi huru-hara dalam negeri, membuat persediaan untuk bergabung dengan orang-orang Bugis dari tujuan berkuasa di Selangor dan keinginan untuk membebaskan diri dari kongkongan Siam.

Dalam tahun 1770, Sultan Muhammad telah menabalkan Raja Abdullah, putera baginda sebagai Pemangku Sultan. Pelantikan tersebut mengecewakan kerabat diraja lalu mereka mengupah orang-orang Bugis yang kebetulan berdendam kepada Sultan untuk memberontak. Pada awal bulan Mac 1771, orang-orang Bugis dan pemberontak-pemberontak tempatan telah menguasai Kuala Kedah seterusnya Alor Setar. Untuk itu Sultan cuba mendapatkan bantuan Gabenor Madras melalui surat bertarikh 18 Mac 1771 tetapi tidak dihiraukan.

Pada 24 Mac 1771, Francis Light, seorang saudagar Inggeris telah mengadap Sultan dengan membawa senjata dan 30 orang askar sepoi bersama 2 buah kapal perang. Dengan sangkaan bahawa Inggeris akan membantu baginda dalam usaha meluaskan kekuasaan baginda, Sultan bersetuju membenarkan Light berdagang dengan syarat 2/3 keuntungan dibahagi sama rata. Malangnya Light mengingkari janji malah menyatakan persetujuan memberi bantuan sekiranya harta rampasan dan Kuala Kedah diberikan kepadanya secara peribadi dan bukan Syarikat Hindia Timur.

Oleh itu, pada bulan November 1771, Sultan Muhammad Jiwa telah mengutuskan surat ke Madras untuk mendapatkan bantuan dengan menawarkan ke semua Pantai Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang, tetapi hingga ke bulan Jun 1772, Sultan tidak menerima jawapan. Berikutan dari peristiwa itulah bermulanya pendudukan Inggeris di Pulau Pinang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bendera_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Bendera Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

19 April 1950 – Pada tahun 1950, Majlis Perundangan Persekutuan meluluskan corak bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ini merupakan peristiwa yang bersejarah kerana dari detik inilah Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi simbol wujudnya sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.

Bendera ini berukuran 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan enam jalur berwarna merah dan lima jalur berwarna putih. Sebelas jalur ini melambangkan perpaduan sebelas buah negeri Persekutuan iaitu Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka.

Perpaduan dan kerjasama negeri-negeri ini juga disimbolkan oleh bintang pecah sebelas. Bulan sabit adalah melambangkan agama Islam yang suci. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna diraja yang menandakan kedaulatan sultan negeri-negeri Tanah Melayu dan sebagai Ketua Agama Islam. Jalur merah menandakan semangat gagah berani dan jalur putih melambangkan hasrat rakyat yang suci murni.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
stadium_negara-800px
Sejarah

Perasmian Stadium Negara

19 April 1962 – Stadium Negara telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni AI-marhum Hassan Jamalullail pada tahun 1962. Stadium Negara merupakan stadium tertutup pertama dibina di negara ini dan terletak bersebelahan dengan Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Stadium Negara merupakan sebuah gelanggang tertutup serta melambangkan kegiatan sukan dan kebudayaan di negara ini. Kos pembinaan stadium tersebut menelan belanja lebih RM 34 juta dan dianggap sebagai sebuah stadium tertutup yang terbaik di Asia Tenggara pada ketika itu. Ia bukan sahaja boleh menunjukkan satu contoh kejuruteraan asli yang tidak ada tolok bandingnya tetapi juga menambahkan lagi rekabentuk senibina moden di negara ini.

stadium_negara-1

Selepas pembinaan Stadium Merdeka, negara memerlukan sebuah stadium tertutup seperti Stadium Negara. Stadium Negara telah dibina khas bagi permainan-permainan dalaman dan amat sesuai sebagai tempat untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan.

Sesungguhnya Stadium Negara telah digunakan untuk perlawanan pelbagai jenis sukan, tempat pameran dan juga temasya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kampung-800px
Sejarah

Haji Abdul Rahman Limbong Menentang Peraturan Inggeris

19 April 1928 – Pada tahun 1928, Tuan Haji Abdul Rahman Limbong seorang ulama terkenal dan berpengaruh di Terengganu telah ke Dungun bagi menyebarkan idea menentang peraturan yang diperkenalkan oleh Inggeris.

Tuan Haji Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid merupakan tokoh agama yang berpengaruh luas di Terengganu. Beliau yang dianggap alim lagi keramat ini sangat dihormati. Pengetahuan agamanya yang mendalam adalah satu keistimewaan yang dikagumi dan beliau adalah ketua membela rakyat yang didakwa kerana membuka tanah tanpa kebenaran. Malah Abdul Rahman Limbong menggalakkan rakyat membuka tanah kerana baginya tanah adalah hak Allah yang diusahakan dan boleh dipakai. Tanah akan dimiliki bila ianya diusahakan dan boleh dipusakai. Sekiranya tidak diwarisi tanah boleh diserah kepada ‘Baitulmal’. Jika didapati tiada pemilik tanah ini akan menjadi hak kerajaan.

Peraturan tanah yang diperkenalkan oleh Inggeris di Terengganu dalam tahun 1921 mensyaratkan bayaran cukai sebanyak lima puluh sen setahun. Hutan-hutan tidak dibenarkan dibuka. Pengenalan undang-undang tanah ini bererti menghapuskan undang-undang adat pemilikan tanah petani yang pernah dikerjakan turun temurun. Maka itu rakyat berpendapat tidak wajar mereka mengambil surat kebenaran kalau tanah yang diminta itu hak milik pusaka nenek moyang mereka dahulu.

Sebelum perlaksanaan undang-undang tanah, penduduk di kawasan Ulu Terengganu termasuk Dungun bebas membuka hutan secara kolektif untuk berhuma. Hasil-hasil hutan seperti rotan, buluh, damar dan lain-lain boleh diambil tanpa sebarang larangan. Bagi mereka tanah merupakan sumber utama kehidupan. Halangan menggunakan tanah merupakan persoalan hidup atau mati, dan inilah juga yang menimbulkan penentangan pada pemerintahan kolonial Inggeris.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapati bahawa tanah di Ulu Terengganu mempunyai pemilik sah maka itu peraturan tanah British yang mahukan bayaran hasil penempatan dan surat kebenaran membuka tanah dianggap tidak adil dan keterlaluan.

Sungguhpun maklumat yang disebarkan oleh Abdul Rahman Limbong ini bukanlah untuk menentang kuasa Sultan tetapi menyatakan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa pemerintahan negeri telah dikuasai oleh Inggeris dan golongan birokrat yang menjalankan tugas tanpa pertimbangan yang adil. Dan ternyata, dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu, Haji Abdul Rahman Limbong telah berjaya membangkit semangat pergerakan menentang kolonial yang menyeluruh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard