satellite-800px
Sejarah

Calon Angkasawan Negara Diumumkan

14 Mac 2006 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan empat calon angkasawan negara pada 14 Mac 2006. Pengumuman itu dibuat pada Majlis perasmian Pusat Penyelidikan dan Latihan Simulator-G (Pulls-G) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

calon_angkasawan

Calon-calon angkasawan berkenaan adalah Dr. Faiz Khaleed, pakar bedah pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), S. Vanajah, calon tunggal wanita yang juga Juruterbang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), dan Mohammed Faiz Kamaluddin.

Mereka akan menjalani ujian perubatan terperinci selama dua minggu oleh Agensi Angkasa Rusia di Moscow, Rusia. Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin; Pengerusi Panel Pemilihan Program Angkasawan Negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Panglima ATM, Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Pada 04 September 2006 Dr Sheikh Muszaphar Shukor serta Dr Faiz Khalled telah dipilih sebagai calon angkasawan Negara yang pertama ke Russia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ukm-800px
Sejarah

Universiti Kebangsaan Malaysia Ditubuhkan

18 Mei 1970 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan pada tahun 1970. Kampus sementaranya di bangunan bekas Maktab Perguruan Persekutuan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

UKM logo

Sejarah penubuhannya bermula apabila Pendeta Za’ba menyuarakan pendapatnya agar sebuah universiti ditubuhkan melalui tulisannya di Akhbar Lembaga Melayu pada Mei 1917. Pendapat itu turut disokong seorang tokoh penulis iaitu Abdul Kadir Adabi yang menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan pada 1923 meminta penubuhan universiti untuk orang-orang Melayu. Persatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung pula mahukan pendaulatan Bahasa Melayu di peringkat universiti. Perjuangan itu diteruskan oleh sekumpulan intelektual dari Universiti Malaya yang telah mempelopori gerakan untuk menubuhkan Universiti Kebangsaan secara lebih serius.

Pada tahun 1963 satu Seminar Bahasa dan Sastera telah diadakan . Hasil daripada seminar ini, keputusan yang mahukan universiti yang benar-benar bercorak kebangsaan dicapai manakala sebuah universiti Islam turut sama dibincangkan. Pada 25 Ogos 1968, satu Jawatankuasa Penganjur Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan. Antara tokoh yang terlibat di dalam jawatankuasa ini adalah Zainal Abidin Wahid, Abu Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin dan Syed Husin Ali.

Zainal_Abidin_Ahmad_zaaba_400

Zainal Abidin Ahmad (Zaaba)

Selepas proses perbincangan antara kerajaan dengan Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan maka pada 24 Januari 1969, Menteri Pelajaran, Encik Mohd. Khir Johari telah mengumumkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dimana kampus sementaranya terletak di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Di awal penubuhannya seramai 192 orang pelajar telah diterima masuk. Tiga fakulti telah ditubuhkan iaitu Fakulti Sastera, Sains dan Pengajian Islam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tiungsat-1-800px
Sejarah

Pelancaran TiungSat-1

26 September 2000 – Pada tahun 2000, Satelit Mikro pertama negara, TiungSAT-1 telah dilancarkan ke orbit pada jam 6.05 petang waktu Malaysia dari Pusat Pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Tiungsat-1

Satelit Mikro negara yang pertama ini dibina menerusi kerjasama teknikal antara Malaysia Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), Bahagian Sains Angkasa (BAKSA), Jabatan Perdana Menteri; dan Surrey Satellite Technology Limited (SSTL), United Kingdom.

TiungSAT-1 yang beratnya 50 kilogram ini mempunyai keupayaan mengambil gambar muka bumi pada resolusi 80 meter dari aras bumi untuk kegunaan pemantauan sumber perhutanan, pertanian dan pencemaran. Stesen setelit buminya terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Satelit mikro pertama yang berharga RM 34 juta ini dibangunkan oleh sekumpulan lapan jurutera dan pensyarah Malaysia melalui kerjasama pemindahan teknologi dan latihan mendalam dengan Surrey Satellite Technology Limited (SSTL), yang berpangkalan di Pusat Angkasa Lepasa Surrey di Universiti Surrey, United Kingdom.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard