aminuddin_baki
Sejarah

Aminuddin Baki Meninggal Dunia

24 Februari 1965 – Dato’ Seri Aminuddin Baki adalah anak Melayu pertama dan termuda (berusia 36 tahun ketika itu) yang menjadi Ketua Pengarah Pendidikan. Beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Dato’ Seri Aminuddin Baki telah kembali kerahmatullah pada 24 Disember 1965.

Aminuddin Baki

Sejarah Awal Pendidikan

Allahyarham Aminuddin Baki dilahirkan di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926. Beliau memulakan alam persekolahan pada tahun 1932 di Sekolah Melayu Chemor hingga darjah lima. Seterusnya beliau meneruskan pendidikan di Special Malay Class dan Sekolah Anderson, Ipoh yang merupakan sekolah Inggeris terbaik di Ipoh pada masa itu.

Pada Oktober 1947 setelah lulus peperiksaan Cambridge School Certificate, Aminuddin telah melanjutkan pelajarannya di Raffles College, Singapura.

Pada tahun 1949 beliau masuk ke Universiti Malaya, Singapura dan memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian pada tahun 1951.

Pada tahun 1951 Aminuddin Baki kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah dan kemudiannya berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952.

Pada Oktober 1952, Aminuddin Baki ditawarkan Queen’s Scholaship bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institute of Education, University of London dan lulus dengan Master of Methods julai 1953.

aminuddin_baki

Kerjaya Dan Sumbangan

Sekembalinya ke tanah air, beliau bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris. Beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor.

Pada September 1955, Aminuddin Baki terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak. Pada tahun 1960 pula beliau telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Pada tahun 1962 beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Seterusnya dilantik menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan).

Antara sumbangan Aminuddin Baki :

  • Memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. (tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran)
  • Melibatkan diri dalam penyediaan Penyata Razak pada tahun 1955.
  • Menjadi ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960:
  • Mewujudkan Sijil rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
  • Menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

institut_aminuddin_baki

Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Sebagai mengenang jasa beliau banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya. Salah satu daripadanya adalah Yayasan Aminuddin Baki telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 5 Februari 1966.

Pada 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak secara anumerta sempena hari keputeraan Sultan Perak bagi mengenang jasa Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki.

Tiada miskin seorang pelajar kerana sedikit harta dan keluarga

Tetapi miskin seorang pelajar kerana sedikit ilmu dan amal

Tiada kaya seorang hartawan kerana banyak harta dan keluarga

Tetapi kaya seorang hartawan kerana banyak ilmu dan amal

– Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi_800px
Sejarah

Pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris Melancarkan Mogok

16 Disember 1949 – Pada tahun 1949 para pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim telah memulaukan kelas dan pulang ke kampung. Mogok ini telah dilakukan oleh pelajar-pelajar tahun pertama dan tahun ketiga sebagai tanda simpati mereka terhadap tindakan yang diambil oleh pihak pentadbiran Maktab khususnya pentadbiran Inggeris ke atas pelajar-pelajar tahun kedua.

Hal ini berlaku adalah ekoran dari demontrasi yang dilakukan oleh para pelajar pada 10 Disember 1949 yang menyebabkan kesemua pelajar tahun kedua digantung persekolahannya dan diarah pulang. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tahun pertama dan ketiga turut memulaukan kelas menyebabkan Maktab tersebut terpaksa ditutup selama tiga bulan.

Demontrasi yang dilancarkan itu adalah bertujuan menuntut diberikan hak-hak yang lebih luas kepada para pelajar. Kesedaran para pelajar yang berjuang menuntut hak-haknya itu jua ada kaitannya dengan percambahan semangat nasionalisme yang mula tumbuh subur selepas Perang Dua Kedua itu.

Maka untuk membendungnya Pentadbiran Inggeris yang menguasai pentadbiran Maktab Perguruan Sultan Idris telah bertindak menggantung pelajar-pelajar yang mengadakan demontrasi. Sebagai tindakbalas para pelajar telah melancarkan mogok menyebabkan Maktab terpaksa ditutup dan hanya dibuka semula pada 16 Mac 1950 iaitu kira-kira 3 bulan ditutup.

Dengan tindakan berani pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris itu pada hari ini dalam tahun 1949 menyebabkan pentadbiran Inggeris khususnya pentadbiran Maktab telah melayani tuntutan-tuntutan pihak pelajar selepas ianya dibuka semula itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_upsi-800px
Sejarah

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Dinaikkan Taraf Kepada Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI)

21 Februari 1987 – Pada tahun 1987, Kementerian Pelajaran mengisytiharkan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dinaikkan taraf daripada sebuah maktab kepada institut dan bergelar Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI). Usaha menaikkan taraf ini adalah hasil kerjasama pihak Kementerian Pelajaran dan Persatuan Suluh Budiman iaitu Persatuan Profesional Para Lepasan MPSI.

MPSI telah ditubuhkan pada 29 November 1922, ketika penubuhannya maktab ini dikenali sebagai Sultan Idris Training College For Malay Teachers atau ringkasnya SITC, sebagai menghormati Almarhum Sultan Idris ibni Almarhum Raja Iskandar, Sultan Perak.

Berikutan daripada kenaikan tarafnya, IPSI telah diberikan kuasa untuk mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Perguruan dan Diploma Lepasan Ijazah. Bersesuaian dengan peranan dan kepentingannya, mendorong kerajaan untuk menaikkan taraf institut pendidikan ini ke peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris atau UPSI pada 1 Mei 1997.

Kenaikan taraf ini memberikan impak yang penting dalam mengembangkan institusi akademik dari segi bahasa, sejarah dan budaya, yang bertujuan untuk mengimbangi perkembangan sains, teknologi dan industri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi-800px
Sejarah

Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris

29 November 1922 – Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, W.G. Maxwell pada tahun 1922. Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris merupakan puncak pelajaran anak-anak Melayu ketika itu, terutama bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah Melayu yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dari setakat darjah enam. Keputusan untuk menubuhkan Maktab ini dibuat dalam Mesyuarat Residen-residen British pada 10 Mei 1917.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan laporan mengenai perkara itu yang dicadangkan oleh Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negcri Melayu Bersekutu, R.O. Winstedt. Beliau juga mencadangkan maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Sultan Idris, sebagai satu penghormatan kepada DYMM Sultan Idris, iaitu Sultan Perak kerana minat yang ditunjukkan oleh Baginda dalam perkembangan pelajaran di negeri itu khususnya bagi pelajaran anak-anak Melayu.

Kerja-kerja membina maktab ini bermula dalam tahun 1919 dan siap pada tahun 1922. Sekumpulan 120 orang telah menjadi pelajar perintis maktab ini. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek dan tenaga pengajar lain terdiri daripada tujuh orang guru Melayu, tiga orang Eropah dan seorang guru anyaman berbangsa Filipina. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah untuk menyediakan guru-guru yang dapat memajukan bidang pertanian, pertukangan dan anyaman apabila mereka pulang ke kampung. Pelajaran pertanian asas merupakan matapelajaran utama.

Walau bagaimanapun, pelatih-pelatih lepasan MPSI telah mencapai kejayaan lebih jauh dari matlamat penubuhannya. Pengaruh buku-buku Indonesia dan Sejarah Alam Melayu yang terdapat di maktab itu telah menanam bibit-bibit kesedaran kebangsaan di kalangan beberapa orang pelajar hingga melahirkan tokoh-tokoh politik yang terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib dan lain-lain lagi.

Di samping tokoh-tokoh politik, MPSI juga telah melahirkan sasterawan terkenal tanahair dan juga tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N. Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long.

Jabatan Karang-Mengarang yang ditubuhkan di maktab tersebut dalam tahun 1925, membantu melahirkan tokoh-tokoh berkenaan khususnya di bidang kesusasteraan. Jabatan ini bergiat cergas menerbitkan berbagai- bagai jenis buku pelajaran, buku-buku terjemahan dan karya asli pelajar-pelajar sendiri.

MPSI terus berkembang dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman. la kini membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan, memecahkan tradisi lama maktab yang hanya mengambil pelajar lelaki.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard