H. I. D. S. – Perjanjian Antara Yam Tuan Besar Tuanku Muhamad Dengan Datuk Undang Bagi Menyatukan Semula Negeri Sembilan

18 Mac 1889 – Pada hari ini dalam tahun 1889, Yam Tuan Besar Tuanku Muhamad yang juga Yam Tuan Besar Seri Menanti telah menandatangani satu perjanjian dengan Undang Yang Empat yang membawa kepada pembentukan Negeri Sembilan.

Perjanjian ini ditandatangani setelah 10 tahun Yam Tuan Besar Tuanku Muhamad menaiki takhta kerajaan Seri Menanti. Beliau yang merupakan putera sulung Yam Tuan Antah menaiki takhta kerajaan pada tahun 1888. Pelantikan beliau tidak diiktiraf oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujung, Jelebu, Rembau dan Johol.

Antara kandungan perjanjian yang bersejarah ini ialah persetujuan Undang Yang Empat mengiktiraf Yam Tuan Besar Tuanku Muhamad sebagai Yam Tuan Besar kepada keempat-empat Luak yang disatukan itu dengan nama Negeri Sembilan. Melalui perjanjian ini jugalah Yam Tuan Besar Seri Menanti bersama-sama Undang Yang Empat bersetuju menerima seorang Penasihat British menjadi Penasihat kepada Negeri Sembilan melainkan hal-hal yang bersangkutan dengan hal-ehwal Agama Islam.

Sesungguhnya perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1889 membawa dua kesan. Kesan pertama ialah penyatuan beberapa Luak dengan nama Negeri Sembilan dan kesan kedua ialah bermulanya campur tangan British di Negeri Sembilan secara langsung.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen