H. I. D. S. – Hari Keputeraan Ytm Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

tunku abdul rahman08 Februari 1903 – Pada hari ini dalam tahun 1903, Bapa Kemerdekaan Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diputerakan di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah. Merupakan putera Ke-14 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang Ke-28. Bondanya adalah Cik Manjalara merupakan anak kepada seorang bangsawan Siam bernama Luang Naraborirak.

Tunku telah memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Alor Setar sebelum meneruskan pengajiannya di Sekolah Debsurin, Bangkok dan kemudiannya di Penang Free School, Pulau Pinang. Pada tahun 1919, Tunku telah melanjutkan pelajarannya ke England dan telah menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain.

Sekembali ke Tanah Melayu Tunku telah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di Kedah. Pada tahun 1951, Tunku telah dilantik sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menggantikan Dato` Onn Jaafar dan seterusnya telah dilantik untuk menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955.

Sesungguhnya, YTM Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab merintis jalan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 serta merencanakan penubuhan Negara Malaysia pada 16 September 1963.

YTM Tunku telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen