Sejarah

Peletakan Batu Asas Kampus Institut Teknologi Mara

14 Oktober 1967 – Pada tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah meletakkan batu asas pembinaan kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan kampus ini diperlukan kerana negara mengalami kekurangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan meluluskan sebidang tanah seluas 300 ekar di Shah Alam untuk dijadikan tapak bagi Maktab Mara.

Sejarah ITM bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA, sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar. Dewan Latihan RIDA ini diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar, ekoran lawatan beliau ke Ceylon pada tahun 1950 untuk mengkaji program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil dari lawatan itu, kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA (The Rural and Industrial Development Authority).

UiTMlogo

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Pada tahun 1956, RIDA menubuhkan Unit Latihan diketuai oleh Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Alhadi. Dibawah unit ini lahir Taman Asuhan RIDA dan Dewan Latihan RIDA. Pada Jun 1965, Dewan Latihan RIDA ditukar nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan pada 14 Oktober 1967, Maktab Mara secara rasmi ditukar kepada Institut Teknologi MARA.

Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Pengisytiharaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

31 Ogos 1957 – Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘MERDEKA’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka.

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel.

Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.

Serentak dengan itu, lambang perpaduan, keutuhan dan kedaulatan bangsa iaitu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Ini diikuti pula dengan seruan azan dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun.

Pada hari ini juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1957 telah membuka satu lembaran baru Tanah Melayu mara ke hadapan mengambil tempat yang hak baginya sebagai anggota yang bebas dan merdeka dalam lingkungan negara-negara di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

 

Standard