sultan_ahmad_and_frederic_duberly_1902-800px
Sejarah

Campur Tangan Inggeris Di Pahang

24 Ogos 1888 – Pada tahun 1888, Sultan Pahang, Sultan Ahmad di dalam keadaan serba salah telah terpaksa menandatangani sepucuk surat meminta Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Pahang seperti mana Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Akibat dari surat ini bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang dan John P. Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris di negeri Pahang.

Kekayaan hasil bumi Pahang telah menarik minat penjajah Inggeris, tetapi telah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menakluki negeri itu.

Pada tahun 1885 Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad, tetapi gagal.

Pada tahun 1887 Hugh Clifford pula telah diutuskan untuk mengikat Perjanjian Pertahanan tetapi telah juga ditolak oleh Sultan Ahmad.

Akhirnya Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang mengadap Sultan Ahmad dan telah mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris.

Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di negeri Pahang.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Inggeris masih belum puas hati terhadap penglibatannya dalam negeri Pahang.

Pada bulan Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina.

Pihak Inggeris telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris, dan telah menuntut ganti rugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya.

Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai Residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang.

Tuntutan-tuntutan ini dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Smith yang datang bersama-sama dengan Frank Swettenham dan Pickering ke Pahang pada bulan Jun 1888.

Sultan Ahmad telah diberi tempoh oleh Cecil Smith selama 10 hari untuk memberi kata putus.

Dalam masa yang sama Inggeris telah meminta jasa baik Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, supaya campur tangan di atas perselisihan ini.

Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke Negeri Pahang mengadap Sultan Ahmad. Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa untuk berperang dengan Inggeris adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia saja.

Sultan Ahmad sebagaimana kebiasaannya terlebih dahulu terpaksa mendapatkan pandangan dari pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan.

Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, Imam Perang Indera Gajah telah meminta Sultan menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia berperang dengan Inggeris.

Akhirnya, dalam keadaan yang serba salah pada hari ini dalam tahun 1888 Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepucuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris di dalam urusan pentadbiran dan menjalankan sistem yang sama ke atas negeri Pahang seperti mana yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Sultan Ahmad juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. Dengan surat ini bermakna negeri Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris.

Pada bulan Oktober, 1888, John Pickersgill Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Pahang dan bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang secara langsung di dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_Temenggong-Abu-Bakar
Sejarah

Maharaja Abu Bakar Ditabal Sebagai Sultan Johor

29 Julai 1886 – Maharaja Abu Bakar ditabal sebagai Sultan Johor pada tahun 1886. Upacara pertabalan berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dengan cara yang sederhana tetapi penuh istiadat.

Pengisytiharan baginda sebagai Sultan Johor telah dibuat pada 13 Februari 1886. Baginda dilantik menjadi Temenggung Johor pada 1862, dan kemudian mengisytiharkan gelaran Maharaja Johor pada 1868. Setelah kemangkatan Sultan Ali, baginda telah menaiki takhta kerajaan Johor pada 1877.

Pada masa pemerintahannya, banyak usaha-usaha dan jasa-jasa baginda dicurahkan dalam membangun dan memodenkan negeri Johor. Antara peranan penting yang dimainkan oleh baginda ialah menubuhkan perkhidmatan perubatan, pelajaran, pos dan kemudahan awam.

Sempena pelantikan baginda sebagai Sultan Johor, baginda telah menguatkan hak baginda sebagai seorang raja yang merdeka dan berdaulat.

Pentadbiran negeri dijalankan mengikut arahan baginda dan Majlis Mesyuarat Negeri. Baginda tidak lagi mahu menerima nasihat Gabenor Inggeris di Singapura. Sepanjang pemerintahan baginda, Johor tidak pernah menerima wakil British sebagai penasihat.

Dalam memperkukuhkan kedudukan baginda sebagai Sultan Johor, baginda telah memasyhurkan perlembagaan negeri yang dinamakan ‘Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, pada 14 April 1895.

Memandangkan kegigihan baginda memaju dan memodenkan Johor, sudah sewajamya baginda digelar ‘Bapa Johor Moden’ dan menjadi Sultan yang paling masyhur hingga ke luar negeri. Ini adalah kerana sikap dan kegemaran baginda menjelajah dan mendampingi orang ternama termasuk Queen Victoria dan King George V.

Dengan itu tidak hairanlah kemasyhuran baginda kekal hingga ke hari ini walaupun baginda telah mangkat pada 4 Jun 1895.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jww_birch_by_frank_swettenham-800px
Sejarah

Sultan Abdullah Menandatangani Pengisytiharan Memberi Kuasa Memungut Cukai Kepada Residen

24 Julai 1874 – Pada tahun 1874, Sultan Abdullah telah dilantik menjadi Sultan Perak berikutan dengan pengisytiharan memberi kuasa memungut cukai kepada Residen.

Pengisytiharan ini telah diketepikan buat beberapa waktu kerana keengganan baginda menandatanganinya akibat daripada perlantikan dan perselisihan yang berlaku dengan J.W.W. Birch iaitu Residen Inggeris yang pertama di Perak.

Kedatangan J.W.W. Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampaui batas.

Perselisihan Sultan Abdullah dengan J.W.W. Birch menjadi rumit apabila J.W.W. Birch tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Abdullah memajakkan kuasa memungut cukai di Muara Sungai Perak kepada seorang saudagar Cina.

J.W.W. Birch berpendapat kuasa memungut cukai itu hendaklah diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik olehnya.

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Desakan J.W.W Birch

Dalam bulan Februari dan Mac, J.W.W. Birch telah mendesak Sultan Abdullah supaya menandatangani pengisytiharan yang membolehkan beliau mengambil alih tugas-tugas memungut semua cukai.

Sultan Abdullah dengan disokong oleh Laksamana dan Menteri Larut enggan menandatangani pengisytiharan tersebut.

Sultan Abdullah telah bertindak menulis surat dan cuba menghantar wakil menemui Sir Andrew Clarke untuk meminta supaya J.W.W. Birch ditukarkan ataupun dihadkan kuasanya. Akan tetapi tindakan Sultan Abdullah itu telah gagal.

Satu lagi perselisihan antara Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Perak dengan J.W.W. Birch telah terjadi apabila Residen bertindak melindungi hamba abdi yang melarikan diri. Orang-orang besar menganggap perbuatan ini sebagai satu cabaran kepada hak turun temurun mereka.

Sementara itu J.W.W. Birch sekali lagi meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan berkaitan dengan kuasa memungut cukai tersebut dan Sultan diberi tempuh sehingga 20 Julai, untuk berbuat demikian kalau tidak jawatan baginda akan diturunkan.

j.w.w. birch

J.W.W. Birch

Rancangan Pembunuhan J.W.W Birch

Memandangkan kepada ancaman ini, satu mesyuarat telah diadakan pada 21 Julai di Durian Sebatang dengan dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakil-wakil mereka kecuali Raja Yusof.

Hasil mesyuarat ini satu rancangan telah diatur untuk membunuh J.W.W. Birch yang dianggap telah merosakkan adat istiadat yang lama. Maharaja Lela sanggup menjalankan pembunuhan tersebut.

Sultan Abdullah pula pada zahirnya akan menunjukkan perhubungannya yang biasa dengan Residen, dan bersetuju menandatangani pengisytiharan yang memberi kuasa memungut cukai kepada Residen.

Dalam pada itu dengan cara sulit, Sultan Abdullah telah menghantar orang-orang baginda ke Pulau Pinang untuk membeli senjata bagi pemberontakan yang akan dijalankan. Akhirnya rancangan ini sampai ke puncaknya apabila J.W.W. Birch dibunuh dalam bulan November 1875 di Pasir Salak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_Temenggong-Abu-Bakar
Sejarah

Jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar Dibawa Pulang Dari London

18 Julai 1895 – Pada tahun 1895, jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggong Ibrahim telah dibawa pulang dari London, England.

Baginda mangkat pada 4 Jun 1895, jam 8.30 malam. Jenazah Almarhum telah dibawa pulang dengan kapal dari syarikat perkapalan P & 0 yang bernama Bombay.

Pada 28 Ogos 1895, jenazah Almarhum tiba di pelabuhan Pulau Pinang, yang kemudiannya dipindahkan ke sebuah kapal perang Inggeris, H.M.S Mercury menuju ke Singapura.

Setelah sampai di Singapura pada 30 Ogos 1895, jenazah tersebut telah dibawa ke Johor Bahru dan disemayamkan di Istana Besar Johor Bahru.

Pada 7 September 1895, jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar dimakamkan di pemakaman Diraja Johor, Makam Mahmoodiah Johor Bharu, Johor.

Almarhum Sultan Abu Bakar, yang terkenal sebagai Bapa Johor Moden telah ditabal menjadi Sultan Johor pada 29 Julai 1886. Sebelum ini baginda digelar sebagai Maharaja Abu Bakar.

Sepanjang pemerintahan baginda banyak pembaharuan dan pembangunan dibuat di negeri Johor. Di samping itu kecekapan pentadbiran baginda telah menggagalkan rancangan Inggeris untuk menarik negeri Johor ke dalam pentadbiran Sistem Residen.

Kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar ini telah tersebar luas di benua Eropah dan England. Almarhum Sultan Abu Bakar telah diganti oleh Putera Mahkota Tengku Ibrahim menjadi Sultan Yang Dipertuan Negeri Johor bergelar Sultan Ibrahim.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sultan_Ali_Iskandar_Shah_Johor-800px
Sejarah

Sultan Ali (Johor) Mangkat Di Umbai Melaka

20 Jun 1877 – Sultan Ali Ibni Almarhum Sultan Hussain Shah, Sultan Johor telah mangkat di Umbai Melaka pada 20 Jun 1877. Berita kemangkatan baginda telah disampaikan kepada putera baginda Tengku Alam yang pada masa itu bersemayam di Istana Kampong Gelam, Singapura bersama-sama Maharaja Abu Bakar.

Pada mulanya Tengku Alam enggan ke Melaka untuk pemakaman tersebut selagi beliau tidak dilantik menjadi Sultan menggantikan Sultan Ali. Tetapi akhirnya, Tengku Alam terpaksa beralah setelah ia mengetahui bahawa Gabenor Inggeris benar-benar tidak mahu melantiknya menjadi Sultan.

Sultan Ali Iskandar Shah

Sultan Ali Iskandar Shah

Tengku Alam telah berangkat ke Johor dengan kapal Maharaja Abu Bakar kemudian ke Umbai, Melaka. Walaupun Tengku Alam hadir Baginda telah menjauhkan diri.

Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Selat turut hadir di upacara itu untuk memastikan tidak ada sebarang pergaduhan berlaku atau tidak ada sebarang pengisytiharan pengganti Sultan diadakan.

Selepas kemangkatan Sultan Ali, perebutan kuasa telah berlaku di kalangan keluarga Sultan Ali sendiri. Beberapa peristiwa pertumpahan darah telah tercetus seperti di Kuala Muar oleh Suliwatang. Keadaan ini berlarutan hingga tahun 1883.

Akan tetapi dengan kebijaksanaan Maharaja Abu Bakar untuk menamatkan keadaan kucar-kacir yang menggugat keamanan negeri Johor, satu perjanjian setia telah diadakan dengan Kerajaan Inggeris.

Dalam perjanjian ini Inggeris bersetuju memberikan bantuan kepada Maharaja Abu Bakar dalam menghadapi soal kekacauan tersebut. Kedaulatan dapat diselamatkan dan Maharaja Abu Bakar dilantik menjadi pemerintah Johor bergelar Sultan hingga keturunannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Temenggong-Abu-Bakar_wbg-800px
Sejarah

Perjanjian Pahang-Johor

17 Jun 1862 – Pada tahun 1862 satu perjanjian di antara Pahang dan Johor telah ditandatangani. Dalam perjanjian ini Bendahara Pahang iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir telah diwakili oleh Wan Koris (Bendahara Muda), manakala Temenggong Abu Bakar Seri Maharaja Johor, menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Johor.

Di antara syarat-syarat perjanjian ini ialah :

  • Johor dan Pahang mengaku bersahabat dan bantu-membantu jika diserang oleh musuh;
  • Temenggong Abu Bakar hendaklah membantu Wan Koris (Tun Koris) dan pengganti-penggantinya apabila dikehendaki;
  • Jika berlaku perselisihan di antara kedua belah pihak, hendaklah diserahkan kepada Kerajaan Inggeris untuk menyelesaikannya;
  • Pulau Tioman (yang dahulunya di bawah pemerintah Pahang) dan pulau-pulau yang di Selatan daripada Pulau Tioman itu diserahkan kepada Kerajaan Johor, dan
  • Di darat pula kawasan tanah bagi negeri Johor diperluaskan lagi ke utara hingga ke Sungai Endau dan Sungai Endaulah menjadi sempadan di darat antara negeri Johor dengan negeri Pahang

Dengan perjanjian ini Temenggong Abu Bakar terikat untuk membantu pihak Tun Mutahir dalam peperangan dengan adiknya, Wan Ahmad (Peperangan Saudara Pahang – 1857-63) untuk merebut takhta Kerajaan.

Bagaimanapun, peperangan ini akhirnya dimenangi oleh Wan Ahmad, dan pada 10hb Jun, 1863 orang-orang besar Pahang mengangkat beliau menjadi Bendahara pemerintah Pahang bergelar Bendahara Seri Wak Raja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard