Tanjung_pelepas-800px
Sejarah

Perasmian Pelabuhan Tanjung Pelepas

13 Mac 2000 – Perasmian Pelabuhan Tanjung Pelepas telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2000. Pelabuhan Tanjung Pelepas ditubuhkan pada 13 Mac 1999 dan memulakan operasinya pada 10 Oktober 1999. Ia telah diberikan status zon bebas cukai yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah aktiviti perdagangan di sini.

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang terletak di di muara Sungai Pulai ini di bina dengan kos sebanyak RM 2.4 billion. Kawasan PTP seluas 1,935 ekar dan dilindungi oleh sebuah teluk air dalam. Kedalaman air di kawasan tersebut mencecah 15 meter. Pelabuhan Tanjung Pelepas mempunyai saluran sepanjang 12.6 kilometer dan lebar seluas 250 meter. Ini memberikan kelebihan dalam mengurangkan masa kapal-kapal untuk menunggu.

PTP dihubungkan oleh Lebuhraya Utara-Selatan (menghubungkan Singapura ke sempadan Thailand). Pelabuhan ini juga berada dikawasan Zon Perdagangan Bebas. Ia memberi keistimewaan kepada pelanggan supaya bebas daripada prosedur kastam, duti import dan eksport serta lesen import. Jambatan Linkedua ke Tuas di Singapura juga sangat dekat dan menjadikan PTP tidak berbeza dengan pelabuhan sedia ada di Singapura.

Fasa pertama pembinaan pelabuhan ini melibatkan jarak sepanjang 2.16 kilometer dan diikuti dengan fasa-fasa pembangunan lain secara berperingkat-peringkat. Pelabuhan ini dilengkapi dengan segala kelengkapan bertaraf dunia dan mampu mengendalikan 3.8 juta TEUs setahun. Kawasan dermaganya seluas 600 meter serta kedalaman 15 meter itu telah membolehkan pelbagai kontena generasi baru beroperasi di pelabuhan ini.

Seluruh operasi pelabuhan di kendalikan dengan sistem kawalan pintu masuk yang berteknologi moden. Sesungguhnya perasmian pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun ini telah membuka satu lagi pintu masuk perdagangan luar negara ke negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Kampung_Mawar_Langkawi
Sejarah

Perjanjian Inggeris Dengan Sultan Kedah 1800

06 Jun 1800 – Pada tahun 1800 satu Perjanjian Persahabatan dan Perikatan telah dipersetujui dan ditandatangani di antara Sir George Leith, Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang yang mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Yang Dipertuan Raja Muda Perlis dan Kedah, pegawai-pegawai negeri dan Ketua-ketua bagi kedua-dua negeri.

Sir George Leith

Sir George Leith

Di antara perkara-perkara penting di dalam Perjanjian Inggeris dengan Sultan Kedah adalah :

  • Syarikat Inggeris bersetuju membayar kepada Duli Yang Dipertuan Raja Muda Kedah/Perlis sejumlah 10 ribu dollar setiap tahun selagi Inggeris menguasai Pulau Pinang dan kawasan pantai bertentangan dengan Pulau Pinang.
  • Duli Yang Maha Dipertuan bersetuju menyerahkan kepada Inggeris semua kawasan pantai di antara Kuala Krian dan tebing sungai kawasan Kuala Muda hingga ke daratan sejauh 60 orlong (6400 ela persegi atau kira-kira 1.3ekar). Syarikat Inggeris akan mengawal kawasan pantai tersebut dari musuh, perompak dan lanun yang mungkin datang dari arah utara ke selatan.
  • Duli Yang Dipertuan bersetuju bahawa semua jenis bekalan yang dibeli di Kedah dan Perlis untuk keperluan Pulau Pinang, kapal-kapal perang dan kapal-kapal kepunyaan Syarikat tidak akan ditahan atau tertakluk kepada Cukai atau Kastam; semua perahu yang datang dari Pulau Pinang untuk mendapatkan keperluan di Perlis dan Kedah akan dikehendaki mempunyai pasport yang betul supaya ianya tidak dikenakan cukai.

Dengan termetrainya perjanjian Inggeris dengan Sultan Kedah ini pada hari ini dalam tahun 1800 negeri-negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah dicantum menjadi sebuah negeri. Perjanjian ini telah diluluskan dan disahkan oleh Gabenor-Jeneral Yang Bertugas pada bulan November 1802.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jambatan_sungai_golok-800px
Sejarah

Perasmian Jambatan Sungai Golok, Kelantan

21 Mei 1973 – Pada tahun 1973, Jambatan Sungai Golok di Kelantan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein. Jambatan Sungai Golok yang dibina dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Thailand ini menghubungkan pekan Rantau Panjang di Negeri Kelantan dengan pekan Golok di negeri Thai.

jambatan_sungai_golok

Sebelum jambatan ini dibina kemudahan perhubungan antara Malaysia dengan negeri Thai adalah terhad kepada sebatang jambatan keretapi dan perahu-perahu kecil yang berulang alik antara pekan Rantau Panjang dengan Pekan Golok. Perkembangan perniagaan dan pelancongan yang semakin meningkat antara Malaysia dan negeri Thai memerlukan kemudahan yang lebih baik dan moden.

Perjalanan dengan keretapi terhad kepada waktu-waktu yang ditetapkan sahaja. Tetapi dengan pembinaan jambatan ini perjalanan serta perhubungan antara pekan Golok dengan Pekan Rantau Panjang boleh dibuat pada bila-bila masa. Oleh kerana perhubungan yang erat antara kedua buah pekan ini pembinaan jambatan Sungai Golok ini dijalankan serentak dengan pembinaan kompleks Stesyen Keretapi, Pejabat Kastam dan Imigresen. Semua kemudahan ini telah memberikan wajah baru kepada Pekan Rantau Panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Kawasan Larkin Ditukar Nama Kepada Kampong Datuk Onn

21 April 1976 – Pada tahun 1976, Menteri Besar Johor, Tan Sri Haji Osman Saat telah mengisytiharkan kawasan Larkin ditukarkan namanya kepada Kampong Datuk Onn di Johor Bahru. Pengisytiharan itu telah dibuat semasa beliau berucap di upacara perasmian Balai Raya di Jalan Sentosa di kawasan tersebut yang berharga lebih RM57,000.

Turut hadir di upacara yang gilang gemilang ini ialah Datin Hajah Halimah Hussein iaitu isteri kepada Allahyarham Datuk Onn, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn, pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk-penduduk di sekitar kawasan itu.

Dewan Raya Dato' Onn

Dewan Raya Dato’ Onn

Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Haji Osman berkata penggunaan nama Larkin patut dihapuskan kerana nama tersebut tidak diketahui asal usul dan maknanya. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datin Hajah Halimah kerana memberikan kebenaran menggunakan nama Datuk Onn bagi kawasan itu.

Kawasan yang baru ditukarkan nama ini merupakan sebuah kawasan perumahan dan perindustrian yang giat membangun serta terkenal di negeri Johor. Di antara kawasan perumahan itu termasuklah Rumah-rumah Rakyat Rancangan Kerajaan Negeri di Larkin Jaya, Perumahan Taman Larkin, Kampong Kastam, Larkin Lama dan Larkin Housing and Trust.

Pengisytiharan penukaran nama kawasan Larkin kepada Kampong Datuk Onn pada hari ini dalam tahun 1976 telah mengingatkan kembali masyarakat hari ini kepada pejuang-pejuang tanah air yang telah berjasa dan terkenal di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
badan_pencegah_rasuah_logo-800px
Sejarah

Pengumuman Pembentukan Badan Pencegah Rasuah

12 April 1967 – Pada tahun 1967, Menteri Dalam Negeri Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah mengumumkan pembentukan Badan Pencegah Rasuah yang baru. Pengumuman ini dibuat selepas sidang Kabinet. Dalam pengumuman itu, Tun Dr. Ismail mengatakan bahawa Penubuhan Badan Pencegah Rasuah ini adalah berdasarkan laporan sebuah Jawatankuasa yang dilantik oleh Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Beliau juga telah memberitahu bahawa Badan Pencegah Rasuah yang baru ini akan mempunyai kakitangan sendiri yang diletakkan di bawah tadbiran Ketua Polis Negara yang akan bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri.

badan_pencegah_rasuah

Rang Undang-Undang Penubuhan Badan Pencegah Rasuah ini menurut Tun Dr. Ismail akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Jun 1967. Berikutan dengan pengumuman itu Rang Undang-Undang Badan Pencegah Rasuah telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22hb Jun 1967. Setelah diperbahaskan dengan panjang lebar maka Rang Undang-Undang Pencegah Rasuah 1967 itu telah diluluskan.

Tujuan dibentuk Undang-Undang Pencegah Rasuah 1967 adalah untuk mengukuhkan undang-udang yang telah diwujudkan dalam tahun 1959, berkenaan pencegahan rasuah iaitu dengan menggabungkan;

  • Kuasa penyiasatan yang boleh dijalankan oleh Polis dan Kastam
  • Kuasa pendakwaan yang boleh dijalankan oleh Jabatan Undang-Undang dan
  • Tugas penyelidikan dan pencegahan rasuah yang dijalankan oleh perkhidmatan awam.

Kuasa-kuasa tersebut telah digabungkan dalam satu Badan Pencegah Rasuah yang telah diumumkan penubuhannya pada hari ini dalam tahun 1967 dan pada 1hb Oktober 1967, Badan Pencegah Rasuah ini telah memulakan operasinya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_istana_raja_melewar_rembau-800px
Sejarah

Perjanjian Inggeris – Rembau 1831

30 November 1831 – Pada tahun 1831, satu perjanjian Persahabatan dan Kerjasama telah dipersetujui di antara Kerajaan Inggeris dengan Penghulu Raja Ali dan Empat Suku yang memerintah Rembau dan Jajahan Takluknya. Kerajaan Inggeris telah diwakili oleh Robert Ibbetson, Residen Singapura, Pulau Pinang, Melaka dan Jajahan Takluknya. Perjanjian Inggeris – Rembau ini melibatkan soal-soal kawasan penempatan, perniagaan dan pengiktirafan Inggeris terhadap Rembau sebagai sebuah negeri yang merdeka.

Di antara kandungan perjanjian Inggeris – Rembau ini adalah :

  1. Kerajaan Inggeris mengakui bahawa Penghulu Raja Ali dan Empat Suku sebagai Ketua Pemerintah Rembau dan Jajahan Takluknya. Orang-orang Inggeris dan Orang-orang Rembau menjalinkan persahabatan dengan ikhlas dan jujur dan kedua-dua pihak tidak akan menimbulkan sebarang permusuhan di antara satu sama lain.
  2. Jika sesuatu pihak mempertikaikan sesuatu kawasan yang terletak di sempadan bersama, Ketua Pemerintah salah satu pihak hendaklah menghantar surat dan pegawai masing-masing menemui salah seorang Ketua Pemerintah daerah berkenaan untuk menyelesaikan masalah sempadan itu dengan cara persahabatan.
  3. Kedua-dua pihak bersetuju tidak boleh memasuki untuk mengejar, menangkap dan membawa balik rakyat yang lari dari daerah masing-masing ke dalam daerah salah satu pihak tetapi hendaklah melapor dan minta pulangkan orang itu dengan cara yang baik. Pihak pemerintah yang menangkap orang yang lari itu bebas memutuskan sama ada hendak memulangkan atau tidak.
  4. Dari segi perniagaan salah satu pihak dikehendaki melindungi sampan-sampan dan tongkang-tongkang pihak yang datang berniaga. Sebelum memasuki sesuatu daerah, peniaga-peniaga hendaklah mendapat kebenaran kastam daerah yang hendak dimasuki dan peniaga-peniaga terikat dengan undang-undang di dalam daerah-daerah yang dimasuki. Kedua-dua pihak pula bersetuju untuk menentang lanun-lanun bagi mengekalkan keselamatan perniagaan dan pelayaran.

Perjanjian lapan perkara ini menjadi garis panduan kepada kedua-dua pihak bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kastam_logo-800px
Sejarah

Jabatan Kastam Dan Eksais Diwartakan

22 Oktober 1934 – Pada tahun 1934, Akta Kastam dan Eksais diwartakan dan dengan itu terbentuklah Jabatan Kastam dan Eksais Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada awal penubuhannya pada 1 Januari 1907, Jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Perdagangan dan Kastam (Trade and Custom Department).

Sebelum tahun 1907, cukai-cukai yang dipungut di Negeri-negeri Melayu Bersekutu tertakluk di bawah Enakmen Cukai Kastam. Namun begitu, tidak ada satu jabatan atau agensi khas untuk memungut cukai tersebut. Menjelang tahun 1931, Jabatan Kastam termasuk bahagian Candu, Kastam Eksais dan pencegahan telah disusun semula.

Penolong Pesuruhjaya Kastam telah dilantik di setiap Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk mengawal semua cawangan kastam. Selain daripada itu, seorang Penolong Pesuruhjaya dilantik bagi seluruh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, susunan dan organisasi Jabatan Kastam telah diubahsuai selaras dengan cita-cita negara. Pada 16 September 1963, dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Tanah Malaysia, keseragaman diwujudkan antara Jabatan Kastam Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada 29 Oktober 1963, DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menganugerahkan gelaran Diraja kepada Jabatan Kastam dan dengan rasminya dikenali sebagai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
durbar_pertama-800px
Sejarah

Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) Di Seri Menanti, Negeri Sembilan

18 Ogos 1931 – Pada tahun 1931, Persidangan Raja-raja atau Durbar telah berlangsung di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Persidangan kali ini telah dihadiri oleh keempat-empat Raja Melayu dan empat orang Residen British serta Ketua Setiausaha.

Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) Di Seri Menanti ini telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Cecil Clementi Smith.

Beliau dalam ucapannya telah mengemukakan cadangan konsep Desentralisasi supaya negeri-negeri Melayu Bersekutu dibubarkan dan dibentuk kesatuan semua negeri-negeri Melayu.

Bagi beliau, pembentukan persekutuan pada tahun 1896 telah membawa kepada pemusatan kuasa yang berlebihan kepada Residen Jeneral di Kuala Lumpur.

Secara tidak langsung kuasa Sultan-sultan telah hilang kecuali dalam hal-hal agama dan adat resam sahaja. Begitu juga dengan kuasa Majlis Mesyuarat Negeri.

Keadaan ini telah menimbulkan bangkangan dan kegelisahan di kalangan Sultan-sultan dan Pembesar-pembesar Melayu, seperti yang telah dikemukakan oleh Sultan Perak di Persidangan Raja-raja pada tahun 1903.

Percubaan ke arah merombak sistem pemusatan kuasa yang ada di Negeri-negeri Melayu mula dilakukan pada tahun 1904 oleh Sir John Anderson. Kemudian diikuti oleh Sir Lawrence Guillemard pada tahun 1927.

Kedua-dua usaha ini terpaksa dibatalkan sehingga ia dicadangkan semula oleh Sir Cecil Clementi.

Selain cadangan Desentralisasi, Sir Cecil Clementi juga telah mengemukakan beberapa perubahan lain seperti memberi kuasa kepada tiap-tiap negeri mentadbir sendiri semua jabatan kecuali Jabatan Kereta Api, Pos dan Kastam.

Satu lembaga adalah dicadangkan bagi setiap jabatan tersebut. Beliau juga mencadangkan supaya jawatan Ketua Setiausaha dimansuhkan.

Cadangan ini telah mendapat tentangan dari pihak Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu. Tentangan dan bantahan terhadap cadangan Sir Cecil Clementi itu telah menimbulkan satu masalah.

Oleh itu kerajaan Inggeris telah melantik Brigedier Jeneral Sir Samuel Wilson, Setiausaha Tetap di Pejabat Tanah Jajahan supaya mengkaji keadaan di Tanah Melayu dan membuat perbincangan dengan Sir Cecil Clementi.

Hasilnya satu persetujuan mengenai cadangan Sir Cecil Clementi telah dicapai dan dalam tahun 1933, kerajaan Inggeris telah menerima laporan Wilson itu.

Berdasarkan laporan ini beberapa perubahan ke arah perkembangan Persekutuan telah dibuat dalam tahun 1939 dan kekal sehingga tahun 1941.

Mana-mana kuasa yang pernah dipegang oleh kerajaan pusat telah diserahkan kembali kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard