Jelebu_District_Council-bw-800px
Sejarah

Perjanjian Yamtuan Jelebu Dengan Inggeris

26 April 1877 – Pada tahun 1877, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Yamtuan Jelebu Tunku Abdullah bin Tuanku Radin dengan pihak British yang diwakili oleh Kolonel Anson.

Perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini ialah:

  1. Yamtuan Jelebu berjanji tidak akan mengganggu ketenteraman daerah-daerah Sri Menanti, Jempul, Johol dan lain-lain daerah yang bernaung di bawah Seri Menanti di bawah pemerintahan Yamtuan Antah;
  2. Yamtuan Jelebu bersetuju membenarkan sebarang aktiviti perdagangan dijalankan oleh sesiapa juga tidak kira Cina, Melayu dan bangsa-bangsa lain di Jelebu
  3. Yamtuan Jelebu bersetuju merujuk dan meminta nasihat dari Sultan Johor sekiranya terjadi sebarang masalah di Jelebu atau negeri-negeri jirannya yang tidak dapat diselesaikan sendiri.

Perjanjian ini adalah merupakan ikrar Yamtuan Jelebu Tunku Abdullah untuk tidak campur tangan dalam urusan luak-luak yang lain, terutamanya urusan luak-luak yang di dalam Konfiderasi Sri Menanti 2 di bawah pemerintahan Yamtuan Antah, iaitu Johol, Inas, Ulu Muar, Jempol, Terachi dan Gunong Pasir.

Persetujuan ini perlu oleh kerana semasa Yamtuan Seri Menanti, Tuanku Antah melarikan diri ke Johor kerana kalah berperang dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung dan British dalam tahun 1874, Dato’ Jelebu bersama-sama dengan Dato’ Rembau dan Dato’ Kelana Sungai Ujung telah mengisytiharkan diri menjadi Penghulu di Luak masing-masing dan tidak mengakui beraja ke Seri Menanti lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dato_bahaman-800px
Sejarah

Dato’ Bahaman Menawan Semula Lubuk Terua

09 Mac 1892 – Pada tahun 1892, Dato’ Bahaman atau Orang Kaya Semantan, menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris.

Meletusnya penentangan Dato’ Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan C.E.B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato’ Bahaman dengan tuduhan mengumpul hasil hutan tanpa izin. Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan Balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili.

dato_bahaman-1

Dato’ Bahaman

Menyedari tentang hal itu, Dato’ Bahaman yang memang menentang keras pembinaan balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough, dan berjaya, membebaskan orang-orangnya. Selepas itu Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub.

Sebelumnya, Dato’ Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah dilarang sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya. Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W.E. Maxwell meminta supaya Semantan disatukan dengan Selangor.

Bagaimanapun, kejayaan Dato’ Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Hugh Clifford dan E.A. Wise (Majistret di Temerloh).

Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti anaknya Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard