jata_johor-800px
Sejarah

Perang Johor-Jambi

15 Mei 1673 – Pada tahun 1673, berlaku satu peperangan di antara Johor dengan Jambi. Johor ketika itu di bawah Sultan Abdul Jalil Shah telah dibantu oleh Raja Indragiri yang telah takluk kepada Johor. Jambi pula diketuai oleh rajanya sendiri, Pengiran Pati Enum yang mendapat bantuan dari Belanda di Betawi.

Perang Johor-Jambi ini berlaku disebabkan oleh pembatalan perkahwinan Yamtuan Muda Raja Bajau, bakal Sultan Johor yang memerintah Pahang dengan salah seorang puteri kepada Pengiran Jambi. Angkatan perang Jambi yang mengandungi sebanyak 15 buah perahu perang telah datang dengan mengejut dan melakukan serangan ke Batu Sawar ibu kota Johor pada masa itu.

Askar-askar Jambi telah dapat merampas sebanyak 100 pucuk meriam dan emas yang ditaksirkan berharga 100,000 rupiah Belanda ketika itu; 2,500 orang Johor termasuk Bendahara Johor telah ditawan oleh askar-askar Jambi. Bagaimanapun seramai hampir 1,200 orang daripada orang-orang tawanan itu telah dapat melarikan diri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Acheh Menyerang Batu Sawar, Johor

07 Mei 1613 – Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Acheh menyerang Batu Sawar, Johor pada tahun 1613. Serangan ini telah dilakukan kerana kerajaan Acheh tidak menyetujui persahabatan Johor dengan Portugis.

Kecenderungan Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III untuk bersahabat dengan Portugis bermula sejak awal tahun 1610 lagi apabila seorang putera baginda telah berkahwin dengan sepupunya puteri Raja Siak. Raja Siak yang telah bersahabat baik dengan orang-orang Portugis telah mempengaruhi Sultan johor supaya dengan bersahabat Portugis.

Angkatan Perang Acheh yang menyerang Batu Sawar dan juga Kota Sekarang telah berperang selama 29 hari sebelum berjaya menawannya. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama-sama adinda baginda, Raja Abdullah serta Bendahara Tun Seri Lanang telah ditawan dan dibawa ke negeri Acheh.

Semasa di Acheh, Sultan Alauddin telah diberi layanan yang baik dan Raja Abdullah telah dikahwinkan dengan seorang puteri Acheh iaitu adinda Sultan Iskandar Muda demi mempereratkan kembali tali persaudaraan keluarga diraja di antara kedua buah negara itu. Raja Abdullah kemudiannya telah dihantar balik ke negeri Johor bersama-sama angkatan dan perang Acheh serta membawa sejumlah perbelanjaan untuk membaiki dan membangunkan semula bandar Batu Sawar yang telah rosak akibat peperangan yang lalu itu.

Bendahara Tun Seri Lanang yang tinggal di Acheh telah meneruskan kerja-kerja menyusun dan membaiki Sejarah Melayu yang telah dimulakan semasa di Johor dahulu. Tun Seri Lanang juga telah berkesempatan berkenalan dengan pengarang dan ulamak yang terkenal di Acheh seperti Sheikh Nuruddin Ar-Raniri, Tuan Burhat, Hamzah Fansuri lain-lain. Mereka ini mendapat galakkan daripada Sultan Iskandar Muda untuk memajukan persuratan Melayu dan agama Islam.

Selepas lebih satu tahun Sultan Alauddin tinggal di Acheh, akhirnya baginda telah dibenarkan pulang ke negeri Johor. Baginda telah berjanji dengan Sultan Acheh akan membantu Acheh dalam peperangan melawan orang-orang Portugis dan tidak membenarkan orang-orang Belanda tinggal di negeri Johor lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Ships_Trading_in_the_East-800px
Sejarah

Laksamana Wijbrand Van Warwijck Tiba Di Johor

03 Mei 1604 – Sejak jatuhnya Melaka pada Portugis pada 1511, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Melayu Melaka untuk mendapatkan semula Melaka daripada pihak Portugis. Kekuatan pasukan Portugis yang menggunakan peralatan moden menyukarkan pihak Kesultanan Melaka di bawah Sultan Alauddin.

Pada 3 Mei 1604, Laksamana Wijbrand Van Warwijck daripada Belanda tiba di Johor dengan membawa peralatan perang iaitu senapang dan peluru. Peralatan perang ini telah ditukar dengan lada hitam.

Serangan yang dilakukan oleh pihak Portugis ke atas Kesultanan Melayu yang berpindah ke Johor telah dilakukan beberapa kali. Serangan ini diketuai oleh Furtedo de Mendoca seperti ke atas Kota Batu, dan Batu Sawar.

Dengan adanya peralatan yang baru serangan ke atas Melaka dapat dilakukan. Selain daripada cubaan untuk mendapatkan semula Melaka yang telah jatuh ke tangan Portugis. Usaha-usaha ini merupakan cubaan untuk mengembalikan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang telah jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Trafalgar-Auguste_Mayer-800px
Sejarah

Portugis Menyerang Johor Lama Dan Kota Batu

15 Ogos 1587 – Pada tahun 1587, Portugis menyerang Johor Lama dan Kota Batu di negeri Johor. Peperangan ini merupakan serangan balas Portugis terhadap Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil yang telah menyerang Melaka pada bulan Januari.

Akibat serangan Johor ke atas Melaka itu, kerajaan Portugis di Melaka telah meminta pertolongan Wizurai Portugis di Goa. Ini kerana Portugis mengalami kesusahan yang amat teruk, terutama kekurangan makanan.

Sebagai langkah mengatasi masalah ini, Wizurai Portugis di Goa, telah menghantar satu angkatan perang yang mengandungi 16 buah kapal besar yang diketuai oleh Paulo de Lima Pereira.

Pada 10 Ogos 1587, angkatan perang ini telah menuju ke Johor Lama dan serangan telah dilakukan pada hari ini dalam tahun 1587.

Bandar Johor Lama adalah sebuah bandar yang cantik, terletak di atas sebuah bukit yang memanjang di tebing sungai Johor. Bandar ini dikelilingi oleh pagar-pagar kayu yang sangat kuat.

Di samping itu, tidak jauh dari bandar ini terdapat sebuah kota batu yang disebut Kota Batu yang sangat kukuh.

Semasa Portugis menyerang bandar Johor Lama ini, Raja-raja Melayu dari Terengganu, Inderagiri dan Kampar ada di Johor Lama dan mereka telah membantu Sultan Johor.

Dalam peperangan ini, Portugis telah berjaya menewaskan Kerajaan Johor. Sultan Ali Jalla serta pembesar-pembesar baginda telah melarikan diri mudik ke hulu dan mendirikan pusat pemerintahan yang baru di Batu Sawar, di tepi sungai Johor pada akhir tahun 1587.

Peperangan ini telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan harta benda. Peperangan di antara Portugis dan Johor ini yang bermula dari tahun 1586, tidak berakhir dengan serangan ini sahaja tetapi ia berterusan sehinggalah Portugis kalah kepada Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Trafalgar-Auguste_Mayer-800px
Sejarah

Portugis Menyerang Johor

23 Julai 1587 – Pada tahun 1587, satu angkatan perang orang-orang Portugis menyerang Johor. Pasukan Portugis yang diketuai oleh Antonia de Noronda telah menyerang serta membedil Kota Batu dan Johor Lama, lantas berlakulah pertempuran tembak menembak antara kedua belah pihak.

Peperangan ini adalah ekoran daripada serangan-serangan Portugis dalam tahun-tahun 1576 dan 1578 di mana serangan-serangan itu tidak dapat mengalahkan Johor dan orang-orang Portugis terpaksa berundur ke Melaka.

Sebagai tindak-balas, satu angkatan perang Johor pula telah menyerang melalui laut dan darat pada 6 Januari 1587. Dalam serangan ini Kota Melaka hampir dapat dirampas oleh orang-orang Johor.

Pada 21 Julai 1587, satu angkatan perang Portugis telah mudik ke sungai Johor. Dua hari kemudian, iaitu pada 23 Julai 1587, satu peperangan besar telah berlaku di antara orang-orang Johor dan orang-orang Portugis.

Semua serangan-serangan Portugis pada hari itu telah dapat dipatahkan oleh orang-orang Melayu.

Sungguhpun orang-orang Portugis kalah, mereka masih meneruskan bedilan-bedilan meriam serta menggunakan taktik-taktik peperangan dengan mengepong Johor Lama dan Kota Batu. Kejadian ini telah berlarutan hingga beberapa hari.

Pada 10 Ogos, satu lagi angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Paulo de Lima Pereira daripada Goa telah tiba di Johor dan pada pagi 15 Ogos, askar-askar Portugis telah melancarkan serangan.

Askar-askar yang mendarat telah dibahagikan kepada tiga buah pasukan; satu pasukan diketuai oleh Antonia de Noronda dan dibantu oleh Joao Pereira; satu pasukan lain diketuai oleh Matheus Pereira Sampaio, dan satu lagi diketuai oleh Paulo de Lima Pereira sendiri.

Kota Batu pula dipertahankan oleh orang-orang Minangkabau, Jawa, Terengganu, Indragiri dan Kampar berjumlah 10,000 hingga 12,000 orang yang diketuai oleh seorang Panglima bernama Raja Mahkota.

Dalam peperangan tersebut, askar-askar Portugis yang diketuai oleh Matheus Sampaio berjaya menawan Kota Batu walaupun ramai askar-askarnya terkorban. Dari Kota Batu askar-askar Portugis telah menggunakan meriam-meriam untuk menembak askar-askar Johor.

Askar-askar Portugis yang menyerang bandar Johor Lama pula telah membakar semua rumah-rumah dan juga memusnahkan kubu-kubu pertahanan orang-orang Melayu Johor termasuk sebuah kubu kecil yang bernama Kubu Budak atau Kota Budak, di Kuala Sungai Johor.

Di akhir peperangan tersebut, pihak Johor telah kalah, dan Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil II serta orang-orang besar dan rakyat yang terselamat telah melarikan diri ke Hulu Sungai Johor dan menubuhkan pusat pemerintahan baginda yang baru di Batu Sawar.

Peperangan tersebut adalah satu detik bersejarah bagi orang-orang Melayu yang menunjukkan keberanian dan kepahlawanan untuk mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan harta benda dan tidak kurang sepuluh orang-orang besar dan pahlawan-pahlawan Melayu termasuk Seri Nara Diraja telah terkorban.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard