wawasan_2020

Wawasan 2020 Dibentangkan

28 Februari 1991 – Wawasan 2020 merupakan sebuah wawasan Tun Dr Mahathir Mohamad. Wawasan ini telah dibentangkan di dalam satu kertas kerja yang bertajuk ‘Malaysia- The Way Forward‘ yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Wawasan 2020 mengandungi sembilan cabaran yang merangkumi semua aspek kehidupan daripada segi moral, ekonomi, politik dan sosial. Teras utama dasar ini ialah pembangunan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada perpaduan kaum di kalangan rakyat Malaysia.

2020_logo

Matlamat Utama Wawasan 2020

  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Cabaran-cabaran untuk mencapai Wawasan 2020.

  • Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
  • Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
  • Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
  • Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
  • Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
  • Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
  • Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
  • Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
  • Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.