malayan_union-bw-800px

Perarakan Menentang Malayan Union Di Kedah

04 Februari 1946 – Penubuhan Malayan Union oleh kerajaan British telah mendapat tentangan hebat bukan sahaja daripada penduduk Tanah Melayu. Ini dibuktikan dengan perarakan-perarakan bantahan yang diadakan di seluruh negara termasuk di Kedah. Pada 19 Januari 1946 Persatuan Melayu Kedah telah menganjurkan satu perarakan menentang Malayan Union Di Kedah.

Perarakan pertama telah diadakan pada 19 Januari 1946 di Padang Court, Alor Setar dan telah dihadiri oleh kira-kira 50,000 orang. Pelbagai golongan masyarakat termasuklah alim ulama, murid-murid sekolah umum dan murid-murid sekolah pondok serta penduduk-penduduk kampong yang terdiri daripada petani-petani telah datang dari seluruh negeri Kedah.

Mereka berjalan mengelilingi bandar Alor Star sambil mengutuk Malayan Union dan melaungkan teriakan ‘Peliharalah Hak Melayu’ dan ‘Hiduplah Melayu’. Sepanduk-sepanduk dengan cogankata menentang Malayan Union telah ditulis di dalam bahasa Inggeris dan Melayu di bawa bersama dan dikibarkan.

Senu_Abdul_Rahman
Tan Sri Senu Abdul Rahman

Perarakan Kedua

Pada 04 Februari 1946 Kesatuan Pemuda Melayu Kedah telah menganjurkan satu lagi perarakan menentang Malayan Union di Kedah. Perhimpunan kedua yang diadakan di tempat yang sama ini dihadiri oleh kira-kira 5,000 orang yang terdiri daripada ahli Kesatuan Melayu Kedah, SEBERKAS, Kesatuan Ulama Kedah dan Persatuan Pemuda Melayu Kedah.

Tujuan perhimpunan ini pada awalnya adalah untuk menyambut kedatangan Mr. M.C.Howard, Ketua Hal Ehwal Awam, Malaya tetapi telah dibatalkan pada saat-saat akhir dan digantikan oleh oleh Leftenan Kolonel J.W.Sumerbill.

hussin_che_dol
Tuan Haji Hussain Che Dol

Dalam perhimpunan tersebut Tuan Haji Hussain Che Dol, Yang Dipertua Kesatuan Melayu Kedah dan En. Senu Abd. Rahman, Setiausaha Agung SEBERKAS telah menghuraikan rancangan Malayan Union dan kandungan Kertas Putih. Mereka telah menyatakan bantahan dan kritikan terhadap Malayan Union yang dianggap telah mencabul kedaulatan bangsa Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.